Walaupun menangis air mata darah sekalipun, perkara tersebut tidak akan dapat mengubah kesilapan yang pernah dia lakukan sehingga hampir memusnahkan rumah tangga kakak kandungnya.

Menurut Suraya (bukan nama sebenar), 24, kegagalannya mengawal nafsu serakah menyebabkan dirinya terlanjur dengan abang ipar sendiri. Bertitik tolak daripada situ, insiden tersebut membekas titik hitam dalam hidupnya.

Dakwa Suraya, dia telah ditawarkan pekerjaan di salah sebuah syarikat perbankan di Kuala Lumpur pada tahun lalu selepas menamatkan pengajian dalam jurusan kewangan pada penghujung tahun 2017.

Memandangkan Suraya masih belum mendapat rumah sewa, dia telah dipelawa kakaknya dan juga abang ipar untuk tinggal bersama mereka. Tambahan pula, jarak di antara rumah kakaknya dengan tempat kerja juga tidak berapa jauh.

Bahkan, jika Suraya hendak ke tempat kerja, biasanya dia akan pergi bersama kakaknya kerana tempat kerja kedua-dua mereka akan melalui jalan yang sama.

“Kakak beria-ia mengajak saya tinggal bersamanya daripada membazir duit membayar sewa bilik setiap bulan,” kata Suraya.

Tinggal berduaan

Pada masa sama, kakak ketika itu sedang sarat mengandungkan anak sulung. Sekurang-kurangnya jika Suraya tinggal bersama, dapatlah dia menjaga kakaknya sementelah abang ipar pula kerap ke luar kawasan atas urusan kerja.

Semasa tinggal bersama kakak dan abang iparnya, Suraya tidak berdepan dengan sebarang masalah.

“Tambahan pula saya memang rapat dengan kakak dan abang ipar pula seorang yang sangat baik hati,” ujar gadis berkulit cerah itu.

Cuma, ada waktu-waktu tertentu, Suraya mengakui berasa kurang selesa apabila dia hanya tinggal berdua-duaan dengan abang iparnya.

Menurut Suraya, kadang-kala pada hujung minggu, kakaknya terpaksa bekerja dan menyebabkan dia tinggal berduaan sahaja dengan abang iparnya.

Semasa awal-awal tinggal berduaan dengan abang ipar, masing-masing hanya membuat hal sendiri manakala Suraya pula banyak menghabiskan masa duduk di dalam bilik.

“Pada suatu hari, saya tidak tahu abang ipar ada di rumah sewaktu kakak keluar bekerja kerana kakak ada memberitahu abang ipar akan keluar ke bengkel untuk membaiki kereta,” kata Suraya.

Maka, Suraya tidak duduk di dalam bilik seperti kebiasaannya dan mengambil kesempatan untuk menonton televisyen di ruang tamu dan akhirnya terlelap.

Semasa tertidur, Suraya tidak sedar bahawa abang iparnya telah pulang ke rumah. Lelaki itu kemudiannya telah mengejutkan Suraya daripada tidur kerana dia pulang dengan membawa makanan.

Namun, apa yang membuatkan Suraya terperanjat ialah, abang iparnya telah memegang bahagian pahanya sewaktu menggerakkannya supaya bangun daripada tidur.

“Saya terkejut namun tidak berfikir yang bukan-bukan dan berbuat seperti biasa,” katanya.

Terlanjur

Sejak daripada kejadian itu, Suraya mendakwa abang iparnya semakin berani untuk mendekatinya lebih-lebih lagi apabila mengetahui ketiadaan kakaknya di rumah.

Ibarat kata pepatah, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Akibat gagal mengawal nafsu, pada suatu hari Suraya dan abang iparnya telah terlanjur dengan melakukan hubungan terlarang sewaktu berdua-duaan di rumah.

Selepas kedua-duanya sedar telah terlanjur melakukan perbuatan terkutuk itu, timbul rasa penyesalan dalam diri masing-masing.

“Sumpah demi Allah saya sangat menyesal dan berasa sedih apabila membayangkan wajah kakak yang kini sedang sarat hamil,” ujar Suraya.

Jika Suraya mengaku dan membuka mulut dengan menceritakan kejadian yang berlaku, bukan sahaja dirinya akan dibenci keluarga, bahkan perkara tersebut mungkin akan mengakibatkan perkahwinan kakaknya musnah.

Bagi mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini berlaku, gadis itu tekad untuk berpindah dengan memberikan alasan untuk menyewa rumah bersama rakan yang juga teman sebiliknya sewaktu menuntut di universiti.

“Saya tidak menyalahkan 100 peratus abang ipar atas apa yang berlaku kerana saya juga telah dewasa dan boleh berfikir baik dan buruk sesuatu perkara,” katanya.

Biarlah kejadian yang lepas itu menjadi pengajaran buatnya. Selepas kejadian itu, Suraya juga mendapati abang iparnya telah banyak berubah menjadi lebih baik dan semakin menyayangi kakaknya, mungkin kerana ingin menebus kekhilafan yang pernah dia lakukan.

Pada masa sama, Suraya berasa sangat takut dan sentiasa memohon keampunan daripada Tuhan atas dosa besar yang pernah dia lakukan.

Suraya kesal dan dihimpit rasa bersalah terlanjur dengan abang ipar sendiri sehingga dibayangi perasaan yang dosanya tidak akan diampunkan Tuhan.