Bagi Maisarah (bukan nama sebenar), perkahwinan yang dibina bersama suami, Aidil (bukan nama sebenar) tujuh tahun lalu merupakan satu kesilapan kerana suaminya itu lebih banyak menyeksa daripada membahagiakannya.

Membuka cerita, Maisarah berkata jodohnya dengan Aidil diatur keluarga dan sebagai seorang wanita yang terlalu sibuk dengan urusan kerjaya, dia menerima sahaja tanpa banyak soal.

Biarpun berkenalan dalam tempoh tiga bulan, Maisarah menerima Aidil sepenuhnya dan berharap lelaki itu akan menjadikan dia isteri yang cukup bahagia.

“Perkahwinan kami berjalan lancar namun pada tahun kedua, saya mula mengesan perubahan pada sikap suami.

“Dia sering berburuk sangka dan terlalu negatif lebih-lebih lagi sekiranya hal itu melibatkan saya,” cerita Maisarah.

Selepas melahirkan anak pertama, Aidil sering berburuk sangka terhadap Maisarah sehingga membuatkan wanita itu rimas.

“Semuanya bermula apabila saya menguruskan satu projek besar di syarikat tempat saya bekerja.

Curiga

“Projek tersebut memakan masa yang agak panjang, menyebabkan suami tiba-tiba menjadi curiga apabila saya sering pulang lewat.

“Tidak semena-mena, Aidil menuduh saya berlaku curang,” jelas Maisarah.

Bukan itu sahaja, pergerakan wanita berkaca mata itu juga amat terbatas apabila suaminya sering menuduh Maisarah mahu keluar atas alasan mahu curang.

“Pernah satu hari, saya meminta izin kepadanya untuk keluar sekejap ke sebuah pusat beli-belah kerana teringin menikmati susyi.

“Pada mulanya, dia memberi izin, namun setibanya saya di kedai susyi, suami tiba-tiba menyuruh saya pulang dan menuduh mahu ke sana kerana mahu berjumpa kekasih hati,” jelasnya.

Selepas insiden itu, Maisarah sering bergaduh besar dengan Aidil, menyebabkan wanita itu semakin bosan.

Aidil juga akan sering memeriksa telefon bimbit Maisarah dan akan memarahinya setiap kali mendapati wanita itu berhubungan dengan lelaki lain biarpun atas urusan kerja.

Tuduh

Jelas Maisarah, bagaimana dia mahu mengehadkan hubungannya dengan rakan sekerja lelaki kerana mereka sering berhubung menggunakan aplikasi WhatsApp memandangkan ia medium terbaik untuk berbual perihal kerja.

“Suami cukup marah apabila mendapat tahu saya berhubungan dengan rakan sekerja lelaki dan menuduh saya mempunyai hubungan dengan mereka.

“Berbuih-buih mulut saya menerangkan bahawa hubungan tersebut berlangsung atas dasar kerja, namun sedikit pun tidak dihiraukan Aidil.

“Entah mengapa dia suka benar bersangka buruk terhadap saya,” jelas Maisarah dalam nada marah.

Boleh dikatakan, perkahwinan mereka cukup bermasalah dan semuanya berpunca daripada sikap Aidil yang terlalu negatif dan sering bersangka buruk terhadap isterinya itu.

Kemuncak kepada pertengkaran mereka adalah apabila Aidil mula melarang Maisarah untuk berjumpa ibunya sendiri dengan alasan mahu berlaku curang.

“Pernah satu ketika, saya menghantar dua orang anak ke rumah ibu untuk dijaga oleh orang gaji ibu.

“Saya dan ibu pula keluar kerana sudah lama tidak keluar berdua bersama ibu seperti zaman saya bujang dahulu.

Nekad cerai

“Aidil benar-benar tidak boleh menerima kelakuan saya dan menuduh saya dan ibu sebenarnya sedang bersekongkol untuk membenarkan saya keluar bersama lelaki lain. Dia juga melarang saya untuk ke rumah ibu lagi,” jelas Maisarah.

Terkesan dengan tuduhan itu, Maisarah kemudian bertengkar besar dan menyuruh suaminya itu mendapatkan rawatan psikiatri kerana sering berfikiran negatif.

Sikap buruk sangka Aidil benar-benar menguji kesabaran Maisarah dan dia benar-benar terjerat dalam perkahwinan tersebut.

Wanita itu juga tanpa segan silu memberitahu sudah begitu banyak kali mengugut suaminya dengan perceraian, namun lelaki itu berkeras enggan menceraikan Maisarah serta berulang kali berjanji akan berubah.

Begitu pun, janji hanya tinggal janji apabila perangai Aidil semakin teruk sehingga menyebabkan Maisarah sudah tawar hati.

“Setiap kali memberitahu rakan-rakan tentang sikap suami, mereka sering menyuruh saya untuk bersabar atas alasan sekurang-kurangnya Aidil tidak main kayu tiga di belakang saya atau pun terlibat dengan masalah lebih teruk seperti dadah.

“Takkan masalah perkahwinan hanya melibatkan suami yang curang? Penderaan emosi begini juga amat meletihkan dan benar-benar menyebabkan saya mahu bebas,” tutur Maisarah.

Maisarah yang kini sedang sarat mengandung anak ketiga nekad mahu menuntut cerai kerana sudah tidak tahan lagi dengan sikap Aidil.

Begitu pun, dia mahu menunggu sehingga anaknya dilahirkan.

Harapannya, biarlah dia meneruskan hidupnya bersendirian daripada terus-terusan menyeksa diri sekiranya masih kekal dalam perkahwinan bersama Aidil.

Aidil sering bersangka buruk terhadap Maisarah dan menuduh wanita itu sedang berlaku curang sehingga menyebabkan dia mula tawar hati.