Hal ini kerana, perkara tersebut sudah menjadi sebahagian daripada personaliti dan sebati dalam diri seseorang itu.

Kongsi Shira (bukan nama sebe­nar), dia tidak tahu bagaimana lagi mahu menasihati ibu mertua­nya yang terlalu percayakan bomoh.

Kedengaran agak aneh, namun dalam zaman serba moden ini, masih ada individu yang terlalu taksub dan percaya dengan amalan perbomohan.

Mengimbau kembali detik perkenalannya dengan suami, Arshad (bukan nama sebenar) kira-kira tujuh tahun lalu, Shira berkata, semuanya baik-baik belaka dan Arshad tidak pernah memberitahu Shira tentang sisi gelap ibunya itu.

“Perkenalan saya dengan Arshad bermula semasa kami sedang me­nun­tut di sebuah universiti tempatan.

“Saya cukup menyenangi ka­rak­­­­ternya dan bersetuju untuk men­­jadi kekasihnya sebelum kami berkahwin pada 2015,” ujar Shira.

Selepas berkahwin dengan Arshad, Shira berkata kehidupan­nya bertambah baik dan dia cukup bahagia dengan lelaki itu.

Taksub

Memandangkan Arshad merupakan anak sulung dan dua orang adiknya masih menuntut di sekolah menengah, Shira menjadi satu-satunya menantu dalam keluarga mertuanya dan dia cukup disenangi.

Memandangkan ibu mertua Shira juga merupakan seorang balu selepas kematian suami 10 tahun lalu, perkahwinan Arshad dan Shira menjadikan wanita itu gembira kerana ada teman untuk berkongsi rasa.

Hari demi hari, Shira semakin rapat dengan wanita tersebut. Begitu pun, dia kemudian mula tersedar bahawa wanita tersebut terlalu percayakan bomoh dan ia menjadikan Shira kurang senang.

“Semuanya bermula selepas usia perkahwinan saya menginjak enam bulan. Ibu mertua mengadu dia sakit kepala lalu mengajak saya berjumpa dengan bomoh.

“Saya amat terkejut kerana mengapa pula dia hendak berjumpa dengan bomoh walhal hanya sakit kepala. Katanya, dia hanya percaya kepada kuasa bomoh dan hanya bomoh yang boleh menyembuhkan sakit kepalanya itu,” tutur Shira.

Tidak lama kemudian, ibu mertua Shira terjatuh ketika sedang menyapu sampah di luar rumah dan enggan ke klinik. Dia sebaliknya meminta Shira menemaninya untuk berjumpa bomoh dan hanya menyapu ubat yang diberi bomoh itu ke kakinya.

Kurang senang dengan keadaan tersebut, Shira kemudian duduk bersama Arshad dan bertanya tentang perihal ibu mertuanya itu.

“Saya memberitahu suami tentang kegilaan ibu terhadap bomoh dan amat terkejut apabila suami memaklumkan bahawa ibunya memang begitu sejak Arshad masih kecil.

“Arshad juga memberitahu, ibu ada berjumpa dengan bomoh sebelum membenarkan dia berkahwin dengan saya.

“Kononnya untuk melihat sama ada saya sesuai atau tidak untuk dijadikan menantunya,” dedah Shira.

Shira benar-benar tidak senang dengan tabiat ibu mertuanya itu dan cuba mencari jalan untuk menasihati wanita tersebut.

Buatan orang

Begitu pun, dia dimarahi oleh wanita tua itu yang menuduh Shira tidak faham tentang kepentingan percaya kepada bomoh.

Hubungan mereka juga kemu­dian­nya menjadi keruh dan mem­buatkan Shira bertambah sedih.

Lebih buruk lagi, ibu mertua Shira sering mengaitkan setiap kecelakaan yang berlaku dalam hidup wanita itu akibat buatan orang dan ia hanya boleh diubati oleh bomoh.

“Pernah satu ketika, saya memaklumkan kepada ibu mertua bahawa saya telah mengalami satu kemalangan kecil.

“Dia bukannya menenangkan saya, sebaliknya meminta saya supaya pergi mengikutnya ber­jumpa bomoh kerana percaya saya telah terkena buatan orang,” jelas Shira sambil mengeluh panjang.

Tambah wanita kelahiran Johor itu, semasa usia perkahwinannya menginjak dua tahun, dia sering didesak tentang perihal anak.

Shira masih juga belum mengandung walaupun sudah berkahwin hampir tiga tahun.

Shira kemudian mendapat tahu daripada adik iparnya bahawa ibu mertuanya itu ada berjumpa dengan bomoh dan meminta bomoh tersebut untuk mengubati Shira.

“Saya benar-benar sakit kepala memikirkan kerenah ibu mertua yang amat menjengkelkan.

“Entah ke mana hilangnya pedoman dan pegangan agamanya kerana terlalu percayakan bomoh,” keluh Shira.

Sebagai anak, Arshad juga sudah puas menasihati ibunya itu, namun wanita tua itu berterus-terusan menganggap anak dan menantunya itu derhaka kepadanya.

Shira juga pernah dituduh cuba untuk membuang tangkal keluarganya, menjadikan wanita itu benar-benar sedih dan buntu.

“Saya benar-benar tidak faham kelakuan ibu mertua yang cukup degil. Anak-anaknya juga tidak mampu untuk menasihati wanita itu, apatah lagi saya yang dikira sebagai orang baharu dalam keluarga,” jelas Shira.

Jauh di sudut hati, Shira berharap agar ibu mertuanya itu akan berubah dan hidup seperti biasa tanpa terlalu bergantung atau percayakan bomoh.

“Saya akan terus berdoa dan berharap agar ibu mertua akan tersedar daripada kesilapannya sebelum terlambat,” tutur Shira menutup bicara.