Kehadiran orang ketiga dalam hubungan perkahwinan ibarat mimpi ngeri kepada setiap pasangan yang ingin mengecapi kebahagiaan.

Walaupun mempunyai pasangan yang boleh dikatakan hampir sempurna, masih ramai yang sanggup menduakan isteri atau suami masing-masing hanya kerana kekurangan kecil.

Lima tahun lalu, kehidupan Rizal (bukan nama sebenar), 30, boleh dikatakan cukup sempurna apabila mempunyai isteri yang bukan sahaja cantik, malah baik selain berharta hasil usaha wanita berkenaan menjalankan perniagaan sebelum berkahwin.

Wani, 28, (bukan nama sebenar) merupakan seorang peniaga tudung secara dalam talian yang berjaya dan mendapat keuntungan besar sebelum berkahwin dengan Rizal.

Selepas berkahwin, kehidupan Rizal boleh dikatakan selesa kerana tinggal di rumah teres dua tingkat dan memandu kereta berjenama luar negara biarpun hanya bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat pengangkutan.

Selepas setahun perkahwinan, kehidupan Rizal dan isteri menjadi semakin lengkap apabila mereka dikurniakan seorang anak lelaki.

Permintaan tinggi

Ekoran perniagaannya yang semakin mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan, Wani semakin sibuk kerana perlu sering berjumpa pelanggan untuk menguruskan pesanan mereka pada waktu siang. Pada waktu malam pula dia sibuk mengemas kini perniagaan dalam talian yang diusahakannya itu.

“Biarpun sibuk, Wani tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan segala keperluan makan, minum dan pakaian saya tetap dijaga dengan baik,” luah Rizal.

Disebabkan mereka bekerja, anak lelaki mereka dihantar ke rumah pengasuh sebelum dijemput oleh Rizal pada sebelah petang selepas habis bekerja.

Segala-galanya berjalan dengan baik hinggalah anak mereka berusia dua tahun apabila Rizal ketika itu mula termakan hasutan rakan-rakan sekerjanya yang sering mengajaknya melepak bersama mereka setiap kali habis bekerja.

Disebabkan tidak mahu ‘dicap’ takutkan isteri, Rizal mula pulang lewat ke rumah dan meluangkan masa dengan rakan-rakannya sama ada di kafe atau kedai mamak.

Rizal juga sering memarahi Wani setiap kali ditanya mengapa dia selalu pulang lambat. Disebabkan tidak mahu bermasam muka, Wani tidak melawan segala kata-kata Rizal, sebaliknya memberi bayaran lebih masa kepada pengasuh sekiranya lambat mengambil anaknya itu.

Ketika melepak bersama rakan-rakan sepejabatnya, Rizal mula berkenalan dengan Hana (bukan nama sebenar), 27, yang merupakan seorang janda tanpa anak. Hana merupakan kenalan kepada salah seorang rakan sekerjanya dan wanita itu sering bersama-sama mereka selepas waktu kerja.

“Pada mulanya, hubungan saya dan Hana sekadar kawan biasa. Namun, selepas berkawan selama enam bulan, hubungan kami menjadi serius hingga akhirnya saya terlanjur dengan Hana,” ceritanya.

Selepas terlanjur, Rizal berjanji akan mengahwini Hana dan menjadikan wanita itu sebagai isteri keduanya.

Rizal kemudian memberitahu ibunya di kampung tentang hasratnya itu, namun ibunya tidak bersetuju. Ibunya menegaskan, tiada sebab Rizal perlu menduakan Wani kerana dia merupakan isteri yang baik, selain bekerja keras mencari rezeki untuk mereka sekeluarga.

Menyesal

Ibunya juga menjelaskan, Wani memberinya wang belanja sebanyak RM1,000 setiap bulan tanpa pengetahuan Rizal walaupun dia tidak pernah memintanya.

“Saya bagaimanapun tetap berkeras hendak mengahwini Hana dan memberitahu hasrat berkenaan kepada isteri.

“Wani pada mulanya kelihatan tenang, namun kemudian pengsan sebaik saja saya memberitahu sudah terlanjur dengan Hana.

“Melihat Wani pengsan, saya rasa menyesal dan membatalkan hasrat untuk berkahwin dengan Hana,” katanya.

Rizal kemudian memberitahu Hana bahawa dia tidak akan mengahwininya kerana tidak sanggup menduakan Wani dan meminta maaf atas keterlanjuran yang berlaku.

“Hana melenting sebaik saya memberitahunya dan mengugut akan membalas dendam terhadap saya dan isteri,” katanya.

Selepas detik itu, Rizal tidak lagi menghubungi Hana selain segera pulang ke rumah sebaik habis bekerja.

Bagaimanapun, kesihatan Wani merosot tidak lama selepas itu ekoran dia tidak mempunyai selera untuk makan, selain sering batuk berdarah hingga beratnya susut mendadak dan badannya menjadi sangat kurus.

Bagaimanapun, selepas membuat pemeriksaan kesihatan di hospital, doktor memaklumkan Wani tidak mempunyai sebarang penyakit.

Walaupun pernah terlintas di fikiran Rizal bahawa segala yang berlaku pada Wani disebabkan perbuatan sihir daripada Hana, namun dia tidak mahu menuduh tanpa bukti kukuh.

Sebaliknya dia berpendapat, kesihatan Wani merosot akibat dia terlalu sedih dengan kecurangan yang dilakukannya.

Menurutnya, kesihatan Wani terus merosot hingga akhirnya meninggal dunia empat bulan kemudian.

“Sehingga kini, saya masih menyalahkan diri saya atas kematian Wani.

“Saya berharap kesilapan saya ini dijadikan iktibar bagi para suami agar tidak sesekali menjalinkan hubungan sulit di belakang isteri.

“Bak kata pepatah, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna,” katanya menutup bicara.

Isteri sering sibuk dijadikan sebab seorang suami jalin hubungan sulit dengan seorang janda.