Hal itu kerana rakan-rakan sekelas di sekolah baharunya gemar membuli Haru.

Dia sering ditendang dan dipukul serta wang sakunya juga turut diambil oleh rakan-rakan sekelas.

Kejadian buli tersebut berterusan selama tiga tahun sehinggalah pada tahun lalu, Haru akhirnya ditemui mati di dalam bilik di rumahnya selepas membunuh diri akibat tekanan yang melampau.

Kes kematian Haru bukanlah asing di Jepun kerana pada tahun 2016, seorang kanak-kanak perempuan, Rima Kasai, 13, ditemui mati di rumahnya selepas menggantung diri.

Menurut bapa Rima, Go Kasai, anak perempuannya itu telah meninggalkan nota di dalam telefon bimbitnya yang mengatakan rakan-rakan sekelasnya merupakan punca dia memilih untuk mengambil nyawanya sendiri.

“10 hari sebelum Rima mati, saya merakamkan sekeping foto Rima memakai kimono berwarna putih dan merah yang cukup cantik.

“Dalam gambar itu, dia tersenyum lebar, seolah-olah hidupnya amat gembira dan bahagia.

“Begitupun, saya tidak menyangka dia akhirnya meninggalkan saya dengan membunuh diri,” tutur Go Kasai.

Diejek

Tambah bapa malang itu, anak perempuannya dipercayai telah diejek dalam aplikasi sosial Line dua tahun lalu sehingga menyebabkan dia mengalami tekanan melampau.

Tahun lalu, Jepun mencatatkan 250 kematian melibatkan kanak-kanak. Angka itu merupakan yang paling tinggi sejak 30 tahun lalu serta tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar bunuh diri dalam kalangan kanak-kanak di United Kingdom.

Daripada jumlah tersebut, seramai 33 kanak-kanak membunuh diri kerana bimbang tentang cabaran yang bakal dihadapi di universiti, 31 orang kanak-kanak mengalami masalah keluarga, 10 kanak-kanak berdepan masalah buli yang teruk, manakala 140 yang lain tidak diketahui puncanya.

Negara kedua mencatatkan jumlah kematian akibat bunuh diri di dunia pula ialah Korea Selatan diikuti Lithuania dan Hungary.

Ia melibatkan kanak-kanak dan remaja berusia antara 10 hingga 18 tahun. Mereka lazimnya membunuh diri pada tarikh 1 September kerana ia merupakan tarikh mereka mula kembali ke sekolah.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang penyelidik dari Institut Kebangsaan untuk Pendidikan dan Penyelidikan Polisi Jepun, Mitsuru Taki, jenayah buli di Jepun amat berbeza dengan jenayah buli di negara-negara Eropah.

“Biasanya, buli di Eropah melibatkan dua atau tiga orang kanak-kanak yang membuli seorang kanak-kanak lain.

“Di sini (Jepun), jenayah bulinya berbeza kerana ia melibatkan satu kumpulan kanak-kanak yang besar dan akan membuli seorang kanak-kanak lain, seterusnya meninggalkan kesan yang lebih buruk terhadap mental mangsa buli.

“Ia bagaikan satu fenomena,” jelasnya.

Laporan British Broadcasting Corporation (BBC) pula memberitahu, kadar bunuh diri di negara-negara maju meningkat disebabkan oleh beberapa faktor seperti buli, tekanan hidup dan juga pergolakan keluarga.

Ada juga antara mereka yang mengambil tindakan untuk membunuh diri akibat tidak tahu untuk mengambil jurusan apa apabila melanjutkan pelajaran di universiti kelak.

Sokongan emosi

Pengarah talian krisis dan kaunseling TELL yang berpusat di Tokyo, Vickie Skorji berkata, lebih memburukkan keadaan, isu kesihatan mental kanak-kanak di Jepun sering dipandang enteng serta tidak dibahaskan berbanding negara-negara lain.

“Kanak-kanak dan remaja di Jepun kurang mendapat sokongan dari segi mental dan emosi, menjadikan mereka lebih mudah tertekan apabila dibuli.

“Jika dibandingkan dengan tiga atau empat dekad lalu, sokongan emosi buat kanak-kanak zaman moden kini dilihat lebih lemah.

“Rasa tersisih dan keseorangan menjadi punca depresi lalu mendorong tindakan bunuh diri,” jelasnya seperti dipetik portal NY Times.

Di Jepun juga, budayanya sedikit berbeza apabila kanak-kanak sentiasa dikehendaki berada dalam satu kumpulan. Sekiranya mereka terkeluar daripada kumpulan tersebut, mereka akan menjadi mangsa buli.

Kumpulan pelajar yang dimaksudkan ialah golongan pelajar pintar, pelajar kaya dan juga mereka yang cemerlang dalam aktiviti sukan.

Bukan itu sahaja, guru-guru di sekolah juga tidak diajar cara mengesan kemurungan dalam kalangan kanak-kanak dan sering menganggap aktiviti buli itu sebagai pergaduhan kecil dalam kalangan kanak-kanak.

Mereka juga terlalu sibuk dengan tugasan harian dan sering terlepas pandang simptom-simptom tekanan yang mungkin ditunjukkan oleh pelajar sekolah.

Biarpun pelbagai langkah pencegahan diambil kerajaan untuk mengurangkan kes bunuh diri, tiada langkah pencegahan khusus yang bertumpu kepada kanak-kanak.

2,000 kes setahun

Sejak tahun 2012, kerajaan Jepun sudah pun mengambil langkah drastik bagi mengurangkan kes bunuh diri sebanyak 20 peratus menjelang 2025.

Biarpun jumlah kematian akibat bunuh diri secara umumnya mencatatkan pengurangan, ia sebaliknya menjadi semakin tinggi dalam kalangan kanak-kanak.

Hal ini kerana langkah-langkah pencegahan seperti mewujudkan papan tanda nasihat dalam Hutan Aokogihara yang menjadi lokasi bunuh diri paling popular di Jepun, dianggap lebih sesuai buat individu dewasa dan bukannya kanak-kanak.

Di Malaysia, biarpun kadar kematian bunuh dirinya agak rendah, ia tidak seharusnya dipandang ringan. Jika dahulu, kes bunuh diri dianggap kes terpencil, namun kini ia sudah berjangkit kepada golongan muda dan tidak mustahil akan berlaku terhadap kanak-kanak.

Sementara itu, menurut Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul, Malaysia juga mencatat statistik kes bunuh diri yang agak membimbangkan iaitu 2,000 kes setahun.

“Laporan Kesihatan Mental Remaja di Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun dalam Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (KKMK) 2017 menunjukkan remaja cenderung mengalami simptom tertekan dan kebanyakan mereka adalah remaja yang bersekolah dan menetap di kawasan bandar.

“Antara faktor lain yang mendorong masalah tertekan ialah perpecahan keluarga, kesunyian serta sikap gemar menyendiri untuk satu tempoh yang panjang,” ujarnya.

Laporan sama turut mendedahkan seramai 10 peratus remaja Malaysia terfikir untuk membunuh diri, 7.3 peratus merancang untuk membunuh diri dan 6.9 peratus melakukan atau pernah mencuba untuk membunuh diri.

Sebagai sebuah negara membangun ke arah mencapai status negara maju, isu bunuh diri perlulah segera ditangani.

Faktor psikologi seperti kemurungan serta gangguan personaliti yang boleh mencetuskan perlakuan bunuh diri perlu disedari kerana ia boleh dielakkan.

Selain ibu bapa, remaja sendiri perlulah sedar bahawa tindakan negatif seperti membunuh diri adalah salah di sisi agama dan ia bukanlah langkah untuk menyelesaikan masalah.