Jarum jam menunjukkan tepat pukul 4 pagi. Ia menandakan waktu untuk Muhammad Afiq Ismail bangun dari tidur dan bersiap ke tempat kerjanya.

Usai mengemas beg dan menyusun nota kuliah, jejaka berusia 23 tahun yang mesra disapa Afiq itu segera menuju ke halaman rumah lalu mendapatkan basikal kesayangannya yang diletakkan sebelah tiang lampu.

Afiq mengayuh basikal kira-kira 15 minit dari kawasan rumahnya di St. Andrews Avenue, Colchester, United Kingdom (UK) ke restoran Top Bar.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke restoran tersebut, anak kelahiran Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan itu terus masuk ke bilik janitor untuk menukar uniform tukang cuci.

Tanpa sedikit pun rasa malu, jejaka tersebut terus menaburkan sabun lalu menyental bahagian lantai restoran itu.

“Inilah rutin saya selama seminggu. Seawal pukul 5 pagi, saya akan memulakan tugas separuh masa sebagai pencuci di restoran ini sebelum menghadiri kuliah pada sebelah petang.

“Tugas saya meliputi mencuci dan mengemop lantai, menyapu, membersihkan sinki serta tandas.

“Bagi saya pekerjaan ini tidak sekalipun menggelikan kerana sebelum sambung belajar, saya sudah biasa melakukan kerja-kerja ekstrem seperti menjaga kambing dan lembu,” ujarnya dengan nada teruja ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Kesungguhan Muhammad Afiq bekerja di restoran itu tular di media sosial sehingga menyentuh hati ramai orang apabila ia dilakukan demi membeli tiket penerbangan kedua-dua ibu bapanya ke UK bagi menghadiri majlis graduasinya yang berlangsung pada 15 Julai lalu.

Afiq yang bekerja selama 20 jam seminggu akhirnya berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama (Kepujian) Perakaunan dan Kewangan.

Bertambah menarik, kisah hidupnya turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pujian kepadanya.

Seri Paduka dalam satu kenyataan kepada media baru-baru ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Afiq atas kejayaannya yang luar biasa.

Inspirasi

Seri Paduka bertitah dengan melahirkan rasa kagum atas sikap Afiq yang menghormati dan taat kepada ibu bapanya.

Selain itu, Seri Paduka mengagumi pengorbanan anak muda itu sehingga membolehkannya mencapai tahap kejayaan dalam pelajaran, sekali gus perjalanan hidup Afiq dan orang tuanya harus menjadi inspirasi kepada semua.

Menyingkap kisah hidupnya, anak bongsu daripada dua beradik itu memperoleh keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak begitu memberangsangkan.

Bagaimanapun, tanpa menyimpan sekelumit rasa putus asa, anak kampung tersebut tekad untuk bangun dan bekerja keras sehinggalah berjaya memperoleh keputusan membanggakan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sewaktu di tingkatan lima, saya pindah sekolah lain dan mengikuti aliran perakaunan.

“Saya memilih aliran tersebut kerana minat dengan nombor termasuk subjek Matematik.

“Ia mendorong saya belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya memperoleh keputusan SPM, 10A 1B,” katanya.

Berdasarkan keputusan yang cemerlang itu, dia memohon biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyambung pengajian di luar negara.

Pada masa sama, dia berjaya mengikuti pengajian jurusan perakaunan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Selepas seminggu, dia berhenti setelah ditawarkan pengajian A-Level kelolaan Kolej Intec di Shah Alam, Selangor sebelum menyambung pelajaran di University of Essex, UK dalam jurusan perakaunan dan kewangan,” ujarnya.

Nekad

Tidak pernah menaiki kapal terbang sejak kecil, Afiq amat teruja melihat keindahan ciptaan-Nya sepanjang perjalanan yang memakan masa selama 13 jam ke kota London.

Oktober tahun 2016, menjadi titik permulaan dalam dunia baharu Afiq apabila menjejakkan kaki di bumi Inggeris.

Tanpa berfikir panjang, dia menyimpan azam untuk membawa kedua-dua orang tuanya ke UK bagi melihat sendiri keindahan dunia luar.

“Ayah saya mempunyai masalah saraf dan penyakit lain menyebabkan keluarga saya mengalami masalah kewangan sewaktu saya berada pada tahun kedua. Di situlah detik permulaan saya menjadi seorang pencuci selama tiga tahun.

“Saya komited buat kerja separuh masa di bawah persatuan pelajar di universiti. Saya menabung bagi membayar tambang ibu bapa ke London kerana mereka belum pernah menaiki kapal terbang seumur hidup,” katanya.

Dengan berbekalkan semangat yang tinggi, Afiq telah bekerja selama empat jam sehari untuk menjadikan azamnya satu kenyataan.

“Saya kerja sebagai pencuci sebab waktu kerja yang fleksibel. Selepas tamat waktu kerja, barulah saya pergi ke kelas.

“Gaji saya RM500 seminggu dan saya antara orang Malaysia yang paling lama tahan bekerja di situ kerana waktu kerjanya awal pagi.

“Dalam adik-beradik, saya seorang sahaja yang belajar tinggi. Jadi, memang impian saya, untuk membawa ibu dan ayah melihat saya naik ke pentas mengambil ijazah,” ujarnya.

Pada mulanya, ibu dan bapanya hanya merancang untuk berjalan-jalan di UK dan seterusnya menghadiri majlis graduasi yang akan berlangsung beberapa hari selepas ketibaan mereka ke kota metropolitan itu.

Benarlah kata orang, tuah ayam nampak di kaki, namun tuah manusia tidak siapa yang tahu.

Ibunya, Norma Abdullah, 52, dan bapanya Ismail Abbas, 56, langsung tidak menyangka kedatangan mereka ke UK disambut dengan khabar yang begitu menggembirakan apabila mendapat tahu anak mereka memperoleh ijazah kelas pertama.

“Pada mulanya, saya fikir kami berdua tidak berpeluang melihat Afiq bergraduasi kerana masalah kewangan yang kami hadapi.

“Namun, Afiq ada memaklumkan hal berkenaan (menjadi tukang cuci) hanya semata-mata untuk menghadiahkan saya dan suami tiket penerbangan serta untuk menampung perbelanjaan kami sewaktu di sana.

Impian jadi realiti

“Apabila kami di sana, kami dimaklumkan lagi bahawa Afiq memperoleh keputusan yang sangat cemerlang sehinggakan saya dan suami berlinangan air mata mengenangkan pengorbanannya,” ujar ibunya yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual kain di kampung.

Menceritakan pengorbanan Afiq itu, Norma pada mulanya membantah keputusan anaknya itu untuk bekerja separuh masa dek kerana takut ia akan mengganggu pelajarannya.

Namun, dengan waktu kerja yang sistematik dan teratur, Norma akhirnya akur dengan keputusan anaknya itu.

“Saya dan suami tidak pernah mengirim duit kepada Afiq kerana dia hanya bergantung kepada tajaan biasiswa JPA. Justeru, ia merupakan salah satu faktor kenapa dia tekad untuk bekerja keras mencari duit lebih,” katanya.

Mengulas lanjut, Norma menyifatkan Afiq anak yang sangat ringan tulang dan telah berdikari sejak kecil lagi.

Menurutnya, Afiq gemar menolong ayahnya mengait buah kelapa sawit dan melakukan kerja-kerja berkebun apabila pulang ke kampung halaman semasa cuti semester.

“Sejak kecil lagi, Afiq selalu tolong ayahnya menjaga kebun, menggembala kambing, memesin rumput, menjaga kedai runcit ayahnya serta menoreh getah. Pendek cerita, dia sudah biasa melakukan kerja-kerja berat sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Afiq mempunyai seorang abang berumur 26 tahun yang merupakan orang kelainan upaya. Justeru, Afiq lah yang banyak melakukan kerja menolong ayahnya,” terangnya.

Kejayaan Afiq tidak berhenti di situ sahaja kerana dia telah ditawarkan kerja di salah satu syarikat perakaunan terbesar di negara ini iaitu Big Four pada Oktober ini.