Ada yang membunyikan hon dan tidak kurang juga melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Kebanyakannya nampak kagum dengan kereta yang dipandu Mugno.

Kereta milik wanita berusia 47 tahun itu bukanlah daripada model terbaharu atau berjenama mewah, namun ia berjaya mencuri tumpuan para pemandu lain dek kerana badan keretanya yang berbulu.

Kereta jenama Fiat 500 tahun 1975 itu dilitupi rambut manusia seberat kira-kira 100 kilogram.

Tambah menarik, Mugno tidak hanya meletakkan rambut itu pada keseluruhan bahagian luar badan kereta, malah bahagian dalamnya termasuk kerusi, stereng dan papan pemuka turut diselimuti rambut.

“Hanya bahagian rim, tayar dan enjin sahaja yang dikecualikan daripada rambut ini. Saya sengaja berbuat demikian bagi mengelak kemungkinan bahaya seperti kebakaran.

“Sebab itulah juga, kereta ini boleh dipandu di atas jalan raya tanpa menyalahi undang-undang,” katanya seperti dipetik portal Mail Online.

Rambut dari India

Mugno yang merupakan seorang pendandan rambut di Salerno ‘menghias’ kereta vintajnya itu dengan rambut untuk mencatat rekod kereta paling berbulu di dunia.

“Sebenarnya saya menyahut cabaran seorang rakan yang merasakan saya tidak mampu melakukannya. Jadi saya berusaha keras untuk membuktikan bahawa tanggapannya silap,” katanya.

Menurut Mugno, dia mengambil masa selama 150 jam untuk menjahit jalinan rambut itu antara satu sama lain.

“Saya menggunakan rambut yang diimport dari India memandangkan kualitinya lebih bagus daripada produk keluaran Eropah. Ia lebih kuat dan tahan lasak.

“Sebelum memasang pada kereta, rambut itu dibasmi kuman dan dicuci menggunakan peluntur selain mewarnakannya mengikut cita rasa yang dikehendaki,” ujarnya.

Mugno memberitahu, kos rambut itu menelan belanja besar dan menjadikan nilai kereta itu bertambah menjadi kira-kira £60,000 (RM320,000) berbanding harga asalnya hanya £556.

Sebelum ini, Mugno menerima pengiktirafan untuk kereta paling berbulu daripada Guinness World Records pada tahun 2010.

Bagi rekod terbaharu, dia menambah 20 kilogram rambut pada bahagian luar kereta itu.

Cerita Mugno, dia bersama-sama seorang rakan yang juga pembantu seni, Valentino Stassano membuat rekaan sayap rama-rama daripada juraian rambut berwarna hitam, perang keemasan dan oren.

“Sebelum ini, saya membuat hiasan topi di atas bumbung kereta. Saya tidak mengusik apa-apa sebaliknya hanya menambah sayap pada struktur topi tersebut.

“Saya berharap hiasan rambut tambahan itu menjadi simbol kepada kebebasan dan keamanan dunia,” ujarnya yang mengambil masa 20 hari untuk menyiapkan hiasan berkenaan.

Sayap rama-rama

Meskipun sesuai untuk pameran, Mugno mengakui masih memandu kereta dengan nombor plat SA 637733 itu seperti biasa.

“Saya memandunya ke pasar raya dan tempat kerja. Pada hari hujan, saya mengelak membawanya keluar,” ujarnya.

Ibu kepada dua orang anak itu juga amat mementingkan aspek penjagaan agar keretanya sentiasa cantik dan berada dalam keadaan baik.

“Jika mempunyai masa lapang, saya akan memandikannya dengan syampu, menyikat serta memotong lebihan rambut,” katanya.

Mugno memberitahu, dia bersedia untuk menjual kereta itu kepada mana-mana individu yang berminat.

Buat masa ini, kereta tersebut dilelong secara online di laman web Catwiki dengan jumlah bidaan mencecah £100,000 (RM548,000).

Dandanan rambut semula jadi seberat 120 kilogram jadi penghias kereta vintaj.