Seorang guru wanita telah berkongsi di akaun Twitternya 
@amymistika mengenai cabaran mengajar seorang pelajar lelaki yang terlalu malu dan pendiam.

“Saya ditugaskan untuk mengajar sebuah kelas yang majoriti pelajarnya sangat agresif. Ketika pertama kali melangkah ke kelas itu, mata saya tertarik ke arah seorang pelajar lelaki yang hanya duduk membisu walaupun dalam suasana kelas yang bising.

“Hairan melihat sikapnya, saya kemudian bertanyakan namanya, namun dia enggan menjawab dan terus tunduk membisu.

“Seorang murid kemudian datang dan memberitahu bahawa pelajar tersebut memang berperangai sebegitu,” jelasnya.

Bimbang dengan prestasi pelajar tersebut, dia kemudian mengambil pelbagai inisiatif untuk menarik perhatian murid itu untuk bergaul dengan pelajar lain dan belajar seperti biasa.

Usaha itu membuahkan hasil apabila pelajar yang mulanya pendiam itu akhirnya berubah dan mula melakukan tugasan yang diberikan guru.

Perkongsian guru itu menjadi tular di laman sosial dan dipuji oleh netizen. Rata-rata melahirkan rasa bangga atas keprihatinan guru itu melaksanakan tugasnya sebagai seorang guru.