Bagaimanapun, kini muncul tarikan terbaharu berhampiran kuil purba itu apabila tular satu video tentang seorang budak lelaki yang bernama Thuch Salik.

Salik yang berusia 14 tahun telah menjadi tular di laman-laman sosial baru-baru ini selepas seorang pelancong wanita dari Malaysia, Venus Goon yang berkunjung ke kuil itu memuat naik video di Facebook tentang penguasaan anak muda itu bertutur dalam kira-kira 10 bahasa berbeza antaranya bahasa Inggeris, Sepanyol, Jerman, Tagalog (Filipina), Melayu dan beberapa dialek Cina.

Video itu menjadi tular di seluruh Kemboja dan negara-negara lain di Asia. Video asalnya telah ditonton sebanyak sejuta kali dan dikongsi oleh banyak portal berita di China.

Jika sebelum ini hidupnya terabai, kini perhatian diberikan kepada Salik. Malah, dia telah dijemput untuk lawatan tiga hari ke Beijing, China dan diwawancara oleh media di negara tersebut.

Salik juga boleh mengira satu hingga 10 dalam 16 bahasa iaitu bahasa Jerman, Itali, Perancis, Sepanyol, Kemboja, Inggeris, Tagalog, Melayu, Mandarin, Kantonis, Hainan, Rusia, Thailand, Vietnam, Korea dan Jepun.

Salik adalah salah seorang daripada kumpulan kanak-kanak yang berada di pintu masuk kuil-kuil popular di Kemboja dengan harapan untuk menjual cenderamata seperti magnet peti sejuk dan poskad kepada pelancong-pelancong asing.

Selalunya jarang kanak-kanak seusianya mengambil inisiatif untuk belajar berkomunikasi dalam bahasa asing daripada pelancong dari China, Korea Selatan dan Eropah yang kerap mengunjungi kawasan kuil di negara itu tetapi berbeza bagi Salik. Dia telah berjaya meningkatkan kemahiran berbahasanya.

Salik telah mencabar dirinya dalam linguistik dan mengejutkan pelawat yang berkunjung ke situ dengan kebolehannya bercakap dalam banyak bahasa asing.

Kemahiran berbahasanya juga adalah sesuatu yang luar biasa.

“Saya mula menjual cenderamata ketika berusia 11 tahun dan sekarang telah menjualnya selama tiga tahun. Saya hanya tahu satu bahasa saja pada mulanya,” katanya kepada Channel News Asia baru-baru ini.

Senyuman

Jelas Salik, pada mulanya dia hanya mengetahui bahasa Inggeris tetapi kemudian ibunya telah menghantar Salik ke kawasan Gunung Bak Kheng untuk menjual cenderamata.

Kawasan itu banyak menerima kehadiran pelancong dari China dan dia kemudiannya belajar bertutur bahasa Cina dengan mereka.

“Sekiranya saya melihat pelancong dari China saya akan mula menyanyi dalam bahasa mereka.

“Para pelancong dari China berkata: Wah! anda juga boleh berbahasa saya dengan baik. Anda akan menjadi seorang superstar di negara saya,” katanya.

Begitulah jua kaedah yang digunakan oleh Salik untuk menarik perhatian pelancong yang boleh berbahasa Inggeris.

Dia akan memberikan senyuman dan menuturkan beberapa lirik daripada lagu berjudul Shape of You yang dipopularkan penyanyi, Ed Sheeran.

Wang yang diperoleh Salik kemudiannya diserahkan kepada ibunya yang digunakan untuk keperluan harian rumah dan membiayai pendidikan Salik serta adik-beradiknya yang lain.

Keluarga Salik juga bergelut dengan hutang dan mereka tinggal di sebuah rumah kecil yang terletak hanya beberapa ratus meter dari kuil purba Ta Prohm.

Ibunya, Mann Vanna akan mengiringi Salik dan adiknya Tithya untuk ke Ta Prohm setiap hari untuk menjual cenderamata. Dia bagaikan tidak percaya anaknya itu kini menjadi tumpuan.

“Saya berasa sangat gembira dan teruja.

“Walaupun saya ibunya, saya tidak menyedari betapa pintar anak saya dan dia tahu lebih daripada 10 bahasa. Saya tidak fikir anak saya boleh menyerap semua pengetahuan ini dan otaknya boleh mengingati banyak perkara serta boleh menggunakan bahasa-bahasa ini untuk menjual barangan untuk menyokong keluarga. Saya tidak boleh percaya dan saya berasa terkejut sekali,” katanya.

Vanna menggambarkan anaknya mempunyai jiwa yang amat baik.

Salik seorang pelajar yang bersemangat dan tidak pernah mengadu tentang memakai pakaian lama, menunggang basikal ke sekolah untuk jarak yang jauh dan dia tidak merungut walaupun tidak mempunyai cukup makanan untuk dimakan.

“Saya nampak orang lain membeli pakaian baharu untuk anak-anak mereka. Saya berasa kecewa dengan diri saya sendiri kerana kita tidak mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian dan saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

“Saya memberi mereka kehidupan tetapi saya tidak mempunyai kemampuan untuk memberi pengetahuan dan kemewahan,” kata Vanna.

Sekarang, kehidupan keluarga Salik telah berubah.

Sebelum ke China, mereka telah dibawa melawat secara berbayar untuk menjadi tetamu di program televisyen tempatan di ibu kota, Phnom Penh.

Usahawan dan orang kenamaan juga telah berjanji untuk memberikan bantuan kewangan, mendermakan basikal dan menyokong pendidikan Salik sehingga ke universiti.

Eksploitasi

Selain itu, keluarganya juga dijemput untuk melawat ke Hong Kong.

Dalam pada itu, walaupun keluarga Salik mendapat manfaat daripada itu, masih terdapat ratusan kanak-kanak lain yang bernasib malang di sekitar kawasan Angkor.

Di seluruh Kemboja, kanak-kanak digunakan sebagai alat untuk menambah pendapatan keluarga dan mereka sering terpaksa berkorban untuk mendapatkan pendidikan.

Salik beruntung kerana berpeluang mendapat pendidikan dan dia menghadiri sekolah setiap hari dan bekerja pada waktu petang.

Tetapi kadang-kadang, dia tidak dapat ke sekolah apabila keluarga kekurangan wang dan ibunya sendiri mengakuinya.

Di Kemboja ramai kanak-kanak lain tidak mendapat peluang untuk pergi ke sekolah.

Dalam pada itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Kemboja menganggarkan bahawa 80,000 kanak-kanak di negara itu tidak dapat pergi ke sekolah.

Organisasi itu mengatakan bahawa penderaan dan eksploitasi kanak-kanak adalah tertinggi di negara itu atas faktor kemiskinan.

Kanak-kanak di Kemboja juga aktif bekerja dalam industri yang berisiko seperti membuat batu-batan dan perlombongan garam.

Ketua Perlindungan Kanak-Kanak UNICEF Kemboja, Bruce Grant berkata, memberi wang kepada kanak-kanak di tapak-tapak pelancongan atau di jalanan akan menjadikan keadaan lebih buruk.

“Nasihat kami ialah jangan memberi wang atau membeli barangan daripada kanak-kanak. Saya tahu ia sesuatu yang sukar untuk dilakukan,” katanya.

Grant mencadangkan agar pelawat hanya membeli barangan daripada orang dewasa.

Di Kemboja, terdapat beribu-ribu kanak-kanak di jalanan. Ramai daripada mereka dipaksa untuk mengemis.

Pelancong asing merasa sedih dan memberikan mereka wang tetapi wang itu tidak akan dapat kepada kanak-kanak itu, sebaliknya masuk ke poket broker yang menguruskan mereka.