Menariknya, kes ‘membebalkan’ netizen ini berlaku sebenarnya hanyalah disebabkan oleh makanan kegemaran ramai iaitu laksa.

Ia bermula apabila doktor tersebut membuat perkongsian bahawa tiada sebab kukuh laksa tidak boleh dimakan oleh ibu yang baru melahirkan anak.

Tindakan tersebut sekali gus bagaikan menyelar amalan berpantang tradisional Melayu yang melarang si ibu untuk makan laksa kerana dikhuatiri menyebabkan kembung perut, sakit urat dan sebagainya.

Perbalahan terjadi apabila seorang wanita kemudian meninggalkan komen di ruangan status doktor tersebut berkongsi pengalamannya yang diserang sakit urat akibat melanggar ‘pantang laksa’.

Perkongsian wanita tersebut kemudian menimbulkan kemarahan si doktor yang enggan berkompromi dengan pantang makanan tersebut yang dianggap karut.

Enggan menyebelahi mana-mana pihak, Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Mohd. Rushdan Md. Noor, berkongsi tentang pemakanan selepas bersalin dengan lebih terperinci.

Menurut Mohd. Rushdan, berpantang dalam dunia perubatan diistilahkan sebagai tempoh postpartum ataupun puerperium, iaitu merujuk kepada tempoh enam minggu (42 hari) selepas melahirkan anak.

“Ketika melahirkan anak, sama ada secara normal mahupun pembedahan, ibu akan kehilangan tenaga dan darah yang sangat banyak.

“Tempoh postpartum adalah tempoh di mana organ badan ibu termasuk organ peranakan, aliran darah, fungsi jantung, paru-paru, buah pinggang akan beransur pulih seperti sebelum hamil,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya , secara umum, tujuan berpantang (tradisional) dan postpartum adalah sama iaitu untuk mengembalikan tahap kesihatan si ibu.

Begitu pun, ia mungkin sedikit berbeza apabila menyentuh soal makanan si ibu dalam tempoh ini.

“Pada asasnya, dalam sains perubatan, tidak ada makanan tertentu yang mesti dielakkan si ibu yang telah melahirkan anak.

Berkhasiat

“Jika sebelum hamil, ibu boleh memakan makanan tersebut, ianya boleh diteruskan semasa hamil dan sepanjang tempoh berpantang asalkan berkhasiat dan bersih,” ulasnya.

Jelasnya lagi, jika pun ada makanan yang tidak boleh diambil, ia sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri.

“Pertama, setiap individu mempunyai kandungan flora (bakteria usus) yang berbeza. Ada yang floranya bertindak menghasilkan gas yang banyak apabila sesuatu makanan dicerna sekali gus menyebabkan perut tidak selesa, kembung serta banyak lagi.

“Kedua, mungkin juga disebabkan si ibu sememangnya alah kepada makanan dan minuman tertentu sehingga menyebabkan badan menjadi gatal, bengkak, bersin serta cirit-birit,” katanya.

Selain itu, larangan makanan juga ada kalanya tertakluk pada ubat yang diambil oleh si ibu.

Contohnya, jika ibu mengambil warfarin iaitu sejenis ubat pencair darah, mereka tidak digalakkan mengambil makanan yang tinggi vitamin K seperti bayam, brokoli dan asparagus yang boleh mengurangkan kesan ubat.

Kesimpulannya, hanya ibu itu sendiri yang mengetahui makanan yang boleh dimakan atau tidak.

“Paling penting, amalkan prinsip pemakanan yang betul, seperti makanan yang mengandungi makronutrien (karbohidrat, protein, lemak dan serat) serta mikronutrien (mineral dan vitamin).

“Pada saya, tiada salahnya berpantang secara tradisional, cuma, saya menolak pantang yang jauh bertentangan dengan perubatan moden seperti larangan minum air kosong, makan daging dan sebagainya kerana ia boleh memudaratkan ibu dan bayi,” terangnya.

Menyentuh mengenai fenomena ‘doktor bebal’ di Facebook, Pakar Psikologi Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Rozmi Ismail berkata, ia adalah tindakan yang sangat tidak wajar dilakukan oleh lebih-lebih lagi bagi seorang yang bergelar profesional.

Katanya, terdapat pelbagai ragam, kepercayaan dan amalan orang di dunia ini dan ia bergantung kepada pelbagai faktor termasuklah persekitaran, gaya hidup dan banyak lagi.

“Dalam kes tular ini umpamanya, doktor ini mengklasifikasikan seseorang itu bebal hanya kerana tidak mempunyai pemahaman secelik dan semoden seorang yang pakar mengenai perubatan.

“Bagi saya, doktor ini mungkin mahir dalam kariernya, namun kurang arif mengenai kemahiran komunikasi serta ilmu psikologi, yang sangat penting dalam tugas berkisar perkhidmatan. Sebaiknya, tegur dan kongsilah ilmu dengan lebih toleransi meskipun sukar,” tegasnya.