Dari sudut pandang Islam, jiran ialah individu yang tinggal bersebelahan rumah di sesebuah kawasan kejiranan meliputi kira-kira 40 buah dari setiap sudut.

Sama ada individu itu suka atau tidak dengan jiran mereka, golongan itu tetap memainkan peranan tersendiri dalam masyarakat.

Maka tidak hairanlah, isu berkaitan jiran itu kerap disebut dalam al-Quran menerusi bait-bait surah dalam mushaf itu.

Begitulah yang dikongsikan Pendakwah dan Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahazan Mohamed ketika mengulas mengenai kepentingan hidup berjiran.

Hal ini kerana menurutnya, Islam menitikberatkan hubungan harmoni dan persaudaraan antara satu dengan lain.

Selain itu, agama Islam menghubungkan pertalian silaturahim dan kebaikan sesama manusia.

Katanya, Nabi Muhammad SAW sendiri mengangkat martabat jiran dengan menyatakan: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah memuliakan jirannya.”

Ayat ini menjelaskan, Islam memandang tinggi kepentingan hubungan kejiranan ini.

“Disebabkan itu, umat Islam diseru untuk sentiasa menjaga hak-hak sebagai jiran bagi memastikan hubungan sosial dalam kawasan kejiranan itu lebih harmoni.

Selain memenuhi hak sebagai seorang jiran sesama Muslim, kita sebagai orang Islam sendiri perlu tahu hak-hak sesama jiran bukan beragama Islam, jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, mengganggu jiran sehingga mendatangkan ketidakselesaan kerap berlaku dalam masyarakat.

Antara masalah yang lazim berlaku di sesebuah kejiranan ialah sampah-sarap dan suasana bising sehingga larut malam termasuk haiwan peliharaan.

Jelas Zahazan, perkara tersebut tidak wajar berlaku sekiranya individu itu menggunakan akal fikiran dan budi bicara mereka sebagai penghuni kawasan kejiranan.

Bahkan akuinya, masyarakat kita tidak sedar sikap negatif itu akan menjejaskan keselamatan dan hubungan sesama masyarakat.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, tiga beranak mengaku salah mencederakan jiran menggunakan besi, topi keledar dan parang di hadapan sebuah apartmen di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Dalam kejadian tersebut, mangsa S. Viknes Kumar, 23, yang memandu kereta Proton Persona melalui lorong di belakang pangsapuri itu dan berselisih dengan motosikal yang ditunggangi tertuduh.

Hukuman

Tertuduh, Rosliza Md. Isa, 31, mengeluarkan kata-kata kesat kepada mangsa sebelum ekzos motosikal miliknya dilanggar mangsa.

Rosliza berang dan memarahi mangsa sambil menarik baju dan meminta ganti rugi kerosakan tersebut.

Mangsa yang ketakutan melarikan diri, tetapi telah dikejar oleh adiknya, Ros Iman, 26, dan bapanya, Md. Isa Ismail, 63, yang kemudiannya bertindak memukul sehingga mangsa mengalami kecederaan.

Akibatnya, Mahkamah Majistret Selayang telah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan ke atas Rosliza manakala empat bulan penjara terhadap Md. Isa dan Ros Iman.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, sengketa antara penduduk di kawasan kejiranan melibatkan kaum berbeza lazim berlaku.

Katanya, ia mudah berlaku disebabkan salah faham, masalah perhubungan selain tebalnya tembok perkauman dalam diri segelintir masyarakat.

Pesannya, sifat hasad dengki dan kebencian itu seharusnya dihapus secara menyeluruh kerana ia merosakkan fungsi kejiranan.

“Sepatutnya, jiran itu berfungsi sebagai elemen yang memastikan keharmonian dalam masyarakat.

“Hal ini kerana, golongan itu boleh menjadi mata-mata yang berupaya mengurangkan risiko jenayah di sesuatu kawasan selain memerhati dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat perkara mencurigakan.

“Bahkan, jiran juga boleh menjadi individu untuk bergantung harap sekiranya terdapat sebarang kejadian kecemasan,” ujarnya.

Oleh itu, setiap penduduk perlu tahu mengambil hati jiran mereka agar sebarang sengketa dapat dijauhi.

Antara cara termudah yang boleh dilakukan seperti menjemput jiran menghadiri majlis keraian, pemberian juadah termasuk program-program komuniti.