Beliau ketika itu bersama tujuh orang anggota dan pegawai pasukan sukarelawan Malaysia International Search and Rescue (MISAR) terlibat dalam misi mencari dan menyelamat mangsa tragedi berkenaan.

Pasukannya tiba di Gorkha pada hari ketujuh tragedi tersebut berlaku. Bau mayat lantas menyusuk hidung, namun ia tidak mematahkan semangat mereka dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa.

“Sebaik sahaja kami menjejakkan kaki di bumi Nepal, kami terkejut melihat mayat bergelimpangan dan ada yang dihimpit runtuhan bangunan dan serpihan batu besar.

“Dengan kerjasama tentera Nepal dan agensi sukarelawan seluruh dunia, kami bertungkus-lumus mencari dan menyelamatkan mangsa di bawah runtuhan itu,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang berlaku pada 25 April 2015 itu mengorbankan 8,857 orang dan 21,952 orang lagi cedera.

Noordin juga pernah menyertai kerja-kerja kemanusiaan termasuk tragedi taufan Ketsana di Filipina pada 2009 dan bencana banjir besar di Thailand (2012), tetapi menurutnya keadaan di Gorkha lebih dahsyat.

Lebih menyayat hati, lelaki yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu turut menemui mangsa yang berpelukan sesama sendiri di bawah runtuhan bangunan sepanjang tujuh hari berkhidmat di negara itu.

MISAR merupakan badan sukarela yang bergerak sendiri. Begitupun, kelancaran operasi dan aktiviti MISAR dibantu dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.

Menurut pengasasnya, Kapten K. Balasupramaniam atau lebih mesra disapa Bala, sejak ditubuhkan pada tahun 1991, MISAR terlibat lebih daripada 100 misi dalam negara seperti bencana banjir, kemalangan jalan raya, runtuhan bangunan dan memadam kebakaran.

Katanya, MISAR juga terbabit dalam lapan misi menyelamat dan bantuan kemanusiaan di peringkat antarabangsa seperti Iran, Myanmar, China, Thailand, Nepal, Filipina, Indonesia dan Peru.

Kini, MISAR mempunyai ahli seramai 59 orang dan 25 orang daripadanya berkhidmat sepenuh masa dengan berpangkalan di Jalan Wirawati 6, Taman Maluri, Kuala Lumpur.

Kursus

Tambah Bala, beliau mendapat latihan menyelamat dan pengurusan bencana daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta NGO seperti Rescue Three dan Outrage.

Anggota MISAR pula, mengikuti kursus berkenaan dari semasa ke semasa daripada NGO seluruh negara.

“Kami mempunyai hubungan atau rangkaian antarabangsa yang baik dengan NGO luar negara misalnya seperti CISAR di China dan NISAR (Nepal).

“Merekalah yang menyalurkan maklumat dan meminta bantuan kami terutamanya dalam misi mencari dan menyelamat,” katanya.

Dari segi sokongan kewangan pula, MISAR bekerjasama dengan syarikat korporat dan swasta dalam menjalankan program khidmat masyarakat (CSR) seperti kempen kesedaran pencegahan kebakaran dan program keselamatan untuk kanak-kanak.

Bala memberitahu, pihaknya juga, diberi kepercayaan dari negara luar seperti China, Kanada dan Rusia bagi menggunakan produk peralatan mencari dan menyelamat mereka.

“Antara peralatan berkenaan termasuklah Rescue Radar, ResQPalm dan Findar yang merupakan antara teknologi canggih untuk kegunaan misi mencari dan menyelamat di serata dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Bala memberitahu, pihaknya mengalu-alukan rakyat Malaysia yang ingin menyertai MISAR dengan syarat mereka melepasi kriteria-kriteria tertentu.

Keahlian

“Begitupun, keutamaan keahlian dipilih berdasarkan kemahiran yang mereka miliki dan sesuai dengan misi menyelamat.

“Contohnya, jika anda pandai berenang dan menyelam, sudah tentu kami akan menghantar anda menyertai operasi mencari mangsa lemas,” katanya mereka yang dipilih akan diberi latihan secara berterusan oleh MISAR dan agensi pasukan penyelamat lain dalam negara.

Bagi anggota mahir sama ada sepenuh masa atau separuh masa berpeluang menyertai misi-misi mencari dan menyelamat di dalam dan luar negara.

Tambah Bala lagi, pihaknya adalah sebuah organisasi kecil dengan yang wawasan besar.

“Kami tidak mahu melangkaui tugas agensi pasukan penyelamat yang sedia ada di Malaysia kerana kami sendiri menganggap MISAR ini sebagai pasukan sokongan dan secara sukarela untuk mereka.

“Pada masa sama, kami bekerjasama rapat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sekiranya berlaku sesuatu kemalangan atau tragedi yang berdekatan, kami boleh beri bantuan awal.

“Menjalankan operasi menyelamat adalah satu tanggungjawab dan kami lakukan dengan ikhlas demi kepentingan awam tanpa mengharapkan imbuhan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noordin memberitahu, sepanjang berkhidmat dalam MISAR selama 15 tahun, beliau tidak mempunyai masalah membahagikan masa bersama keluarga, kerjaya dan kerja sukarelawan.

“Isteri dan anak saya memahami tugas yang saya lakukan ini. Majikan juga menyokong dengan memberi perlepasan kepada saya sekiranya berlaku kecemasan atau bencana yang memerlukan saya berada di lokasi kejadian,” ujarnya yang merupakan pegawai keselamatan dan kesihatan di sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya, Selangor.

Perkara berkenaan turut diakui rakannya, Lai Puei Yee, 32, yang juga menyertai MISAR pada lima tahun lalu, walaupun memegang status sebagai peguam di firma guaman sendiri, gadis berketurunan Cina itu menganggap ia satu kepuasan diri dalam berbakti menyumbang kudrat dan tenaga membantu mangsa.

Katanya, bukan populariti, pujian atau ganjaran yang ingin dikejarnya, tetapi dengan menggunakan kemahiran dan ilmu serta kepakaran yang ada untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

“Saya sudah melihat pelbagai tragedi dan kesukaran seseorang yang trauma dengan kejadian menimpa mereka. Oleh itu, situasi berkenaan harus dibantu dengan memberi harapan kepada mereka.

“Apabila pergi ke tempat sebegini, saya selalunya memastikan diri bersedia dari segi mental dan fizikal agar dapat memberi bantuan kepada mangsa,” ujarnya juga berasal dari Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Bercerita pengalaman sukar sepanjang khidmatnya bersama MISAR ialah membantu mangsa banjir di Kelantan.

“Kami membantu mereka yang terperangkap di dalam rumah yang hampir ditenggelami air, kebanyakan mereka adalah warga emas.

“Jadi untuk memindahkan mereka ke tempat selamat agak sukar kerana kudrat mereka membataskan pergerakan. Namun, ia tidak menjadi penghalang buat kami untuk menyelamatkan mereka,” katanya ketika mengimbau semula misi MISAR yang disertainya.

Kongsi Puei Yee lagi, pada setiap hari Ahad, dia dan bersama-sama anggota MISAR akan memperuntukkan masa selama empat jam berlatih dengan menjalankan operasi simulasi mencari dan menyelamat mangsa yang terletak di Akademi MISAR di Jalan Sultan Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

“Latihan ini penting untuk dilakukan kerana kita tidak dapat menjangkakan apa yang berlaku pada masa akan datang, malah peralatan dan teknologi yang kami gunakan semasa latihan juga perlu sentiasa biasa digunakan,” ujarnya.

Sejak tahun 1991, anggota pasukan sukarelawan Malaysia International Search And Rescue (MISAR) telah menjalankan pelbagai misi bantuan mencari dan menyelamat di dalam dan luar negara.