Kerangupannya dimakan ketika panas bersama sedikit garam membuatkan ia sukar ditolak oleh sesiapa pun baik kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Ketika kebanyakan orang menganggap kentang goreng sebagai makanan ringan yang enak, menu ini sebenarnya dianggap cukup istimewa oleh penduduk Belgium.

Negara yang terletak di barat Eropah itu mengangkat kentang goreng yang dimakan bersama sos mayonis sebagai sajian signatur mereka.

Lantaran itu, setiap jalan di sekitar Belgium terutamanya di kawasan tumpuan pelancong dipenuhi gerai-gerai menjual kentang goreng.

Menurut sejarah, sajian kentang goreng tercipta pada tahun 1830.

Ia dipercayai berasal dari Perancis. Namun, terdapat pertikaian mengatakan bahawa ia sebenarnya terhasil di bandar Namur, Belgium yang menggunakan bahasa Perancis sebagai perantaraan.

Masyhur

Enggan mengalah dengan Perancis, kerajaan Belgium tampil mencari jalan agar hidangan popular yang digelar fritkot di negara itu lebih masyhur berbanding French fries.

Baru-baru ini, Belgium mengambil keputusan untuk mengubah wajah sebahagian gerai jualan kentang goreng terutamanya di ibu negara, Brussels.

Sebagai permulaan, lapan gerai jualan fritkot milik pihak berkuasa Brussels telah ditutup buat sementara waktu. Ia dijangka dibuka semula sekitar penghujung tahun 2019.

Antara lokasi yang terlibat ialah gerai yang terletak di luar Muzium Atomium, Place De La Chapella berdekatan pasar barangan antik dan bangunan peninggalan sejarah Mont des Arts.

Menurut perancangan, kesemua gerai tersebut bakal ditransformasikan menjadi gerai mewah dilitupi susunan cermin kaca berkilau serta dihiasi lampu bergemerlapan.

Pegawai Kanan Hal Ehwal Ekonomi Brussels, Marion Lemesre menyifatkan pembaharuan yang bakal ditampilkan ini sebagai perkara yang bakal menguntungkan negara terutamanya dari segi pelancongan.

“Kami mahu jadikan gerai kentang goreng sebagai ikon Belgium sama seperti pondok telefon berwarna merah yang menjadi tumpuan pelancong di London,” ujarnya.

Terdahulu, Brussels turut menganjurkan pertandingan bagi mendapatkan rekaan terbaharu gerai jualan kentang goreng mereka dengan tema Fritkots of the Future.

Pertandingan tersebut dimenangi oleh Studio Moto. Mereka ialah sebuah firma arkitek yang terletak di Ghent, sebuah bandar di utara Belgium.

Pemilik Studio Moto, Mo Vandenberghe dan Thomas Hick mengakui berdepan kesukaran dalam menghasilkan rekaan dan konsep terbaik bagi merealisasikan misi tersebut.

“Fritkot merupakan sebahagian daripada budaya Belgium. Sebelum ini, tiada standard warna ditentukan. Kini, kami perlu memastikan supaya rekaan yang terhasil lebih moden namun boleh diterima oleh semua orang terutama penduduk Belgium sendiri.

Sokongan

“Selain cermin kaca dan efek lampu mewah, kami turut memilih dua warna unik bagi setiap lokasi. Warna pertama akan digunakan pada papan tanda dan selebihnya sebagai warna hiasan dalaman,” katanya.

Usaha tersebut ternyata mendapat sokongan daripada pengendali gerai yang terlibat.

“Tanpa kentang goreng, Belgium tidak wujud. Ia merupakan wakil negara ini di seluruh dunia. Saya percaya, gerai yang lebih cantik dan tersusun di ibu negara akan membantu meletakkan kentang goreng kami di peta dunia.

“Kami bukan ingin menghasilkan menu baharu, tetapi mahu dunia mengetahui bahawa kentang goreng berasal dari Belgium,” tegas Vuistema Kemal yang sudah hampir dua dekad bekerja sebagai pengendali gerai jualan di Place De La Chapelle. – AFP