Bagaimanapun, keadaan itu berubah selepas pelabuhan kontena Kendari Newport dibangunkan sekali gus menjadi tumpuan ramai untuk membeli tanah-tanah di kawasan tersebut kerana ia akan menjadi pusat perniagaan di ibu kota wilayah Sulawesi Tenggara.

Pihak pemerintah tempatan juga sedang rancak membina kemudahan tambahan seperti jambatan dan jalan raya untuk melancarkan perjalanan orang ramai dan urusan perniagaan. Inisiatif tersebut secara langsung memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Pihak pemerintah Kota Kendari turut menjadikan Pulau Bungkutoko yang terletak di hadapan Teluk Kendari sebagai pintu masuk dalam dunia perniagaan.

Kewujudan pelabuhan tersebut dan pelbagai kemudahan akan mendorong kepada peningkatan kebajikan masyarakat setempat dengan penggunaan tenaga penduduk tempatan sebagai pekerja pelabuhan.

Pelabuhan

Pembangunan pelabuhan kontainer Kendari Newport di Kelurahan Bungkutoko, Kota Kendari itu sudah mencapai 70 peratus dan berada pada tahap akhir pembinaan pada bulan lalu.

Mengikut kontrak, pelabuhan yang mula dibangunkan pada Mei tahun lalu itu dijangka siap pada Februari ini dan pihak PT Pelindo tidak mahu projek tersebut mengambil tempoh yang lama untuk disiapkan.

Mereka berharap pembinaan pelabuhan tersebut siap lebih awal dan pelbagai langkah telah diambil untuk mempercepatkan proses berkenaan.

“Bagi mempercepatkan pembangunan Kendari Newport berkenaan, PT Pelindo sudah meminta kontraktor untuk menambah bilangan tenaga kerja dan bahan yang dibawa dari Gresik juga sudah tiba di Kendari,” kata Pengarah Kemudahan dan Peralatan PT Pelindo IV, Farid Padang.

PT Pelabuhan Indonesia IV (Persero) menganggarkan sebanyak Rp936 bilion (RM278,338,630) diperlukan untuk membina Pelabuhan Bungkutoko itu yang juga disebut sebagai Kendari Newport.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak Rp635 bilion (RM188,830,160) adalah daripada Dana Penyertaan Modal Negara (PMN) manakala selebihnya menerusi syarikat dalaman.

Menurut Farid, pembinaan pelabuhan berkenaan merangkumi tiga tahap iaitu pembangunan dermaga, seterusnya penambakan untuk terminal perlindungan kontena dan proses terakhir adalah kemudahan awam seperti pejabat.

Ahli Suruhanjaya Perwakilan Rakyat VI, Bambang Haryo Soekartono berkata, pihak pemerintah telah menyediakan peruntukan dana PMN kepada PT Pelindon dengan persetujuan daripada pihaknya dan mahu melihat kemajuan pembangunan pelabuhan tersebut.

Pembangunan pelabuhan kontena di pulau tersebut bertujuan untuk memastikan agar penumpang dan barang tidak bercampur serta penyediaan terminal kargo dengan menggunakan peralatan moden supaya perkhidmatan dapat berjalan lancar.

Pelabuhan tersebut dibangunkan di atas tanah berkeluasan lima hektar.

Eksport

Ahli Dewan Rakyat VI, Bambang Haryo Soekartono berkata, pelabuhan tersebut juga menyokong program Paksi Maritim Dunia yang menjadi lorong tol laut yang menghubungkan di antara Indonesia Barat dan Indonesia Timur.

Menurutnya, paksi maritim itu terdiri daripada maritim domestik dan antarabangsa.

“Perkara tersebut sudah dijangkakan oleh Pelindo sebagai penyedia infrastruktur, ditambah dengan potensi lain seperti komoditi pertanian, perkebunan, perikanan dan perlombongan,” ujarnya.

Pembangunan pelabuhan tersebut juga diyakini dapat meningkatkan eksport produk tempatan di wilayah tersebut dan kawasan sekitarnya ke negara luar.

Menurut Bambang Haryo, Sulawesi Tenggara sangat terkenal sebagai pengeluar koko, cengkeh, lombong nikel, emas serta perikanan dan sumber tersebut kini boleh dieksport ke luar negara dengan adanya kemudahan pelabuhan.

Bagaimanapun, katanya, dermaga tersebut perlu dilengkapi perkhidmatan kren kerana banyak pelabuhan di Indonesia tidak dilengkapi kemudahan tersebut dan kapal pengangkutan juga tidak mempunyai kren sendiri.

Pengurus Besar Pelindo IV Cawangan Kendari, Sulawesi Tenggara, Muhammad Irfan berkata, pembangunan pelabuhan tersebut dilakukan untuk menyokong sistem pengiriman langsung komoditi tempatan ke luar negara.

Menurut beliau, pelabuhan tersebut dalam perancangan untuk menjadi sebuah pelabuhan bertaraf dunia.

Selain pelabuhan, Kota Kendari mempunyai pelbagai tarikan seperti meredah hutan paya bakau, Pantai Nambo Kendari, Taman Walikota Kendari dan Tugu Persatuan.

Kolum Khabar Indonesia ini dikelolakan oleh: 
l Agus Setiawan (Antara) 
l Megat Ramli Megat Raof (Kosmo!)
Untuk memberikan respons, sila e-mel

ke [email protected]