Ia menjadi topik utama kalangan media utama global kerana impak daripada kejatuhan mata wang negara ini telah menggegarkan pasaran saham seluruh dunia. Malaysia juga tidak terkecuali apabila menyaksikan ringgit mencecah sekitar RM4.15 sedolar.

Peristiwa ini pastinya mengingatkan kita kembali kepada kronologi krisis ekonomi dan mata wang negara seluruh dunia yang pernah direkodkan beberapa dekad kebelakangan. Sebagai contoh, krisis ekonomi dan mata wang yang pernah melanda dunia pada tahun 1988, 1998 dan 2008 berlaku setiap sedekad. Lebih menarik lagi, ia berlaku pada tempoh separuh ketiga tahun tersebut iaitu antara Jun hingga September.

Kenapa fenomena ini berlaku? Kitaran ekonomi adalah turun naik semula jadi ekonomi antara tempoh pengembangan (pertumbuhan) dan penguncupan (kemelesetan). Faktor seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar faedah, tahap guna tenaga dan perbelanjaan pengguna dapat membantu menentukan tahap semasa kitaran ekonomi.

Kitaran ekonomi

Kitaran ekonomi atau perniagaan ini diuruskan oleh kerajaan dan bank-bank pusat melalui pengenalan polisi kawalan dalam kitaran dasar fiskalnya dan monetarinya. Untuk menamatkan kemelesetan, kerajaan akan menggunakan dasar fiskal pengembangan iaitu dengan meningkatkan perbelanjaan. Bank pusat seperti Bank Negara Malaysia pula akan mengekalkan atau menurunkan kadar faedah bagi menggalakkan pinjaman dan pelaburan oleh perniagaan dan individu. Sebaliknya, ia akan menggunakan dasar fiskal dan monetari penguncupan untuk menghentikan ekonomi daripada terlalu panas.

Berbalik kepada berita kejatuhan mata wang dunia pada masa ini, penulis melihat ekonomi dunia ketika ini sudah berada di kemuncaknya yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Dalam tempoh sedekad, pasaran saham negara itu telah meningkat lebih 100 peratus.

Sehingga kini juga, Bursa Saham New York dan Bursa Saham Nasdaq misalnya mengalami peningkatan sepanjang tahun 2017 dan 2018 tanpa henti, manakala saham syarikat seperti Apple dan Amazon mencecah nilai AS$1 trilion (RM4.15 trilion) pada awal September lalu. Saham syarikat teknologi seperti Facebook, Alphabet dan Netflix juga mencecah tahap tertinggi seiring dengan keyakinan ekonomi yang semakin mantap di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

Malangnya, kerancakan ekonomi AS beberapa tahun kebelakangan ini tidak dikongsi secara menyeluruh dalam kalangan ekonomi negara-negara seluruh dunia. Keadaan ini jelas dilihat dengan beberapa petunjuk utama saham dunia seperti MSCI Emerging Market Index dan MSCI Europe Index yang menurun sejak Januari tahun ini.

Mampukah Malaysia menghadapinya? Melihat kepada krisis hartanah subprima Amerika Syarikat yang berlaku pada tahun 2008 dan krisis mata wang 1998 lalu, tiada sebarang keraguan untuk melihat negara ini mampu mengawal kejutan luaran yang berlaku.

Apatah lagi tahap hutang luar negara yang mampu diuruskan dengan baik berbanding negara seperti Greece, Turki dan Argentina.

Terbuka

Penulis melihat cabaran baharu yang perlu dilalui oleh kebanyakan negara ketika ini ialah perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China dan Eropah. Ini kerana, China menjadi rakan dagang terbesar dan sebarang sekatan yang berlaku pada Amerika Syarikat pasti memberikan kesan langsung kepada keluaran eksport negara kita ke China.

Misalnya, jika China mengeksport barangan elektrik ke AS yang menggunakan komponen elektronik buatan Malaysia, ia akan menjejaskan negara ini dalam jangka panjang.

Dalam suasana Malaysia Baharu ketika ini, penulis yakin kerajaan kali ini lebih bersikap terbuka dalam pengurusan ekonominya.

Walau bagaimanapun, tempoh 100 hari dilihat agak kritikal untuk menganalisis sesebuah kepimpinan untuk membawa negara terus ke hadapan atau berpatah balik ke belakang.

Walaupun sarat dengan hingar bingar tentang isu pemansuhan cukai, agensi penarafan antarabangsa seperti Moodys dan Fitch Rating kini masih tidak berganjak dengan penarafan yang diberikan kepada Malaysia sama seperti yang diberi kepada pengurusan kerajaan terdahulu.

Yang pastinya juga di tengah-tengah kegawatan ini, ringgit dan pasaran saham Malaysia tidak begitu terjejas berbanding negara lain.