Mahu melihat masyarakat lebih ‘akrab’ dengan pengangkutan udara persendirian sebagai alternatif untuk ke mana-mana destinasi termasuk semasa bersiar-siar di dalam bandar, Amrul Nizar kini terus mengorak langkah untuk merealisasikan impiannya itu.

Dua tahun lalu, AFJets dilaporkan telah dianugerahkan lesen Penyelenggaraan Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) serta menerima lampu hijau daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk beroperasi sebagai teksi udara.

Syarikat yang ditubuhkan pada 2006 itu turut dikenali dengan kejayaannya sebagai sebuah syarikat penerbangan yang menawarkan teknologi pembenihan awan untuk menghasilkan hujan di negara ini. Pernah tersiar tajuk berita yang berbunyi: Operasi pembenihan awan AFJets di Kelantan berjaya di akhbar-akhbar pada sekitar tahun 2016.

Pengalaman zaman kanak-kanak Amrul Nizar yang dibesarkan di Pangkalan Tentera Darat, Kem Mahkota, Kluang, Johor juga sedikit sebanyak mendekatkan dirinya dengan pesawat apabila kem itu turut menjadi lokasi latihan tentera udara.

Autisme

Bapanya merupakan seorang anggota Rejimen Askar Melayu Diraja yang meninggal dunia sejak usia Amrul Nizar enam tahun. Dibesarkan sebagai anak yatim pada usia yang begitu kecil, Amrul Nizar juga merupakan seorang penghidap autisme tahap sederhana.

“Saya amat meminati kapal terbang sejak 1970-an lagi. Ketika itu, saya menetap di Kem Mahkota, Kluang, Johor kerana arwah bapa merupakan seorang tentera di sana.

“Kem yang merupakan tempat saya membesar itu juga ialah lokasi latihan penerbangan tentera udara. Setiap hari saya akan melihat juruterbang berlatih dan menerbangkan pesawat,” katanya yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif AFJets ketika ditemui K2 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Perkataan AFJets itu merupakan singkatan kepada Amrul Factory Jets.

Bekas pelajar Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur itu kemudian meneruskan cita-citanya dengan menyambung pengajian di Universiti Chiba, Jepun dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan seterusnya bekerja di Nakayama Steel Works, Osaka sebagai pereka mesin.

Semasa Amrul Nizar bekerja di Jepun bermula pada tahun 1997, setiap kali tiba cuti musim panas dan sejuk, dia akan pergi ke Amerika Syarikat (AS) bagi menjalani latihan penerbangan untuk mendapatkan lesen berkaitan penerbangan.

“Setiap kali ada cuti, saya pasti akan ke AS untuk berlatih dan mempelajari apa sahaja yang berkaitan dengan penerbangan.

“Sedikit demi sedikit, saya mempelajari selok-belok dunia penerbangan sehingga berjaya mendapatkan lesen pada tahun 2000,” jelasnya yang kini boleh menerbangkan pelbagai jenis pesawat berenjin piston, jet pejuang L-39 Albatros, helikopter dan berkeupayaan menerbangkan pesawat aerobatik selain berkecimpung dalam sukan payung terjun.

Menyentuh mengenai masalah autisme tahap sederhana dihadapinya, Amrul Nizar berkata, dia akan bersikap keterlaluan dalam setiap yang dilihat dan diminati. Ia menyebabkan orang sekelilingnya menganggap dirinya pelik tetapi yang memahaminya akan terus memberi dorongan kepadanya terutama rakan-rakannya di Jepun.

Setelah berada di Jepun selama lapan tahun, dia mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air setelah dipujuk ibunya.

Dia kemudian mencuba nasib dengan memohon pekerjaan di sebuah syarikat penerbangan di Singapura serta lulus temu duga sebagai juruterbang.

Bagaimanapun, Amrul Nizar meninggalkan hasratnya untuk berkhidmat di awan biru bersama syarikat itu apabila mendapati pendapatan yang lebih lumayan diperolehi menerusi kerja sambilannya dalam bidang pemasangan dan pembekalan komputer.

Anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu kemudiannya mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat penerbangan AFJets pada tahun 2006.

Perkhidmatan penyewaan

AFJets menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti penyewaan kapal terbang untuk pelbagai tujuan sama ada untuk urusan perniagaan atau pelancongan termasuk untuk berbulan madu atau sesi fotografi.

Ia juga menawarkan perkhidmatan penerbangan KL City Tour bagi menyaksikan keindahan bandar raya Kuala Lumpur termasuk Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur.

Amrul Nizar berkata, minatnya dalam bidang penerbangan mendorongnya untuk memajukan lagi industri itu dengan menawarkan variasi perkhidmatan berkaitan di negara ini.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, pada awal penubuhannya, AFJets hanya mempunyai tenaga pekerja yang terhad dengan menyediakan perkhidmatan berskala kecil sahaja.

Selepas empat tahun ia beroperasi, Amrul Nizar cuba mengetengahkan sesuatu yang berbeza dalam meningkatkan perkhidmatannya dengan menceburi bidang yang belum pernah dilakukan mana-mana syarikat penerbangan swasta apabila menerokai teknologi pembenihan awan menggunakan bahan letupan tertentu.

Syarikatnya telah melakukan kerjasama dengan Kejuruteraan Ais Kristal (ICE) iaitu sebuah syarikat pembuat dan pembekal bahan letupan yang berpangkalan di AS.

Pengubahsuaian cuaca

AFJets mengorak langkah maju setapak ke hadapan dengan menawarkan perkhidmatan pengubahsuaian cuaca menerusi pembenihan awan pada tahun 2010.

Menurut buku profil syarikat tersebut, tidak lama selepas itu AFJets telah menandatangani kontrak dengan Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadi syarikat tunggal yang membuat pengubahsuaian cuaca di kawasan-kawasan empangan di negeri itu. Buat masa ini, AFJets juga merupakan pembekal tunggal teknologi ICE di Malaysia.

Sejak tahun 2011 lagi, AFJets telah menjalankan operasi pengubahsuaian cuaca menerusi teknologi pembenihan awan untuk agensi-agensi kerajaan di Malaysia.

“Disebabkan sering berlaku krisis kekurangan air di Malaysia, keperluan terhadap proses pengubahsuaian cuaca memang diperlukan.

“Kita menggunakan pesawat yang lebih kecil dan ringan seperti Cessna 172, Cessna 340 dan Cessna 208B untuk pembenihan awan,” ujarnya.

Lelaki yang selayaknya digelar sebagai adiwira pembuat hujan itu berkata, AFJets juga terlibat secara langsung dalam operasi pembenihan awan pada tahun 2016 ketika negara ini berdepan dengan krisis air dan membantu menangani masalah kemarau yang teruk di Kelantan secara percuma.

Pada kebiasaannya, projek pembenihan awan menggunakan pesawat lebih besar iaitu Hercules C-130 atau Charlie dan ia memerlukan keadaan awan yang sesuai untuk menjayakannya.

‘Tetapi kami menggunakan pesawat kecil dan kami juga telah menemukan teknik yang tidak kira ada awan yang bersesuaian atau tidak, InsyaAllah masih boleh menurunkan hujan,” ujarnya.

Misalnya, penglibatan syarikatnya bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta beberapa agensi Kerajaan Negeri Selangor yang dilakukan sepanjang tahun 2016 membuahkan hasil apabila setiap kawasan tadahan berjaya ditingkatkan tahap airnya.

Kepakaran anak-anak tempatan di AFJets melakukan pembenihan menerusi teknik higroskopik dan teknik coning flight berjaya dalam operasi tersebut.

Amrul Nizar Anuar merupakan pengasas syarikat penerbangan AFJets yang dikenali dengan kepakaran teknologi pembenihan awan untuk membuat hujan di negara ini dalam menangani krisis kekurangan air.