Segelintir umat Islam ada yang solat pada penghujung waktu kerana terlalu mementingkan harta keduniaan. Walhal sebagai umat Islam kita disarankan solat pada awal waktu.

Rentetan daripada itu, kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah proaktif iaitu menghentikan operasi medan selera dan pasar malam selama 15 minit semasa solat Maghrib secara berperingkat mulai tahun depan.

Bagaimanapun, ia hanya akan dilaksanakan setelah medan selera atau pasar malam di negeri tersebut mempunyai kemudahan tertentu seperti surau, tandas dan tempat mengambil wuduk.

Cadangan tersebut disambut baik oleh Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd. Zahid Mahmood.

Jelasnya, sebagai pentadbir, kerajaan negeri memang sepatutnya mendorong rakyat ke arah lebih baik.

“Semua umat Islam seharusnya saling ingat-mengingati dalam melakukan solat pada awal waktu. Ia boleh dikembangkan di seluruh negara.

“Sememangnya waktu Maghrib adalah kemuncak perniagaan tetapi kempen itu sekadar rehat seketika bukannya tutup terus,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Mohd Zahid, melalui kempen itu pengusaha-pengusaha dan pekerja restoran serta pelanggan dapat solat pada awal waktu.

Imarah masjid

Katanya, sebagai umat Islam, kita mengetahui bahawa waktu Maghrib hingga Isyak adalah sangat singkat.

“Jadi pandangan saya, ia sangat berguna kerana jika diikuti kerana tiada lagi lewat solat atau terlepas waktu solat.

“Kita mengetahui pengusaha-pengusaha bukan sengaja untuk melewatkan solat tetapi keadaan yang membuatkan mereka leka,” ujarnya.

Selain itu juga, Mohd. Zahid berkata, kempen tersebut sekali gus dapat menggalakkan umat Islam mengimarahkan masjid.

“Dari segi realitinya amat bagus kerana memberi ruang kepada peniaga-peniaga berehat seketika setelah penat berurus niaga,” tuturnya.

Sementara itu, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Muhibah Jalan Pasar Pudu, Wilayah Persekutuan, Mohd. Ramlee Itam Ja’afar berkata, walaupun tidak dilakukan di Kuala Lumpur, secara peribadinya, beliau menyokong tindakan tersebut.

Menurut, Mohd. Ramlee, kempen itu mampu memberi kesedaran kepada pengusaha sepertinya dan terutamanya peniaga Islam agar tidak mengejar harta semata-mata.

“Semua umat Islam tahu, perlunya mengimbangi antara harta dunia dan akhirat tetapi kadangkala manusia ini tidak lari daripada membuat kesalahan.

“Namun, saya amat setuju dengan tindakan kerajaan Negeri Terengganu yang mengadakan kempen sebegitu rupa kerana kalau bukan mereka siapa lagi akan menyedarkan kita,” jelasnya.

Pendapat Mohd. Ramlee, segelintir masyarakat yang mengatakan waktu kemuncak berniaga adalah waktu Maghrib memang benar.

Jelasnya, namun perlu diingat, rezeki itu bukannya datang daripada manusia tetapi ia milik Allah SWT.

“Bagi saya, melalui kempen ini pengusaha dan pelanggan dua-dua akan mendapat manfaatnya.

“Namun kebanyakan pengusaha yang saya kenal, mereka tidaklah hingga meninggalkan solat cuma lewat. Tetapi kebanyakan bergilir-gilir untuk solat,” katanya.