Satu kajian yang dilakukan oleh Persekutuan Besbol Sekolah Tinggi Jepun pada bulan lalu mendedahkan, 30 peratus responden percaya, populariti besbol telah diatasi oleh sukan lain manakala hampir 45 peratus mendakwa, sukan itu hanya menunggu masa untuk kehilangan populariti.

Menurut borang kaji selidik yang dilakukan, lebih daripada 50 peratus jurulatih yakin bahawa besbol akan kembali popular seperti tahun 2008.

Namun, kurang daripada 17 peratus mengatakan, besbol akan kekal menjadi sukan paling popular di Jepun.

Pada masa sama, kajian lanjut yang dibuat oleh persekutuan sukan itu pada bulan Jun lalu menunjukkan, jumlah kanak-kanak yang menyertai besbol menurun sejak tahun 2014.

Malah, perkara yang sedikit mengecewakan ada apabila bilangan sekolah yang bekerjasama dengan persekutuan itu turut mencatat penurun.

“Saya fikir, kita perlu membuat perubahan pada sukan besbol di negara Jepun kerana kanak-kanak sekarang mempunyai banyak pilihan sukan.

“Selain itu, kita perlu mempunyai strategi untuk mengekalkan mereka dalam dunia sukan besbol,” kata seorang jurulatih besbol yang mengajar di salah sebuah sekolah tinggi di Jepun.

Robert Whiting yang menulis mengenai peranan besbol dalam masyarakat Jepun selama beberapa dekat lalu berkata, program besbol yang dikendalikan oleh pihak sekolah cukup terkenal berbanding jumlah penyertaan askar Marin Amerika Syarikat.

“Besbol di sekolah-sekolah tinggi mempunyai latihan yang menyakitkan dan sesetengah pelajar di sekolah itu tidak menyukainya.

“Mungkin orang lain menilai latihan keras itu sebagai satu ujian kelakian atau menjadi perkara wajib bagi setiap pelajar,” katanya.

Situasi itu mungkin boleh dikaitkan dengan pengalaman Kei Tanaka dan Kosuke Saito yang masing-masing berusia 17 tahun.

Kedua-dua pelajar itu diwajibkan bermain besbol untuk mewakili sekolah mereka yang terletak di pinggir bandar Tokyo.

“Akhirnya saya tidak mahu pergi ke sekolah disebabkan oleh perkara itu.

“Besbol dahulunya menjadi saya seronok tetapi kini tidak lagi kerana jangkaan jurulatih terlalu tinggi,” ujar Tanaka.

Menurut Saito, sesi latihan terlalu kerap dan dia terpaksa mengimbangi dengan kerja rumah yang diberi guru sehingga tidak ada masa untuk berehat.

Atlet kegemaran

Walaupun kebimbangan itu berlaku, data yang diterbitkan oleh Perkhidmatan Penyelidikan Pusat Jepun pada bulan Jun lalu menunjukkan, sukan besbol masih popular di negara tersebut apabila 48.1 peratus responden menyebutnya sebagai sukan kegemaran mereka.

Bola sepak dan gusti sumo terikat di kedudukan kedua dengan 24.8 peratus.

Data itu juga menunjukkan bahawa Shohei Ohtani yang menikmati musim pertama yang cemerlang dalam Liga Utama Besbol Amerika Syarikat merupakan atlet sukan kegemaran di negara tersebut.

Kejohanan Besbol Sekolah Kebangsaan atau Koshien masih menjadi acara sukan paling digemari di Jepun dengan kehadiran sehingga 50,000 orang menonton di stadium dan berjuta-juta lagi menonton siaran kebangsaan Jepun iaitu Nippon Hoso Kyokai.

“Perkara-perkara seperti ini juga ada turun dan naiknya.

“Pada tahun 1982, terdapat lima peratus penurun penyertaan pelajar di sekolah tinggi dalam sukan besbol. Sama seperti tahun ini, ia kembali lagi,” kata Whiting.

Sementara itu, Liga Utama Besbol Amerika Syarikat yang banyak melabur di Jepun tidak bimbang tentang masa depan sukan itu.

“Ini telah menjadi satu fenomena yang berulang-ulang sejak tahun 2002 apabila kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA dianjurkan di negara ini.

“Isu yang besar sekarang ini bukannya besbol melawan bola sepak. Hakikatnya sukan besbol itu sendiri yang jatuh.

“Saya fikir, orang ramai lebih gemar menonton daripada bermain sukan sehingga ke peringkat dunia,” kata Naib Presiden MLB, Jim Small.

Berdasarkan penyelidikan yang dilakukan oleh Yayasan Sukan Sasakawa, jumlah kanak-kanak berusia 12 hingga 21 tahun yang bermain sukan sebanyak lima kali seminggu menurun hampir empat peratus sejak empat tahun lalu.

Selain itu, kurang daripada separuh responden berusia 12 hingga 21 tahun suka dengan latihan dan sukan.

“Saya rasa terdapat tekanan dalam latihan atlet besbol amatur. Cara mereka sangat keras semasa latihan.

“Bayangkan mereka terpaksa membuat 100 pukulan bola besbol pada setiap hari. Bagi saya, mungkin cara lama ini tidak berkesan lagi pada masa kini,” ujarnya yang juga merupakan sebuah badan pemikir Jepun yang bertanggungjawab meningkatkan penglibatan remaja dalam acara sukan. – Reuters