Pasangan tersebut, Mohd. Alfishahrin Zakaria, 31, dan Diana Latief, 30, merentasi 24 buah negara dalam masa enam bulan menaiki motosikal Honda RS150R yang dinamakan Miss Orange.

Menerusi perkongsian di Facebook milik Mohd. Alfishahrin, dia dan isterinya memulakan pengembaraan itu pada 8 April lalu selama 150 hari sebelum menamatkan perjalanan pada 15 September lepas.

Lebih manis, mereka berdua sempat meraikan Hari Kemerdekaan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, London, England pada 31 Ogos.

Mohd. Alfishahrin berkata, perjalanan tersebut meliputi jarak sejauh 27,000 kilometer membabitkan beberapa buah negara antaranya India, Iran, Armenia, Switzerland dan Itali dengan kos perbelanjaan mencecah RM40,000.

“Kami bertuah kerana mendapat tajaan daripada beberapa syarikat untuk mengurangkan beban. Keadaan cuaca dan jalan yang berbeza memberi cabaran, namun dapat diatasi dengan baik,” katanya.

Kisah menarik itu dikongsi di laman web World of Buzz dan mendapat lebih 14,700 perkongsian dan 569,000 likes setakat Jumaat lalu.