Bagaimanapun, perjalanan kereta api tersebut tergendala semasa melewati bandar Firozabad di utara India selepas kenderaan ia melanggar seekor lembu yang tiba-tiba muncul di atas landasan. Kesannya, perjalanan Kalindi Express terpaksa ditangguhkan sementara berikutan kemalangan tersebut yang berlaku sekitar pukul 2 pagi.

Namun, tidak berapa lama selepas itu, malang yang lebih besar menimpa Kalindi Express apabila ia dirempuh oleh sebuah lagi kereta api iaitu Pureshotham Express yang juga dalam perjalanan ke New Delhi menggunakan laluan sama.

Kejadian yang berlaku pada tanggal 20 Ogos 1995 itu sekali gus mencatat sejarah kemalangan terburuk membabitkan kereta api di India dengan menyaksikan sekurang-kurangnya 358 penumpang terbunuh.

Tidak ikut prosedur

Dalam siasatan yang dijalankan, kereta api Kalindi Express dan Pureshotham Express itu dilaporkan membawa muatan penum­pang berlebihan sehingga setiap gerabak kereta api tersebut sesak dengan penumpang. Bahkan, ja­dual perjalanan kereta api tersebut dikatakan tidak mengikut waktu dan prosedur yang sepatutnya.

Mengimbas kembali kemalangan yang berlaku, kereta api Kalindi Express itu yang dalam perjalanan ke New Delhi telah merempuh seekor lembu berdekatan Firozabad kira-kira 297 kilometer dari selatan New Delhi.

Akibat rempuhan tersebut, kereta api yang membawa sejumlah 900 penumpang itu telah tergelincir daripada landasan sekali gus mengakibatkan perjalanan terpaksa dihentikan.

Penumpang yang berada di atas kereta api Kalindi Express bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan kebanyakan daripada mereka menunggu di dalam gerabak sehingga pasukan keselamatan tiba.

Bagaimanapun, sebuah lagi kereta api iaitu Pureshotham Express yang dalam perjalanan dari Puri ke New Delhi dengan membawa 1,300 penumpang dilaporkan turut melalui landasan yang sama, namun tidak diberi apa-apa amaran oleh petugas di bahagian kawalan.

“Bilik kawalan gagal memberikan isyarat kepada Pureshotham Express bahawa terdapat halangan di atas landasan berhampiran Ferozabad,” ujar Lai Sharman salah seorang penumpang Kalindi Express.

Akibatnya, kereta api Pureshotham Express yang sedang bergerak dengan kelajuan penuh itu gagal mengesan bahay di depannya lalu merempuh Kalindi Express yang tersadai di landasan.

Akibat kemalangan itu, seramai 358 orang penumpang dilaporkan terbunuh, manakala 400 yang lain cedera parah. Semasa kejadian, rata-rata penumpang kereta api Pureshotham Express sedang nyenyak tidur.

Dentuman kuat

Seorang penumpang terselamat, Manas Papnaik memberitahu, ketika kejadian, dia menaiki kereta api Pureshotham Express dan duduk di gerabak paling akhir.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat dan diiringi dengan jeritan para penumpang lain.

“Apabila saya keluar, saya melihat kereta api yang dinaiki telah merempuh sebuah lagi kereta api dengan sebahagian mangsa tercampak keluar di atas landasan,” ujarnya.

Rempuhan kuat itu mengakibatkan enam gerabak masing-masing melibatkan tiga gerabak Pureshotham Express dan tiga Kalindi Express remuk teruk.

Kerja-kerja mencari dan menyelamat yang dilakukan pada keesokan harinya dengan menggunakan kren telah menemui ratusan mayat berada di bawah gerabak yang remuk.

Siasatan yang dijalankan telah menemui bangkai seekor lembu tersekat pada bahagian enjin kereta api Kalindi Express sekali gus menyebabkan kerosakan pada sistem brek kereta api tersebut.

“Kemalangan maut ini boleh dielakkan jika bilik kawalan memberikan amaran awal kepada Pureshotham Express supaya berhenti atau sekurang-kurangnya mengurangkan kelajuan,” ujar V. K. Aggarwal, Ketua Operasi Rangkaian Kereta Api Utara India.

Di India, pengangkutan menggunakan kereta api menjadi pilihan masyarakat kerana faktor kos yang lebih murah berbanding menggunakan pengangkutan darat yang lain.