Memiliki syarikat selam skuba sendiri, Muhammad Fajrul Omar sudah boleh tersenyum puas. Pernah melalui episod suram dalam kehidupan termasuk menjadi penganggur selama lebih setahun, hidup graduan universiti itu kini sudah berubah.
Setelah pencarian kerjanya berbekalkan Diploma Kejuruteraan Marin Elektrik dan Elektronik bertemu jalan buntu, bakat dan kemahirannya dalam bidang selaman skuba yang membawanya ke tahap itu.
“Setelah tamat pengajian di sebuah universiti swasta tempatan, saya telah bekerja di sebuah syarikat perkapalan di Labuan secara kontrak selama enam bulan. Namun selepas itu disebabkan industri minyak dan gas merudum, saya gagal mendapatkan pekerjaan.
“Sebenarnya, semasa di universiti dulu saya juga telah menyertai sebuah kelab selam skuba, bahkan saya telah mengikuti kursus berkenaan sehingga ke peringkat penyelam penyelamat. Saya berhasrat menjadi tenaga pengajar atau jurulatih selam skuba tetapi terbantut kerana kos kursus kejurulatihan terlalu tinggi iaitu kira-kira RM10,000,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bantuan Teraju
Bagaimanapun, menurut Muhammad Fajrul Omar, jalan hidupnya kembali bersinar dengan bantuan program Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) yang merupakan inisiatif kerajaan menerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ia menawarkan pelbagai kursus kemahiran berserta pembiayaan dalam usaha menyuntik bakat anak muda Bumiputera.
Yayasan Peneraju menerusi salah satu cabangnya iaitu Peneraju Skil menawarkan kursus kemahiran kepada mereka yang belum dan sudah berpengalaman dalam bidang tertentu. Antara kursus yang ditawarkan ialah Peneraju Skil PADI Pengajar Selam Skuba Laut Terbuka yang diikuti oleh Muhammad Fajrul Omar.
“Sewaktu melayari laman Facebook, saya terlihat iklan mengenai program tersebut. Saya berasa nasib berpihak kepada diri kerana mempunyai kelayakan minimum untuk mendaftar iaitu memiliki lesen penyelam penyelamat.
“Kerana minat yang mendalam terhadap marin dan laut, saya tidak melepaskan peluang untuk menyertai kursus tersebut. Dorongan daripada ibu bapa juga membuatkan saya yang merupakan anak sulung daripada empat beradik dan anak tunggal lelaki terus berjuang.
“Menariknya, kursus Yayasan Peneraju ini juga merupakan bantuan penuh tanpa perlu membayar semula.  Elaun bulanan sebanyak RM500 turut diberikan kepada peserta,” katanya.
Dengan mengikuti kursus tersebut, Muhammad Fajrul Omar bukan sahaja mendapat lesen menjadi jurulatih bahkan meningkatkan kemahiran dirinya. Ia sekali gus mencetuskan keberanian dalam dirinya untuk membuka perniagaan yang mengendalikan latihan atau tunjuk ajar selam skuba.

Pendapatan
Bermodalkan wang simpanan yang dikumpul semasa bekerja di luar pesisir, dia kemudian menubuhkan syarikat Black Pearl Dive Team bersama rakan-rakannya. Dia bertindak sebagai pengarah urusan manakala dua rakannya, Muhammad Hafidz Zonkilfle, 25, sebagai pengarah jualan dan Mior Shukhairee Ahmad Sufian, 29, sebagai pengarah operasi.
“Program-program teknikal dan kemahiran seperti yang ditawarkan oleh Yayasan Peneraju ini mampu mengubah kehidupan seseorang asalkan mereka tidak berputus asa dalam mencari peluang,” katanya yang kini memperoleh pendapatan puluhan ribu ringgit.
Menyentuh mengenai program Peneraju Skil di bawah Yayasan Peneraju, ia terbahagi kepada dua segmen iaitu Peneraju Skil Mahir dan Peneraju Skil Iltizam. Kursus kejurulatihan yang diambil oleh Muhammad Fajrul Omar itu merupakan antara bentuk kursus segmen Peneraju Skil Mahir.
Ketua Komunikasi Strategik Yayasan Peneraju, Azrul Izwan Amir Nazarullah berkata, setiap segmen mempunyai kumpulan sasaran yang berbeza.
Azrul Izwan menjelaskan, Peneraju Skil Mahir ialah program peningkatan kemahiran bagi pekerja mahir yang telah pun mempunyai pengalaman, namun berhasrat untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka.
“Program itu menawarkan latihan teknikal dan vokasional melibatkan pelbagai industri dengan jaminan penempatan pekerjaan serta pendapatan minimum RM3,800 sebulan.
“Peneraju Skil Iltizam pula untuk mereka yang kurang cenderung dalam bidang akademik namun mempunyai minat untuk menceburi bidang kemahiran mengikut permintaan industri.
“Apabila tamat latihan, mereka berpeluang memperoleh pensijilan antarabangsa dan industri selain jaminan penempatan pekerjaan dan sasaran gaji minimum RM1,500 sebulan,” terangnya.
Menurutnya, tempoh kursus adalah tidak tentu bergantung kepada bidang yang diceburi.
Azrul Izwan berkata, setakat ini seramai 9,700 individu telah menerima manfaat daripada program Peneraju Skil yang boleh disifatkan berkonsep ‘peluang kedua’.
“Kecekalan dan keazaman telah merubah kehidupan mereka menjadi lebih baik daripada dulu, membawa keluarga keluar daripada belenggu kesusahan serta kekal berjaya dalam bidang yang diceburi,” katanya.
Turut menerima manfaat yang sama iaitu seorang gadis kelahiran Tambunan, Sabah yang kini meraih pendapatan yang agak lumayan hasil daripada mengikuti Peneraju Skil Iltizam Terapi Spa.

Latihan industri
Sebelum ini, Erelina David, 24, kerap kali menukar pekerjaan bagi menyara kehidupannya dan keluarga tetapi penantiannya berakhir apabila dia mengikuti program Yayasan Peneraju.
“Saya berasal daripada keluarga yang susah dan kami hanya bergantung kepada hasil tanaman yang diusahakan oleh bapa dan ibu untuk membesarkan kami adik-beradik.
“Bapa saya merupakan seorang petani yang mengusahakan tanaman koko dan halia manakala ibu pula seorang suri rumah dengan pendapatan isi rumah sebanyak hanya RM1,000 sebulan,” kata anak ketiga daripada 10 adik-beradik itu.
Mendapat tahu mengenai Yayasan Peneraju melalui aplikasi WhatsApp, dia lantas mendaftar diri mengikuti program tersebut.
“Kursus selama enam bulan dibiayai sepenuhnya. Selepas itu, saya juga didedahkan kepada latihan industri selama dua bulan.
“Dalam program tersebut saya belajar teori dan kemahiran, seterusnya dihantar untuk latihan industri di Legacy Spa, George Town, Pulau Pinang. Saya merupakan pelatih terbaik ketika itu dan terus diserap masuk untuk bekerja di spa tersebut,” kata gadis berkulit cerah itu.
Kerana kecemerlangannya juga, hanya dalam tempoh tiga bulan bekerja, dia telah dinaikkan pangkat menjadi penyelia.
Erelina kini boleh tersenyum gembira apabila pendapatannya yang suatu ketika dahulu tidak pernah melebih RM1,500 kini mencecah RM5,000.
“Untuk menjadi yang terbaik, kita hendaklah keluar dari zon selesa dan sentiasa mencari peluang baharu bagi meningkatkan prestasi diri,” katanya.