Daripada ratusan ribu pelarian Rohingya ke Bangladesh, sekumpulan wanita terutamanya yang menjadi balu atau mangsa keganasan dan serangan seksual dihimpun di kem kecil di Balukhali berhampiran bandar Cox’s Bazar.

Kem tersebut menempatkan kira-kira 50 buah khemah. Wanita-wanita yang terpilih menghuninya merupakan golongan yang sangat memerlukan kepada situasi pengasingan seperti sakit, traumatik dan sebagainya.

Di kem itu, lelaki-lelaki dewasa tidak dibenarkan masuk atau menghuninya.

Salah seorang penghuninya, Aisha Begum, 19, berkata, suaminya telah dibunuh oleh tentera Myanmar.

“Saya berdiri di sisi mayatnya dan hanya mampu menangis. Dia telah ditangkap dan dibunuh dengan pisau. Tubuhnya dikerat tiga,” tangisnya mengenang suasana sebelum dia melarikan diri ke Bangladesh.

Rabiya Khatun, 22, yang tinggal bersama bayi lelakinya di kem itu berkata, ruang bilik yang disediakan di kem itu lebih besar dan para wanita mempunyai peluang yang lebih baik untuk menerima bantuan.

“Bagi wanita yang tiada sesiapa sebagai pelindung, kem seperti ini lebih selamat,” katanya.

Agensi Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan, perempuan mewakili 51 peratus daripada populasi pelarian Rohingya di kem-kem terutamanya di sekitar Cox Bazar.

“Pelarian wanita dan kanak-kanak turut berdepan risiko tinggi menjadi mangsa pemerdagangan manusia, serangan seksual atau kahwin paksa,” katanya.