Lebih malang lagi, jenayah tersebut dilakukan tanpa belas ihsan oleh ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa itu sendiri.

Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan seorang remaja berumur 16 tahun dirogol oleh bapa tirinya yang bekerja sebagai pekerja ladang kelapa sawit sehingga hamil lapan bulan di Kuala Terengganu.

Di Ampang Jaya pula, seorang penganggur berhadapan 588 pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap tiga anak saudara perempuannya sejak lapan tahun lalu.

Lain pula kisahnya di Melaka apabila seorang ibu anak empat tergamak merotan anak lelakinya hingga lebam pada kedua-dua belah mata, badan serta kepala sembilan tahun lalu.

Di Port Dickson, Negeri Sembilan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas dipercayai didera oleh bapa dan ibu tirinya.

Organ dalamannya juga cedera antaranya buah pinggang rosak, rusuk kanan dan kiri patah dan usus koyak dipercayai akibat dipukul.

Menurut Penganalisis Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Meor Roslan Meor Mohd. Jaafar, jenayah terhadap kanak-kanak seperti dera, cabul, rogol termasuk sumbang mahram melibatkan ahli keluarga terdekat tidak sepatutnya berlaku.

Sukar dihidu

“Hal ini kerana, ibu bapa atau penjaga yang normal akan mengasihi anak-anak dan tidak mungkin sesekali tergamak melakukan sedemikian.

“Jenayah melibatkan kanak-kanak ini semakin banyak berlaku dalam masyarakat kerana ia sukar untuk dihidu oleh pihak berkuasa.

“Namun, walaupun jenayah ini sukar untuk dikenal pasti, ia boleh dikekang menerusi peranan yang dimainkan secara tegas oleh masyarakat setempat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jelas Meor Roslan, jiran merupakan bahagian penting dalam masyarakat dan peranan kelompok tersebut seharusnya dipandang tinggi.

Katanya, jika berlaku sebarang kejadian yang mencurigakan dalam sesebuah komuniti, jiran seharusnya bertindak cepat dengan melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa.

Selain itu, guru yang prihatin juga boleh memainkan peranan mereka dengan mengambil peduli keadaan kanak-kanak yang menjadi mangsa sesuatu jenayah.

Hal ini kerana guru merupakan individu paling rapat dengan kanak-kanak di sekolah.

“Sekiranya terdapat kesan-kesan lebam, luka atau perubahan emosi pada kanak-kanak, guru boleh membantu dengan mendekati mangsa dan bertanyakan keadaan mereka.

“Ia sekali gus dapat membantu mencegah kadar penularan jenayah terhadap kanak-kanak melibatkan keluarga terdekat,” jelasnya lagi.

Kursus perkahwinan

Sementara itu, Pendakwah Bebas, Ustaz Muhamad Aizuddin Kamarul Zaman berkata, jenayah melibatkan kanak-kanak itu boleh dihindari sekiranya terdapat aspek kasih sayang dan rahmah dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Katanya, kasih sayang dari sudut fizikal dan rahmah itu merupakan kunci kepada kebahagiaan serta keharmonian rumah tangga.

“Rahmah bermaksud kasih sayang dari sudut emosi dan psikologi.

“Kalau salah satu elemen ini dipinggirkan, pasti akan ada pihak yang menjadi mangsa sehingga dizalimi seperti yang banyak berlaku terhadap kanak-kanak kini,” ujarnya.

Tambah Muhamad Aizuddin, bagi memastikan kedua-dua elemen itu diterapkan ke dalam diri, pasangan suami dan isteri perlu melihat anak-anak sebagai satu tanggungjawab dan bukannya bebanan.

Malah, ilmu berkaitan rumah tangga itu sendiri perlu diperkasakan ke dalam pasangan lelaki dan wanita menerusi kursus kahwin yang lengkap.

“Modul kursus kahwin yang ditawarkan kepada pasangan suami dan isteri perlu penambahbaikan.

“Kita boleh lihat, ia tidak banyak menyentuh masalah sebenar dalam khalayak dan terdapat banyak perkara yang lebih penting seperti soal hukum yang tidak disentuh dengan lebih terperinci.

“Sekiranya isu ini diamati oleh pihak berkuasa, keharmonian institusi kekeluargaan pasti dapat dipelihara,” tambahnya.