Lengkap berbaju kurung dengan kepala dilitupi selendang kecil, kanak-kanak itu lazimnya berada tidak jauh dari pandangan mata bapanya yang juga merupakan seorang imam dan sering dijemput menyampaikan kuliah agama di sekitar negeri di utara Semenanjung Malaysia.

Sepanjang tempoh tersebut, si bongsu daripada lima beradik itu tidak pula berlari ke sana ke mari atau mengadu ingin segera pulang ke rumah.

Itu antara momen yang terakam kemas di layar ingatan Rektor Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPB), Prof. Datuk Dr. Noor Inayah Ya’akub apabila mengenang zaman kanak-kanaknya. Seingatnya, rutin tersebut berterusan sehingga usianya mencapai sembilan tahun.

Menduduki senarai ke-22 daripada 300 wanita paling berpengaruh dunia dalam bidang kewangan dan perniagaan Islam menerusi Anugerah WOMANi 2019 baru-baru ini, beliau menyifatkan pengalaman sewaktu kecil itulah detik awal dirinya belajar mengenal erti menjadi seorang Muslim.

“Arwah ayah sebenarnya bertugas sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Wellesley, Pulau Pinang. Saya teringat antara topik yang selalu disentuhnya ialah sirah nabi, cara cemerlang bekerja, ikhlas kerana Allah dan menjadi insan yang pemaaf.

“Secara tidak langsung, sedikit sebanyak tempias ilmu dan pengisian nilai-nilai tersebut meresapi pemikiran dan hati saya,” kongsinya kepada K2 ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mesej tahniah

Mengulas mengenai Anugerah WOMANi 2019 yang dianjurkan badan pemikir berpangkalan di Britain tersebut, Noor Inayah tidak mengetahui mengenai majlis yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu itu sebaliknya hanya menerima berita mengenainya daripada panggilan telefon seorang rakan.

“Ketika itu tinggal beberapa hari lagi menjelang Aidilfitri. Saya tidak menyedari ia merupakan anugerah yang dianggap besar sehinggalah saya dihujani mesej ucapan tahniah daripada ramai orang.

“Lagipun saya tidak menghantar pencalonan untuk menyertainya, namun bersyukur menjadi seorang daripada mereka yang terpilih,” tuturnya.

Noor Inayah, 50, mempunyai pengalaman lebih 20 tahun mengajar dalam pelbagai jurusan meliputi undang-undang, undang-undang syariah, undang-undang perbankan konvensional di samping undang-undang berkaitan perkhidmatan insurans, takaful, ekuiti, wakaf dan perniagaan di dalam dan luar negara.

Beliau pernah mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Putra Malaysia. Semasa di Unisel pada 2017, wanita berwibawa ini merupakan Dekan Fakulti Perniagaan.

“Boleh dikatakan sepanjang tempoh ini saya telah melahirkan ramai lulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Metodologi saya ialah mendorong pelajar berfikir untuk menjadi fleksibel dan melihat letak duduknya undang-undang ini dari pelbagai aspek,” ujarnya yang turut dinobat sebagai Profesor Terbaik Dalam Pengajian Undang-Undang Perniagaan oleh The Golden Globe Tigers 2019 di Kuala Lumpur pada April lalu. Ia satu pengiktirafan antarabangsa kepada individu dan organisasi yang berjaya antaranya dalam bidang khidmat sosial korporat, inovasi serta pendidikan.

Selain itu, Noor Inayah juga pernah menjadi peguam cara dan peguam bela di Mahkamah Tinggi Malaya dari tahun 1996 hingga 1998. Menurut anak kelahiran Pulau Pinang itu, sejak berada di bangku sekolah rendah, beliau bercita-cita menjadi seorang peguam.

Lucunya, impian itu dipacu dek minat menonton filem Hindi yang sering memaparkan watak peguam yang bijak berhujah.

Ijtihad

Usai meraih keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang cemerlang, beliau menerima tawaran belajar di sebuah sekolah menengah sains namun memilih menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad di Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Saya kemudian menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan undang-undang selama empat tahun sebelum ditawarkan tempoh lanjutan setahun lagi untuk mendapatkan ijazah dalam undang-undang syariah.

“Ketika itu hanya UIAM yang menyediakan program ijazah berkembar iaitu undang-undang dan undang-undang syariah, namun jemputan itu hanya dibuka kepada pelajar yang boleh berbahasa Arab pada tahap tinggi.

“Ini kerana sesi kuliah, tutorial, kuiz, soalan dan jawapan peperiksaan hanya menggunakan bahasa Arab.

“Saya masih ingat, ia mempunyai lapan subjek antaranya Usul al-Fiqh, Fiqh Muqarran (ilmu perbandingan), Formula Kewangan Islam dan Qawaid Fiqhiyyah,” imbaunya yang turut menyambung pengajian PhD dalam jurusan undang-undang di Universiti Manchester, Britain.

Noor Inayah melihat bidang kewangan Islam sentiasa berubah kerana ia melibatkan muamalah yang terus berkembang misalnya melibatkan urus niaga dan pelaburan.

Maka, ia tertakluk kepada ijtihad yang bermaksud proses penilaian bersungguh-sungguh termasuk dalam mencari dalil muktabar dalam penetapan hukum.

“Apa yang penting formula fiqh yang diguna pakai perlu bebas unsur bersalahan seperti riba dan gharar (keraguan atau penipuan).

“Di situ terserlah indahnya Islam dan membuatkan saya begitu teruja dalam menerapkan konsep ijtihad dalam setiap perkara yang dilakukan. Sementelah saya cenderung tidak menerima sesuatu bulat-bulat dan mengkaji mengapa ia terjadi begitu,” tambahnya.

Selain arwah bapanya, kongsi Noor Inayah, abangnya, Dr. Mohamad Naim, 59, antara insan penting yang memacu kejayaannya di samping kakaknya yang merupakan seorang guru besar sekolah dan ibunya, Rafidah Othman yang kini berusia 84 tahun.

Abangnya yang juga graduan kejuruteraan dari Britain itu akan memantau perkembangan dirinya di SMKA Al-Irshad setiap tiga hari sekali dan amalan berkenaan diteruskan sehingga beliau berada di UIAM saban minggu.

“Setelah berkahwin, suami, Wan Kamal Mujani yang juga merupakan seorang profesor pula sentiasa memahami sekali gus menyokong dan memberi laluan untuk saya melakukan yang terbaik.

“Justeru, tidak kira betapa sibuknya hari yang dijalani, saya akan berusaha meluangkan masa untuk makan bersama suami dan anak tunggal kami, Widad sekurang-kurangnya sehari sekali atau apa sahaja aktiviti yang boleh dilakukan bersama,” katanya.

Mengetuai kepimpinan KPB sejak April lalu, beliau yakin dengan potensi kolej itu untuk menjadi sebuah universiti wakaf di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan 97 peratus pelajarnya terdiri daripada golongan asnaf.