Dalam kejadian tersebut, sekurang-kurangnya 50 orang jemaah di dua buah masjid terkorban selepas diserang oleh seorang pengganas warga Australia, Brenton Tarrant dalam insiden yang berlaku ketika waktu solat Jumaat itu.

Ternyata kejadian pembunuhan beramai-ramai itu menyentuh hati masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. Antara yang lantang menyuarakan bantahan adalah sekumpulan ahli bermotosikal di New Zealand, dikenali sebagai Waitkato Mongrel Mob.

Dalam satu kenyataan yang tular di laman sosial, ahli kumpulan tersebut telah berikrar untuk memberi sokongan kepada komuniti Islam di New Zealand dan akan melindungi masjid ketika para jemaah menunaikan solat.

Presiden kelab motosikal tersebut, Sonny Fatu berkata, bantuan yang dihulurkan itu adalah sebagai isyarat bahawa komuniti Islam di sana bebas untuk melaksanakan ajaran agama tanpa sebarang ketakutan.

Selain sokongan daripada Mongrel Mob, komuniti Islam di sana juga turut mendapat jaminan keselamatan daripada pihak polis.

Ekoran daripada kenyataan tersebut, rata-rata netizen di Malaysia melahirkan rasa syukur dan kagum selepas mendapati komuniti Islam di New Zealand begitu dihargai dan dilayan dengan baik tanpa sebarang diskriminasi.

Malah terdapat pengguna laman sosial berharap agar kejadian seumpama itu tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.