Sambutan hari lahir ibu kepada Mohd. Zaimi Osman, 38, bakal menjelang tiba.

Wanita itu akan diraikan pada ulang tahun kelahirannya yang ke-72 pada tanggal 4 Mac nanti dan Zaimi bercadang untuk menghadiahkan insan tersayang itu dengan sebentuk cincin unik.

Kata Zaimi, ibunya, Siti Habsah Abdul Rahman, mengimpikan sebentuk cincin rekaan tradisional namun amat sukar untuk mendapatkan cincin seumpamanya pada masa kini.

Jelasnya, kebanyakan kedai cincin yang dilawatinya sejak beberapa minggu lalu hanya menawarkan cincin berekabentuk moden dan ia agak kurang cocok dengan ibunya.

Selama 14 tahun menjadi seorang pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi tempatan, ini adalah pertama kali Zaimi ingin menghadiahkan ibunya sebentuk cincin, berbeza dengan hadiah-hadiah yang diberikan pada tahun-tahun sebelumnya seperti bunga, hadiah percutian dan jam tangan.

Jejaka bujang yang berasal dari Raub, Pahang itu berasa teruja kerana selepas berminggu-minggu membuat pencarian, akhirnya dia menemui sebuah kedai atau bengkel pembuatan cincin di Rawang, Selangor yang dapat merealisasikan hajatnya itu.

“Dari hasil kerja mereka, kita boleh lihat bahawa ia dibuat dengan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Cincin buatan tradisional sememangnya sukar untuk dihasilkan.

“Saya berhasrat untuk menatahkan batu jenis charoite dari Rusia pada cincin yang bakal dihadiahkan kepada ibu. Pemilihan batu jenis charoite kerana ia berwarna ungu, tampak eksklusif dan misteri, sesuai dengan ibu yang cukup meminati tona berkenaan,” katanya kepada K2 ketika ditemui di bengkel pembuatan cincin d’silver craft di Institut Kraf Negara (IKN) di Taman Templer, Rawang baru-baru ini.

Bengkel d’silver craft turut dikenali sebagai kedai barangan kemas DS Malaya Venture.

Pembuatan cincin tradisional berbeza daripada pembuatan cincin moden kerana ia tidak menggunakan sebarang mesin, sebaliknya pembentukan atau pertukangan tangan.

Peralatan yang digunakan juga bersifat tradisional seperti acuan tulang sotong, kikir dan sebagainya.

Rekaan

Pengasas d’silver craft, Mohamed Khairul Fikrie Mohamed Noor, 33, berkata, di kedainya, pelanggan boleh memilih pelbagai logam dan batu untuk buatan cincin tradisional.

Bagi logam, antaranya ialah perak, paladium, suasa, emas kuning dan putih, piuter serta tembaga.

Sementara bagi batu pula, peminat cincin boleh memilih batuan dari jenis delima, nilam, zamrud, topaz, tourmaline, garnet , amethyst, zircon, aquamarine, opal dan spinel.

Namun begitu, Khairul Fikrie mengalu-alukan pelanggannya yang sudah mempunyai batu pilihan mereka sendiri untuk ditatahkan pada cincin yang akan dibuat.

Mohamed Khairul Fikrie yang memegang Diploma Seni Kraf Logam daripada IKN memberitahu, teknik pembuatan cincin secara tradisional itu dipelajari daripada institusi tersebut.

Namun tegasnya, koleksi yang dihasilkan di bengkel cincinnya tidak hanya berekabentuk tradisional, malah turut menyediakan rekaan moden untuk anak muda.

“Lazimnya, pelanggan kami yang berusia 20-an tidak memilih rekaan tradisional yang selalunya hadir dengan rekaan awan larat dan sulur kacang kerana bagi mereka ia tidak sesuai dengan pemakaian, jadi mereka lebih memilih rekaan moden.

“Cincin tradisional kami pula selalunya menjadi idaman hati bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas kerana ia lebih sebati dengan jiwa mereka,” ujarnya.

Perjuangan

Cekal mengekalkan seni pembuatan cincin tradisional, Mohamed Khairul Fikrie berkata, dia telah melalui beberapa fasa mencabar ketika mula membuka perniagaan ini sejak 2014.

Namun begitu, dirinya tetap meneruskan semangat juang yang tinggi kerana menganggap seni pembuatan cincin tradisional perlu dipertahankan.

Katanya, semakin banyak kedai barangan kemas menyediakan rekaan moden sahaja manakala rekaan tradisional dilihat semakin berkurangan.

“Harga yang kami tawarkan juga sangat berbeza kerana kami cuba untuk mengubah stigma masyarakat yang berasa harga cincin tradisional mahal,” katanya.

Mohamed Khairul Fikrie yang turut meminati cincin berekabentuk tradisional memberitahu, harga cincin yang mereka tawarkan adalah RM100 ke atas bagi cincin yang sudah siap dibentuk dan RM350 ke atas bagi cincin buatan tangan.

Rakan kongsinya, Muhammad Saifullizan Mohd. Yusof, 30, menjelaskan, proses pembuatan cincin tradisional agak sukar berbanding cincin berekabentuk moden.

Peralatan

Ujar pemuda itu, dia mengambil masa selama dua minggu hingga sebulan bagi menghasilkan sebentuk cincin buatan tangan yang ditempah pelanggan sedangkan hanya setengah jam bagi cincin siap.

“Kita akan mulakan dengan mengambil saiz jari pelanggan diikuti memilih bentuk dan saiz bentuk batu, penghasilan acuan cincin atau lebih dikenali sebagai tulang sotong, melalui proses peleburan, pengikiran dan sentuhan pembersihan terakhir sebelum dapat dipulangkan kepada pelanggan.

“Ia berbeza dengan rekaan cincin siap atau casting kerana ia tidak perlu melalui banyak proses,” jelasnya.

Jelasnya, cincin tradisional mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. Malah, peralatan yang digunakan juga sangat berbeza dengan kelengkapan moden masa kini.

Menurutnya, kebanyakan kedai barangan kemas menggunakan mesin yang canggih termasuklah penggunaan komputer untuk mereka bentuk segala permintaan pelanggan.

“Kami di sini secara umumnya masih menggunakan pensel dan kertas untuk mereka bentuk cincin idaman.

“Walaupun tidak secanggih teknologi terkini, cincin kami dapat dihasilkan dengan sempurna selain mengekalkan nilai-nilai tradisional yang pelanggan inginkan,” ujarnya.

Tambah pemuda yang turut merupakan bekas pelajar IKN itu, para pelanggan berpuas hati dengan cincin yang dihasilkan malah ramai yang kembali menempah cincin yang lain.

“Kami turut membuat barangan kemas yang lain seperti gelang tangan, rantai dan anting-anting jika ada yang berminat. Malah, kami juga ada menyediakan pin tudung dan dokoh yang terkenal dengan sifat tradisionalnya menggunakan rekaan cukup klasik yang dihasilkan menggunakan piuter,” ujarnya.

Muhammad Saifullizan dalam pada itu turut menyeru agar lebih ramai anak muda menceburi bidang pembuatan cincin secara tradisional itu.

Pembuatan cincin tradisional berbeza daripada pembuatan cincin moden kerana ia tidak menggunakan sebarang mesin, sebaliknya banyak bergantung kepada kemahiran pembentukan atau pertukangan tangan.