REZAL
REZAL

Pada perlawanan Sumbangsih itu yang juga menjadi aksi pembuka tirai Liga Super musim ini menyaksikan JDT menepati ramalan apabila ditabalkan selaku juara hasil kemenangan 2-1.

Dengan satu piala sudah berada dalam genggaman, JDT terus menjadi pasukan pilihan bagi untuk merangkul trofi Liga Super buat kali kelima berturut-turut musim ini.

Begitupun, JDT pastinya sedar betapa mereka bakal mengharungi musim penuh getir kali ini bersandarkan beberapa keputusan mengejut selepas berakhirnya tiga perlawanan Liga Super minggu lalu.

Ia termasuklah kekalahan 0-1 skuad Harimau Selatan itu kepada pendatang baharu Liga Super, Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

MOHD. AZRAAI
MOHD. AZRAAI

Bekas pengendali Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, bahang kehangatan Liga Super 2018 sudah mula dirasai walaupun baru tiga perlawanan berlangsung.

“Saya lihat pelbagai kejutan dan aksi sengit telah ditampilkan setiap pasukan dalam misi memburu kemenangan sebaik kempen liga bermula.

“Beberapa keputusan mengejut juga berlaku membabitkan pasukan kuat seperti kekalahan JDT kepada Kuala Lumpur dan kemenangan besar Terengganu (TFC) I ketika menentang Selangor minggu lalu.

“Ini memberi petanda awal bahawa saingan Liga Super 2018 bakal menjanjikan saingan yang cukup sengit kepada setiap pasukan yang bertanding,” kata Azraai yang membantu Kedah menjulang gelaran double treble pada musim 2006/2007 dan 2007/2008.

Azraai memberitahu, JDT masih lagi memegang status sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Super 2018 sekalipun skuad Harimau Selatan itu mengalami kekalahan kepada Kuala Lumpur.

“JDT ada kekuatan tersendiri sehingga menjadi pasukan yang cukup digeruni sejak beberapa musim lalu. Dengan status juara Liga Super empat musim berturut-turut, kehebatan JDT tidak perlu dipersoalkan lagi.

RIZAL
RIZAL

“Saya percaya dengan sentuhan daripada jurulatihnya, Ulisses Morais, JDT mampu untuk sekali lagi bergelar juara Liga Super musim ini,” katanya.

Pengulas sukan tempatan, Rizal Hashim berkata, beberapa pasukan telah membuat kejutan awal sehingga mengejutkan peminat bola sepak tempatan selepas tiga perlawanan Liga Super setakat ini.

“Contohnya, Kuala Lumpur yang kalah dua kali berturut-turut pada awal musim mampu menewaskan JDT selaku juara Liga Super empat kali berturut-turut.

“Apa yang mengejutkan, PKNS FC kini mendahului carta liga. Bagi saya, ini permulaan menarik bagi peminat bola sepak tempatan kerana ia akan menghangatkan lagi liga tempatan,” jelasnya kepada Rembat Kosmo! baru-baru ini.

Mengakui JDT tetap menjadi pilihan utama mendakap trofi Liga Super 2018, Rizal turut meramalkan tiga lagi pasukan iaitu Pahang, Selangor dan Kedah mampu menjadi antara pencabar kejuaraan musim ini.

“Keupayaan ketiga-tiga pasukan itu tidak boleh kita nafikan. Saya menjangkakan Pahang, Selangor dan Kedah akan memberi saingan sengit kepada JDT dalam pemburuan trofi liga musim ini.

“Jika PKNS FC dan beberapa pasukan lain mampu mengekalkan momentum dari awal hingga akhir musim, tidak mustahil juga mereka mampu menjadi antara pasukan pencabar terkuat,” jelasnya.

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM), Rezal Zambery Yahya pula memberitahu, Selangor, PKNS FC dan TFC I selain JDT lebih awal memberi impak dalam pemburuan kejuaraan musim ini.

“Jika diukur pada tiga perlawanan awal Liga Super, JDT, TFC I, PKNS FC dan Selangor wajar diberi perhatian musim ini. Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk meramalkan pasukan manakah yang mampu bergelar juara.

“Secara peribadi, saya berpendapat setiap pasukan akan cuba mempamerkan corak permainan terbaik dan berlumba-lumba untuk mengejar takhta sebagai penghulu liga,” katanya.