Pemiliknya, Shahrizal Salleh, 40, mengusahakan tanah miliknya yang terbiar sejak sekian lama itu dengan menanam kelapa sebagai tanaman kekal dan pokok pisang bagi tanaman singkat. Bantuan daripada Jabatan Pertanian Malaysia melalui insentif Program Pembangunan Tanah Terbiar benar-benar telah membantunya mencapai kejayaan itu.

Sebanyak 2,000 pokok pisang berangan dan 250 pokok kelapa kuning Malaya ditanam di kebunnya dengan bantuan anak benih daripada Jabatan Pertanian Malaysia melalui Pejabat Pertanian Temerloh.

Walaupun baru setahun mengusahakan kebun kelapa dan pisang di bawah program tanah terbiar itu, dirinya sudah boleh menarik nafas lega apabila melihat sumber ekonomi yang langsung tidak dipedulikan sebelum ini bakal mengeluarkan hasil tidak lama lagi.

Pokok pisangnya yang semakin subur dijangka mula mengeluarkan hasil sekitar September nanti manakala pokok kelapa pula dijangka mula berputik dan berbuah dalam masa tiga atau empat tahun lagi.

“Saya pun tidak sangka daripada proses permohonan hingga kelulusan Jabatan Pertanian Malaysia hanya mengambil masa lima bulan dan kerja pembersihan kawasan terus dijalankan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kampung tersebut baru-baru ini.

Begitulah antara kejayaan yang telah dicapai seorang pengusaha tanah terbiar. Menurut risalah Jabatan Pertanian Malaysia, tanah terbiar ditakrifkan sebagai tanah darat atau tanah sawah yang berkeluasan minimum 0.4 hektar ke atas sama ada bersambungan atau bertaburan yang merupakan tanah bermilik yang tidak diusahakan selama tiga tahun berturut-turut.

Komitmen

Insentif permulaan yang diberikan Jabatan Pertanian untuk mengusahakan tanah terbiar dalam bentuk pembangunan infrastruktur seperti pembersihan kawasan dan penyediaan sistem pengairan atau pemberian input pertanian seperti anak benih, baja atau bantuan teknologi dengan nilai RM20,000 sehektar.

Bapa kepada lima orang anak yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Temerloh tidak mempunyai masalah untuk memberi komitmen terhadap kebunnya yang terletak tidak jauh dari pejabatnya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha tanah terbiar di kampung sama, Abidin Darus, 59, memilih jambu batu sebagai tanaman kekal di atas tanah seluas 1.2 hektar. Sebanyak 250 batang pokok jambu ditanam sejak 2017 dengan bantuan awal Jabatan Pertanian.

Tanah miliknya itu terbiar selama tiga tahun selepas berlaku banjir besar di kawasan Pantai Timur sekitar 2014.

“Sebelum tanah ini terbiar, saya pernah mengusahakannya dengan menanam kelapa. Ketika banjir besar berlaku, semua pokok kelapa habis musnah dan disebabkan tidak cukup modal, kebun ini tidak diusahakan. Selepas itu, saya buat kerja-kerja sendiri sehinggalah pada tahun 2017 saya mulakan semula dengan menanam pokok jambu batu,” katanya.

Abidin mendapat bantuan Jabatan Pertanian pada peringkat awal membangunkan tanah terbiar meliputi bantuan membersihkan kawasan, bantuan anak benih, baja dan pam air.

Selain itu, khidmat nasihat juga diberikan bagi menambah baik pokok-pokok yang ditanam.

“Pokok jambu batu mudah ditanam, mudah dijaga dan hasilnya pun cepat. Setakat ini sudah tiga kali buah jambu yang saya tanam mengeluarkan hasil,” katanya.

Hakikatnya, Jabatan Pertanian Malaysia menggalakkan pemilik tanah terbiar membangunkan tanah mereka atau membenarkan pihak lain mengusahakannya dan usaha itu sudah digerakkan sejak lebih sedekad lalu.

Menyedari tanah baharu bagi tujuan pertanian kini adalah terhad, Jabatan Pertanian Malaysia mula memberi perhatian dalam membangunkan tanah terbiar sejak Rancangan Malaysia Kelapan (2001-2005). Langkah lebih serius digerakkan sejak 2007 sebagai satu inisiatif menangani isu pembaziran sumber dengan matlamat membangunkan tanah terbiar, meningkatkan kapasiti pengeluaran bahan makanan negara di samping mengurangkan kebergantungan kepada sumber makanan import.

Bagaimanapun, setelah lebih 10 tahun dijalankan, sambutan dalam kalangan pemilik tanah masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

Insentif

Daripada 119,273 hektar jumlah tanah terbiar di Semenanjung Malaysia yang direkodkan pada 2014, tanah yang dibangunkan di bawah Jabatan Pertanian sehingga 2018 hanyalah 7,944.97 hektar dengan jumlah peserta 5,964 orang. Ini bermakna, masih banyak lagi tanah terbiar yang belum diusahakan dan dioptimumkan penggunaannya untuk pertanian.

Masalah sikap dan kesedaran pemilik yang tidak melihat kepentingan ekonomi untuk memajukan tanah menyebabkan usaha membangunkan tanah terbiar menjadi sukar. Terdapat juga pemilik yang menghadapi kesukaran memajukan tanah mereka berikutan kegagalan mendapatkan persetujuan bersama memandangkan tanah mempunyai banyak penama. Kebanyakan pemilik asal tanah tersebut telah meninggal dunia dan ia diwarisi anak-anak yang rata-rata kemudiannya berhijrah ke bandar.

Sebagai contoh, di Negeri Sembilan, status tanah adat di bawah Enakmen Pemegangan Tanah Adat Bab 215 dikatakan menjadi halangan untuk memajukan tanah terbiar.

Bagaimanapun, daripada kajian akademik yang dijalankan, undang-undang Tanah Adat itu tidak pun menghalang untuk pelaksanaan aktiviti pertanian sebaliknya sikap pemilik tanah itu sendiri yang tidak mahu memajukan tanah yang dimiliki.

Ini antara cabaran yang dihadapi Jabatan Pertanian selain kesukaran untuk mengenal pasti tanah terbiar dan pemiliknya, demikian menurut Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perancangan Strategik, Jabatan Pertanian Malaysia, Nur Dalinna Ibrahim.

Nur Dalinna menjelaskan Jabatan Pertanian memberikan insentif permulaan kepada pemilik tanah atau pengusaha yang ingin memajukan tanah terbiar dengan kadar bantuan maksimum sehektar bernilai RM20,000. Bagaimanapun, ia bergantung kepada keperluan sebenar di tapak.

Bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk pembangunan infrastruktur seperti pembersihan kawasan dan penyediaan sistem pengairan atau pemberian input pertanian seperti anak benih, baja atau bantuan teknologi dengan nilai tersebut.

“Penilaian tapak akan dilakukan terlebih dulu untuk melihat kesesuaian lokasi dan tanaman yang ingin diusahakan,” katanya sambil menambah sebanyak RM2 juta setahun diperuntukkan bagi melaksanakan program ini.

Menurutnya, pengusaha tanah terbiar paling ramai adalah di Pahang iaitu 1,130 orang diikuti Terengganu (1,051), Kelantan (811), Kedah (772), Pulau Pinang (617) ,Perak ( 423), Negeri Sembilan(384), Johor (357), Melaka (190), Perlis (134), Selangor (63) dan Wilayah Persekutuan Labuan (31).

Jabatan Pertanian menyasarkan 100 hektar tanah terbiar dapat dibangunkan setiap tahun dengan bilangan pengusaha seramai 50 orang.

Menurutnya, setiap pengusaha yang mengikuti Program Pembangunan Tanah Terbiar sentiasa dipantau terutama dengan memberi khidmat nasihat di samping memastikan tanah yang dibangunkan kekal produktif.

Katanya, jenis tanaman yang digalakkan untuk diusahakan di tanah terbiar iaitu tanaman kekal dan tanaman singkat masa.

Menurut Nur Dalinna antara tanaman kekal yang selalu menjadi pilihan adalah pokok durian, kelapa, mangga dan buah-buahan lain.

Mereka yang berminat untuk menjadi peserta Program Pembangunan Tanah Terbiar boleh datang ke pejabat-pejabat Pejabat Pertanian Daerah bagi mengemukakan permohonan.

“Antara kriteria peserta bagi program ini mestilah mempunyai tanah untuk dibangunkan sama ada tanah milik individu yang boleh dibuktikan dengan geran atau tanah sewa atau pajak yang mempunyai perjanjian rasmi.

“Mereka juga harus mempunyai pelan rancangan untuk melaksanakan projek serta modal. Sekiranya mereka mempunyai keupayaan tersebut, Jabatan Pertanian akan mempermudahkan urusan tersebut,” katanya. 
– Bernama

Daripada 119,273 hektar tanah terbiar di Semenanjung Malaysia yang direkodkan pada 2014, tanah yang dibangunkan hanya kira-kira 7,944 hektar sehingga 2018. Ini bermakna, masih terlalu banyak tanah yang 'terbazir' tanpa diusahakan.