Matanya tidak lekang memerhatikan tiap bait kata yang ditulis dalam tulisan kaligrafi huruf rumi itu. Setiap gerakan diatur kemas agar tulisan itu tidak comot atau rosak.

Itulah rutin yang dilakukan oleh Saidatul Syuhadah Rosman, 24, sewaktu membuat penulisan kaligrafi huruf yang menjadi minatnya sejak di bangku sekolah.

Menurutnya, kaligrafi huruf adalah salah satu seni yang unik kerana ia memberikan perkataan-perkataan satu nafas kesenian dengan nilai estetika.

“Seni kreatif menjadi minat saya sejak zaman persekolahan. Setiap kali masa lapang, saya akan mengisinya dengan mempelajari teknik menulis kaligrafi dan melukis menerusi laman video YouTube.

“Saya mula mempelajari seni kaligrafi ini secara serius pada tahun akhir pengajian universiti dengan menghadiri beberapa kursus teknik penulisan kaligrafi. Saya mula bergiat serius dengan menawarkan khidmat menulis kaligrafi sejak tahun lalu menerusi online,” katanya ketika ditemui K2 di ruang acara Meet And Socs, Seksyen 9, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Menurut Saidatul Syuhadah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda jurusan Sains Kejuruteraan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, dia memilih untuk serius dengan minat penulisan tersebut selepas mendapat cetusan inspirasi daripada hasil seni penulis kaligrafi antarabangsa, Shelly Kim ketika seni itu mula berkembang di Malaysia sejak dua tahun kebelakangan ini.

Struktur

Secara amnya, kaligrafi merupakan seni penulisan tidak kira dalam apa jua bentuk tulisan sama ada rumi, jawi, Arab, India atau Cina.

Kaligrafi huruf rumi atau turut dikenali sebagai kaligrafi Barat merupakan seni penulisan dalam perkataan rumi yang wujud kira-kira tahun 600 sebelum Masihi.

Difahamkan, huruf-huruf rumi itu diasaskan semasa Empayar Rom (Itali) dan pada kurun pertama Masihi ia berkembang menjadi huruf besar Romawi.

Pada kemunculan awalnya, ia dipahat pada batu atau dicat sebutir-sebutir pada dinding sebelum tulisan sambung Romawi digunakan bagi penulisan seharian.

Menurut Saidatul Syuhadah, huruf rumi atau abjad A hingga Z adalah pengantara persuratan dan dokumentasi selepas tulisan Sanskrit. Konsep penulisan itu yang dikenali hari ini sebagai kaligrafi adalah kerana struktur uniknya yang dinukil menggunakan alat tulis tradisional pada zaman lampau.

“Kaligrafi ialah seni penulisan daripada warisan masyarakat zaman dahulu. Bagaimanapun, ia telah melalui pelbagai transformasi dan variasi sehingga lahirnya tulisan moden.

“Minat saya lebih kepada kaligrafi rumi kerana ia seni huruf yang sebati dengan masyarakat dunia secara amnya malah, mempunyai pelbagai jenis tulisan yang kreatif dan berseni,” jelasnya.

Menurutnya, untuk menulis kaligrafi, terdapat beberapa peralatan khas yang diperlukan seperti pena bermata berus, tirus, rata atau bulat selain berus lukisan, warna air dan dakwat.

Dalam konteks amalan seni kaligrafi rumi di Malaysia, secara dasarnya, seni ini dikaitkan dengan tulisan berangkai namun selepas kemunculan internet seni itu dipelajari secara meluas dengan pengenalan pelbagai jenis tulisan klasik dan moden.

Tidak sepopular seni kaligrafi khat, kebanyakan pengamal tulisan kaligrafi rumi mempelajarinya dan mahir secara sendiri sebelum mengajarnya kepada orang lain yang berminat dengan seni itu.

Tidak cukup mempelajarinya sendiri, Saidatul Syuhadah turut mempelajari seni tersebut dengan mengikuti kelas yang diadakan oleh seorang penulis kaligrafi yang dikenali menerusi laman sosial Instagram. Malah, kini dia sendiri turut mengadakan kelas kemahiran tulisan kaligrafi rumi di Meet And Socs, Seksyen 9, Bangi, Selangor secara mingguan.

Saidatul Syuhadah berpendapat, tidak ada sebarang kriteria khusus yang perlu dimiliki seseorang itu untuk menulis kaligrafi.

“Saya percaya siapa sahaja boleh melakukannya asalkan mempunyai minat dan menggiatkan latihan,” katanya.

Percubaan

Turut mempelajari seni kaligrafi rumi secara sendiri ialah Muhammad Syahir Azman, 24. Dia mempelajari seni kaligrafi sepenuhnya daripada Instagram dan YouTube sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, minatnya terhadap seni kaligrafi tercetus semasa sedang membuat kajian tentang ilmu seni lukisan yang turut ingin ditimba bagi mengisi masa lapang.

“Semasa melayari internet untuk mempelajari teknik melukis saya terlihat satu entri berkaitan kaligrafi dan terus berminat untuk mempelajarinya.

“Sejak itu, saya mula meniru gaya tulisan kaligrafi sehingga saya mahir. Malah, saya turut ke kedai alat tulis untuk mendapatkan peralatan menulis kaligrafi dan banyak melakukan percubaan untuk menulis pelbagai jenis tulisan,” katanya yang bekerja tetap sebagai seorang pekerja swasta.

Seperti Saidatul Syuhadah, Muhammad Syahir juga menjalankan perkhidmatan menulis kaligrafi secara online dan menerima tempahan untuk tulisan pada kad jemputan perkahwinan, ucapan, penanda buku dan papan tanda majlis.

Dalam menghasilkan seni kaligrafi, kedua-dua penulis ini menyatakan, ia memakan masa yang agak lama bergantung kepada kesukaran tulisan.

Kadangkala ia memerlukan jumlah masa antara tiga hingga lima jam untuk menyiapkan 25 keping penanda buku atau satu teks dengan 200 patah perkataan. Ia tidak termasuk hiasan seni yang menjadi bingkai.

Tidak seperti lukisan seni halus, hasil karya kaligrafi kebiasaannya dijual pada harga RM50 hingga RM150 seunit bergantung kepada saiz, jenis warna dan kesukaran tulisan.

Kedua-dua penulis itu juga mengakui seni tersebut semakin mendapat permintaan. Malah, ada tempahan yang diterima dari luar negara seperti Singapura dan Itali. Mereka rata-rata menerima 10 tempahan pelanggan dalam sebulan yang merangkumi pelbagai jenis hasil karya.

Senario kaligrafi rumi di luar negara bagaimanapun dilihat sangat berbeza memandangkan ia merupakan salah satu karier seni yang mendapat sambutan menggalakkan di sana.

Penulis kaligrafi sepenuh masa Amerika Syarikat, Laura Hooper dalam satu wawancara di laman blog Planoly memberitahu, menulis kaligrafi diterima sebagai satu profesion di negara itu.

“Selama 16 tahun saya tidak pernah menyesal menceburi kerjaya ini malah, saya dapat berkongsi ilmu dengan orang ramai selain memberikan mereka kegembiraan dengan hasil karya yang melengkapi kehendak mereka.

“Penulisan kaligrafi diangkat sebagai salah satu karier profesional seperti pelukis seni halus dan ia adalah satu seni bersejarah yang lama wujud dan akan kekal menjadi sebahagian hidup manusia,” ujarnya.