Wanita yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu tidak mahu terus meratapi nasib dan akhirnya dia berniaga kuih secara kecil-kecilan di kawasan rumah sewa di Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor. Bagaimanapun, dia bersama lima anaknya terpaksa keluar dari rumah sewa akibat tidak mampu membayar sewa sebanyak RM1,300 sebulan. Hidup menumpang hampir setahun dengan keluarga yang tinggal berhampiran, wanita ini tidak menyangka, kedatangannya untuk mendengar taklimat mengenai penyediaan makanan sejuk beku di Puncak Alam, Selangor, mengubah kehidupannya kini.

“Saya ingat lagi, selepas kursus penyediaan makanan sejuk beku, kami diberi taklimat mengenai MyBidan House (MyBidan) dan di hujung penerangan, pihak terbabit meminta sesiapa berminat untuk memberi nama.

Kursus

“Pada masa itu, saya tanpa berfikir panjang terus menulis nama dan selang beberapa hari, pihak MyBidan menghubungi dan bertanya jika saya berminat. Selepas berterus-terang mengenai keadaan diri dan masalah kewangan dihadapi, mereka meminta saya menghubungi pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kerana difahamkan pihak tersebut mempunyai biaya untuk golongan asnaf,” katanya ketika ditemui K2 di Bandar Seri Putra, Kajang baru-baru ini.

Bertitik tolak daripada situ, akhirnya Aida diterima untuk mengikuti kursus yang disediakan dengan kos ditanggung oleh MAIS selepas dia berdaftar sebagai asnaf di negeri tersebut.

“Banyak proses yang perlu dilalui sebelum melayakkan saya diterima pada tahun 2017 dan peluang itu tidak saya sia-siakan dan berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh,” ujarnya.

Kini, selepas dua tahun bergiat aktif menjadi salah seorang juruterapi atau tukang urut bertauliah di MyBidan House, Aida bukan sahaja boleh berpindah tinggal di rumah sewa bersama anak-anak yang berusia antara dua hingga 11 tahun, malah dia juga mampu memberi sedikit wang saku kepada ibubapanya apabila pendapatan bulanannya mula mencecah purata antara RM3,000 sehingga RM5,000 sebulan, bergantung pada jumlah pelanggan.

“Saya keluar mengurut bermula pukul 8 pagi dan biasanya habis sekitar pukul 8 malam di kawasan sekitar Saujana Utama, Sungai Buloh dan Puncak Alam. Saya tidak mempunyai masalah untuk keluar bekerja sambil menguruskan anak-anak kerana biasanya jadual disusun supaya tidak bertindih dengan waktu menghantar dan mengambil mereka dari sekolah serta waktu menyediakan makanan buat mereka,” katanya lagi.

MyBidan yang pada masa ini berkolaborasi dengan sebuah anak syarikat di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) merupakan satu platform untuk membantu wanita terutama dalam kalangan asnaf untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Urut wanita sahaja

Selain mengurut badan, juruterapi di MyBidan House turut menawarkan perkhidmatan mengurut wanita berpantang, penggalak susu, bayi, terapeutik, saraf dan otot, kecantikan serta bekam. Kesemua juruterapi hanya dibenarkan mengurut pesakit wanita sahaja dan sekiranya mereka didapati mengurut pesakit lelaki walaupun dengan berlapik, sijil pentauliahan akan ditarik oleh pihak MyBidan House.

Seorang juruterapi MyBidan House, Rahila Husin, 44, pula mempunyai pengalaman menjaga orang berpantang selama dua minggu di rumah pelanggannya. Menurut Rahila, sepanjang tempoh itu, dia bukan sahaja akan mengurut wanita dalam berpantang, malah, perkhidmatan itu turut menyediakan pakej penyediaan makanan berpantang, memandikan bayi, pilis, lulur dan banyak lagi.

“Saya mula menceburi bidang ini pada tahun 2017 apabila pendapatan bulanan meniaga pisang goreng di tepi jalan mula merosot kepada RM1,000 sebulan.

“Saya sebenarnya tidak tahu mengenai program ini tetapi selepas diajak oleh kawan-kawan, akhirnya saya kini sepenuh masa menjadi juruterapi di MyBidan House bagi membantu suami yang bekerja sebagai pemandu teksi untuk menyara sembilan orang anak kami yang berusia antara enam hingga 26 tahun.

“Suami juga mempunyai masalah kesihatan dan atas niat mahu bersama-sama membantu menyara kehidupan, saya tidak sangka mampu memegang duit dalam tangan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan,” ujarnya yang sebelum ini tinggal di Melaka sebelum berpindah ke Sepang, Selangor.

Sementara itu, pengasas MyBidan House, Riswardi Fakirullah Abd. Rajak yang ditemui berkata, program yang diinspirasikan oleh The Retail Sifu bermula pada penghujung tahun 2016 bagi membantu golongan wanita terdiri daripada asnaf, ibu tunggal dan pelajar lepasan universiti yang belum mendapat pekerjaan untuk mempunyai pendapatan menggunakan terapi urutan.

Malah katanya, menerusi MyBidan House juga, pihaknya dapat menyumbang kembali kepada komuniti terutama bagi membantu golongan asnaf untuk mempunyai sumber pendapatan sendiri sekali gus dapat membolehkan mereka keluar daripada kelompok tersebut dan hidup berdikari dengan pendapatan yang lebih terjamin.

Kerjasama strategik

“Ketika kita diminta untuk memberi sumbangan kepada masyarakat, kami melihat perkhidmatan urutan sebagai satu bidang yang mempunyai permintaan tinggi. Ia juga tidak bermusim terutama urutan berpantang.

“Selain itu, kita lihat, bidang ini kini dipelopori oleh golongan wanita warga asing sedangkan kita mempunyai ramai wanita tempatan yang jika diberi kursus dan latihan yang bersesuaian, mereka bukan sahaja dapat menguasai perkhidmatan itu malah secara tidak langsung dapat mengubah ekonomi keluarga itu sendiri,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai MyBidan House, Riswardi memberitahu, pihaknya menjalin kerjasama strategik dengan pakar dalam bidang tertentu termasuk doktor perubatan yang sah, pakar fisioterapi, tenaga pengajar Sijil Kemahiran Malaysia serta pakar strategi dalam bidang perniagaan yang menyebabkan ia unik dan berbeza.

Sehingga kini, juruterapi di situ telah memberi perkhidmatan urutan kepada kira-kira 500,000 pelanggan termasuk golongan artis, kenamaan, menteri dan kerabat diraja.

“Di MyBidan House, kami memberi bimbingan percuma selama setahun selain membantu juruterapi meningkatkan strategi pemasaran, penjenamaan dan operasi. Bagi peringkat permulaan, mereka yang berminat hanya perlu mengeluarkan modal kurang daripada RM2,500 dan diberi barang urutan serta kursus, tetapi untuk golongan asnaf, mereka perlu merujuk kepada pihak majlis agama negeri seperti MAIS di Selangor untuk maklumat lanjut.

“Pada masa ini, kami mempunyai kira-kira 300 orang juruterapi di seluruh negara dengan kira-kira 200 sahaja daripada mereka yang bergiat aktif namun kami menyasarkan untuk melatih lebih ramai usahawan wanita di negeri Pantai Timur, Selatan dan Utara tanah air selepas ini supaya mereka dapat mengubah ekonomi keluarga masing-masing menjadi lebih baik,” katanya lagi.

Golongan Hawa terutama dalam kalangan asnaf fakir dan miskin menyertai MyBidan House untuk menjana pendapatan menerusi penjagaan wanita berpantang demi mengubah ekonomi keluarga menjadi lebih baik.