Di dalam sebuah kelas kecil, alunan gesekan biola yang memainkan muzik klasik kedengaran bergema diikuti dengan rentak beberapa peralatan muzik tradisional lain seperti rubab, dombura dan ghichak.

Sejak lima tahun lalu, tertubuhnya sebuah kumpulan orkestra dianggap cukup unik di Afghanistan. Dikenali sebagai Zohra, orkestra tersebut dianggotai sepenuhnya oleh wanita, sekali gus menjadikannya sebagai kumpulan okestra wanita pertama di negara itu.

“Saya ingin mengembalikan semula zaman kegemilangan muzik di Afghanistan yang cukup dikagumi di seluruh dunia suatu ketika dahulu,” ujar Dr. Ahmad Sarmast, pengasas Institut Muzik Kebangsaan Afghanistan (ANIM).

Apabila berbicara tentang Afghanistan, masyarakat dunia sedia maklum tentang dasar negara tersebut yang melarang muzik dan penglibatan wanita dalam apa jua bentuk akiviti termasuk meneruskan pendidikan sejak berpuluh tahun lalu.

Institut muzik

Semuanya berpunca apabila negara yang bersempadan dengan Pakistan di bahagian selatan dan timur, Iran (barat), Turkmenistan, Uzbekistan dan Tajikistan (utara) serta China di bahagian timur laut itu mengharamkan muzik pada tahun 1978 dan diikuti penguasaan rejim Taliban pada tahun 1996.

Sejak pengharaman muzik dan penguasaan rejim Taliban, ramai pengkarya dan pengamal muzik di negara itu terbunuh dalam pertempuran dengan rejim Taliban dalam usaha untuk menghapuskan muzik dan budaya.

Malah, terdapat juga penggiat muzik yang ada terpaksa berhijrah ke negara lain untuk menyelamatkan diri dan meneruskan kehidupan. Sehinggalah rejim Taliban jatuh pada tahun 2001 dan lara­ngan bermain muzik ditarik 
semula, sebahagian besar rakyat Afghanistan masih takut untuk bermain muzik.

Pada hari ini, di ibu kota Afghanistan, Kabul, sejumlah 250 pelajar lelaki dan perempuan berusia antara 12 hingga 20 tahun ligat mempamerkan bakat bermain pelbagai instrumen di ANIM.

Daripada jumlah itu, 100 orang daripada mereka adalah remaja perempuan, sekali gus menunjukkan golongan tersebut melalui satu fasa pembebasan daripada diskriminasi oleh Taliban suatu masa lalu.

ANIM yang ditubuhkan pada tahun 2008 mendapat sokongan penuh Kementerian Pendidikan Afghanistan dalam usaha mewujudkan semula pendidikan muzik.

Kira-kira 70 peratus penuntut di ANIM datang daripada keluarga miskin yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Dewi muzik

Menurut Ahmad, penubuhan kumpulan orkestra Zohra tercetus selepas salah seorang pelajarnya meminta untuk menubuhkan kumpulan muzik dianggotai empat hingga lima orang untuk bermain muzik bergenre pop.

“Saya sangat sukakan idea tersebut sehingga ramai remaja perempuan mahu turut serta dalam kumpulan itu.

“Melihat kepada penyertaan yang menggalakkan, saya akhirnya menukar fikiran daripada kumpulan kecil kepada penubuhan orkestra besar,” jelas pemegang gelaran Doktor Falsafah dalam bidang muzik dari Australia itu.

Zohra diambil bersempena nama dewi muzik dari Parsi dibangunkan bukan semata-mata untuk mengembalikan muzik indah, tetapi juga sebagai simbol kebebasan wanita Afghanistan.

Penerimaan dan kreadibiliti dipamerkan oleh Zohra ternyata tidak sia-sia selepas kumpulan orkestra itu mula mendapat perhatian dunia.

Dalam satu sesi Forum Ekonomi Dunia, Zohra dijemput untuk turut sama di dalam mesyuarat tersebut yang berlangsung di Davos, Switzerland.

Pada tahun 2017, kumpulan forum itu merangka satu siri jelajah selama 20 hari bagi menjayakan 11 konsert di lima bandar di Eropah dengan dibiayai oleh sebuah bank dari Itali, Intesa Sanpaolo bagi menerbangkan kumpulan tersebut dari Kabul ke Dubai dengan menaiki penerbangan Emirates.

Bukan itu sahaja, semasa di Switzerland dan Jerman, Zohra juga berkongsi pentas bersama kumpulan orkestra tempatan.

Perasaan teruja dirasai oleh Negin Khpalwak dan Zarifa Adiba yang masing-masing merupakan ketua konduktor Zohra.

Menjadi konduktor wanita pertama Afghanistan ternyata satu mimpi buat kedua-dua wanita itu sementelah mereka sendiri pernah melalui pengalaman menjadi mangsa diskriminasi di tanah air sendiri.

Menurut Negin, 22, yang merupakan antara pelajar terawal menyertai ANIM, peluang yang diperoleh me­nerbangkannya ke merata negara dunia seperti Amerika Syarikat, India, Jerman, Switzerland dan England,” kata gadis kelahiran wilayah Kunar itu.

Perjalanan Negin untuk menceburi bidang muzik bukan mudah. Dakwa gadis Pashtun itu, pada awalnya dia takut untuk memberitahu keluarga tentang minat dalam bidang muzik.

Apabila ia diberitahu kepada bapanya, lelaki itu tidak membantah, sebaliknya Negin diancam bunuh oleh bapa saudaranya.

“Dia berpendapat saya akan memalukan keluarga dan mengancam untuk membunuh saya dan juga bapa.

“Saya dan bapa bertindak melarikan diri ke Kabul dan memohon memasuki ANIM,” katanya.

Kecaman

Berbeza dengan Zarifa, dia yang dilahirkan di Quetta, Pakistan itu tidak berdepan halangan keluarga selepas memberitahu cita-cita untuk menjadi bintang pop terkenal.

Dia yang pulang ke Afghanistan pada tahun 2014 ketika berusia 15 tahun mula belajar bermain biola ketika memasuki ANIM.

“Sehingga kini, pelajar di ANIM dipandang serong segelintir masyarakat kerana pembabitan kami dalam bidang muzik,” kata gadis daripada kaum minoriti Hazara itu.

Walaupun kepulangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di­sambut meriah oleh keluarga, pakar akademik, pelakon, sastrawan dan ahli muzik, kawalan keselamatan dipertingkatkan di lapangan terbang itu.

Hal ini kerana, Zohra pernah mendapat kecaman daripada beberapa pihak yang mendakwa kumpulan itu tidak mempamerkan imej sebenar wanita Afghanistan sewaktu di luar negara.

Bagaimanapun perkara itu tidak membuatkan perjalanan seni Zohra terhenti, malah kumpulan orkestra wanita pertama Afghanistan itu telah menerima lebih daripada 20 jemputan antarabangsa untuk membuat persembahan sepanjang tahun ini.