Menurut Gina Dutton, 45, dia dan suaminya, John Dutton, 60, nekad menjual banglo tiga bilik di Anstey, Leicester, England selepas tertarik dengan sebuah bot berusia 100 tahun yang tertambat di pelabuhan Bideford, Devon.

“Lima bulan lalu, kami ke Devon kerana suami mempunyai temu janji dengan doktor untuk mendapatkan rawatan susulan penyakit kanser yang dihidapinya sejak empat tahun lalu.

“Sepanjang suami mendapatkan rawatan, saya berlegar-legar di sekitar Devon dan menemui sebuah bot berusia 100 tahun yang ditambat di pelabuhan.

“Entah bagaimana, saya rasa tertarik dan menceritakan kepada suami mengenainya. Tidak sangka pula suami berminat untuk membeli dan mengajak saya menjadikan bot itu sebagai kediaman,” jelasnya.

Menjelaskan lebih lanjut, Gina dan suami mengambil masa setahun untuk membeli bot berharga £65,000 (RM352,657) itu.

“Sebaik pulang, kami nekad berhenti kerja dan menjual rumah.

“Sementara menunggu urusan pembelian bot selesai, kami menjadikan sebuah van sebagai tempat berteduh. Kami menjalani kehidupan sederhana dan sering menjadikan kawasan tepi pantai sebagai lokasi untuk bermalam.

“Corak hidup ini dijalani hampir setahun,” jelasnya.

Panel solar

Sebaik urusan jual beli bot selesai, Gina dan suami mula bertukang dan membaiki mana-mana bahagian yang rosak.

“Bot ini menggunakan kuasa panel solar.

“Kami mengambil masa lebih dua bulan untuk membaikinya memandangkan seluruh permukaan bot berlubang dan bocor,” jelasnya.

Menurut Gina, sepanjang proses membaik pulih dan menghias bot yang berkeluasan 50 meter persegi serta mempunyai 10 bilik tidur itu, dia dan suami tidak mendapatkan bantuan mana-mana pihak.

“Bajet yang terhad menyebabkan barangan di dalam bot ini diambil daripada pusat kitar semula, selain dikutip di tepi jalan. Hiasan dinding pula dilukis sendiri oleh kami.

“Semua ini dilakukan bagi mengurangkan kos. Biarpun begitu, kami berpuas hati dengan hasilnya kerana keseluruhan ruang mampu mewujudkan suasana selesa,” jelasnya.

Menariknya mengenai bot tersebut, ia mempunyai sistem penapis yang mampu menukarkan air hujan sebagai air suling untuk kegunaan harian.

Keindahan alam

“Sejak lima bulan lalu, kami begitu selesa menetap di sini.

“Ia seperti berada di bahagian dalam perut ikan paus. Bilik depan adalah bilik kegemaran kami suami isteri kerana cermin kacanya yang besar membolehkan menikmati keindahan alam semula jadi.

“Biarpun berhadapan dengan kesejukan melampau ketika musim dingin, ia tidak menukar fikiran kami untuk terus menginap di sini.

“Ini merupakan satu pengalaman berharga buat kami,” jelasnya.

Kata Gina, biarpun ramai yang memandang serong terhadap mereka, namun dia tetap merasakan memiliki kehidupan paling sempurna.

“Saya bahagia kerana mempunyai lebih masa terluang bersama suami.

“Sebelum ini, saya bekerja 80 jam seminggu sebagai pengurus jualan di gimnasium. Pada waktu malam pula, saya mengambil upah membersihkan hospital hingga hujung minggu.

“Berbeza dengan sekarang, walaupun hidup dalam serba sederhana, namun saya lebih gembira dan mempunyai waktu untuk diri sendiri,” jelasnya.

Pasangan suami isteri ubah sebuah bot berusia satu abad yang dibeli pada harga £65,000 (RM352,657) menjadi kediaman unik sejak lima bulan lalu.