Menurut sumber, kejadian itu berlaku ketika sekumpulan penari sedang mempersembahkan tarian Ulik Mayang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sempena mempromosikan Tahun Melawat Terengganu.

Menerusi video yang tersebar dalam laman Facebook, persembahan tarian Ulik Mayang itu pada awalnya berjalan seperti biasa sebelum seorang lelaki yang melintasi hadapan pentas persembahan tiba-tiba meluru ke atas pentas dan membuat kacau seperti dirasuk.

Persembahan Ulik Mayang yang terpaksa dihentikan itu bertambah kecoh apabila seorang wanita pula tiba-tiba diserang histeria dengan menjerit dan meracau sehingga terpaksa ditenangkan oleh orang ramai.

Semasa wanita yang dirasuk itu dibawa ke belakang pentas, kelihatan persembahan Ulik Mayang itu disambung semula ekoran terdapat cakap-cakap mendakwa, seseorang yang telah mempersembahkan tarian Ulik Mayang perlu meneruskannya sehingga selesai.

Berdasarkan komen-komen pengguna laman sosial, terdapat segelintir daripada mereka memberitahu pernah mengalami pengalaman serupa semasa membuat persembahan Ulik Mayang di tempat lain.