Raut wajah ibu berusia 48 tahun itu tidak dapat menyembunyikan kekecewaan di hatinya akibat perangai anak perempuan tunggal yang cukup dikasihi.

“Hati ibu mana yang tidak remuk apabila mendapat tahu anak perempuan yang cukup disayangi sudah menconteng arang di wajah ini,” tutur Misah membuka bicara.

Mengimbau kembali, Misah memberitahu, perkahwinannya dengan Kamil (bukan nama sebenar) 25 tahun lalu cukup bahagia.

Selepas tiga bulan bergelar seorang isteri, wanita tersebut disahkan hamil anak pertamanya.

“Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya selepas disahkan hamil.

“Saya melahirkan Tini (bukan nama sebenar) dengan cara normal dan dialah buah hati pengarang jantung saya,” tutur Misah tentang anak sulungnya itu.

Selepas Tini, Misah dikurniakan dua orang anak lelaki yang juga cukup disayanginya.

Paling sayang

Begitu pun, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu mengakui kasih sayangnya terhadap Tini mengatasi segalanya kerana Tini merupakan cahaya mata perempuan tunggalnya.

Tini juga membesar menjadi seorang gadis yang cantik dan amat menyenangkan hati.

Begitu pun, selepas diterima bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu kota, Misah mula sedar akan perubahan sikap anak perempuannya itu.

“Tini sering sibuk dan jarang sekali pulang menjenguk saya dan adik-adiknya di rumah biarpun pejabatnya tidak jauh dari rumah kami.

“Katanya, dia lebih memilih untuk menyewa bersama teman-teman sepejabat. Sebagai ibu, saya cuba memahami Tini dan tidak terlalu mendesaknya,” jelas Misah.

Namun, Misah semakin tidak sedap hati apabila melihat anaknya itu seolah-olah sering kusut dan sering menghadapi masalah kewangan.

“Tini pernah meminjam RM5,000 daripada saya atas alasan wang gajinya habis untuk membeli perabot baharu di rumah sewanya.

“Biarpun kurang yakin dengan alasan yang diberi, saya terus memberikan wang tersebut kepada Tini kerana faham mungkin dia benar-benar memerlukannya.

“Tini juga tidak membenarkan saya, suami dan dua orang adiknya untuk datang ke rumah itu serta memberikan begitu banyak alasan,” keluh Misah.

Berubah sikap

Segalanya terbongkar apabila Misah membuat keputusan untuk berkunjung ke rumah anaknya itu.

Alangkah terkejutnya Misah apabila mendapati anaknya itu sedang berjalan sambil berpelukan dengan seorang lelaki tinggi lampai sebelum sama-sama masuk ke rumah sewa.

Tini yang tidak sedar akan kehadiran ibunya itu terus masuk ke rumah dan kedua-dua mereka mula melampiaskan nafsu serakah di ruang tamu.

Berang, Misah mula mengetuk pintu rumah tersebut bertalu-talu.

Sebaik sahaja Tini membuka pintu tersebut, raut wajahnya terus menunjukkan riak kurang senang dan terkejut dengan kehadiran ibunya.

“Saya terus bertanya Tini siapakah lelaki tersebut. Dia tanpa segan silu memberitahu lelaki itu merupakan teman lelakinya dan mereka sudah lama bersekedudukan.

“Lebih buruk lagi, Tini mengaku ada membuat pinjaman daripada ah long untuk menyara kehidupan kekasih hatinya itu yang merupakan seorang pelajar,” tutur Misah dalam nada sedih.

Misah mengakui cukup terkejut dengan pengakuan Tini dan tidak menyangka anak perempuan yang cukup disayanginya itu sanggup menconteng arah di mukanya.

Lebih memilukan, Tini menjadi bodoh dan dibutakan oleh cinta apabila sanggup membuat pinjaman ah long hanya untuk menanggung kehidupannya bersama lelaki tersebut memandangkan wang gajinya tidak mampu untuk membiayai kehidupan mereka di ibu kota.

“Tuhan sahaja tahu perasaan saya apabila mendapat tahu Tini bersekedudukan dengan kekasih dan lebih teruk lagi sanggup menjerat diri dengan membuat pinjaman ah long.

“Bukan setakat pinjaman ah long, Tini juga ada mengambil pinjaman peribadi berjumlah RM20,000 yang digunakan untuk membeli motosikal berkuasa tinggi buat kekasih hatinya itu.

“Hati saya benar-benar hancur. Kini, saya tidak tahu bagaimana mahu menolong Tini untuk melangsaikan hutangnya kerana ia sudah terlalu banyak.

“Ah long juga sudah mula mencari Tini dan mungkin akan mengganggu saya nanti,” tutur Misah.

Misah berharap agar Tini sedar akan kesilapannya dan boleh mencari jalan keluar bagi masalah yang diciptanya sendiri.

Misah kecewa apabila mendapat tahu anak perempuannya bersekedudukan serta sanggup membuat pinjaman ah long hanya untuk menanggung kekasih hatinya yang merupakan seorang pelajar.