Kebakaran sewaktu azan Subuh itu mengorbankan 21 pelajar dan dua guru berusia antara tujuh hingga 26 tahun yang terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan.

Penemuan dua tong gas serta kesan simbahan petrol pada perabot dan dinding pusat tahfiz tersebut telah membawa kepada pembongkaran perbuatan khianat. Rentetan itu, dua hari selepas kejadian, polis telah menahan tujuh remaja berusia antara 11 hingga 18 tahun. 

Siasatan polis mendapati motif kejadian disebabkan insiden ejek-mengejek antara sekumpulan remaja tempatan dan pelajar tahfiz berkenaan.
Pada 28 September, enam remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dengan dua daripada mereka yang berusia 16 tahun didakwa atas tuduhan membunuh. Dua tertuduh itu bersama empat remaja yang lain turut dituduh memasukkan dadah ke dalam badan. - Memori 2017