Seorang pakar bedah saraf, Dr. Koji Ebersole yang melihat situasi remaja tersebut ternyata begitu terkejut sebaik sahaja mendapati terdapat sebilah pisau sepanjang 25.4 sentimeter (10 inci) tertusuk pada bahagian pipinya.

Semasa dibawa ke hospital, remaja tersebut, Eli Gregg, 15, dari Kansas, Amerika Syarikat (AS) masih berada dalam keadaan sedar walaupun objek tajam itu telah terbenam ke dalam wajahnya.

Kejadian yang amat jarang berlaku itu ternyata bukan kali pertama perlu dihadapi Ebersole sebagai seorang doktor kerana sebelum ini, dia pernah berdepan dengan situasi serupa yang menimpa seorang budak lelaki pada tahun lalu.

Pencucuk daging

Menurut Ebersole, pada tahun lalu, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Xavier Cunningham juga mengalami kemalangan serupa apabila wajahnya ditembusi besi pencucuk daging selepas terjatuh dari atas pokok di rumahnya di Missouri, AS.

Dalam kejadian tersebut, besi pencucuk daging itu telah tertusuk bahagian pipi berdekatan hidung kanak-kanak itu dan menembusi tengkorak bahagian belakang kepalanya.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu bernasib baik selepas pembedahan yang dijalankan oleh sepasukan anggota perubatan di Hospital Universiti Kansas berjaya mengeluarkan besi pencucuk daging itu secara selamat tanpa mengakibatkan masalah serius.

Ebersole memberitahu, pengalaman mengendalikan kes pertama membabitkan kanak-kanak berusia 10 tahun itu pada tahun lalu sedikit sebanyak membantunya mengendalikan kes yang hampir sama membabitkan Gregg.

Mengimbas kembali kejadian yang menimpa Gregg, dia memberitahu kemalangan tersebut terjadi semasa dia bersama beberapa orang rakannya sedang bermain di luar rumah. Ketika itulah dia menemui pisau tersebut berada di rumput halaman rumahnya.

Bimbang tentang keselamatan kanak-kanak lain yang turut bermain di situ, Gregg telah mengambil pisau sepanjang 25.4 sm itu untuk diletakkan di tempat yang lebih selamat.

Namun, malang menimpa Gregg. Semasa hendak mengalihkan pisau itu ke tempat yang lebih selamat, remaja tersebut terjatuh ketika berjalan.

Pisau dengan mata tajam yang dipegangnya itu akhirnya telah tertusuk bahagian muka remaja terbabit dan hampir mengenai bahagian matanya.

Bersyukur

Dakwa Gregg, kejadian tersebut berlaku dengan sangat pantas, malah hanya mengetahui mukanya tertusuk pisau selepas mendapati banyak darah di tapak tangannya.

Selepas menyedarinya, Gregg telah mendapatkan ibunya yang berada di dapur sebelum wanita itu bertindak segera menghubungi panggilan kecemasan, 911.

“Ibu yang melihat terdapat pisau pada wajah saya hanya terdiam kaku kerana terkejut,” jelas Gregg.

Dalam keadaan pisau tertanam di wajahnya, Gregg telah di hantar ke Hospital Universiti Kansas sebelum dia menjalani pembedahan pada keesokan harinya yang di ketuai oleh Ebersole.

Ujian imbasan sinar-X jelas menunjukkan bahawa mata pisau tersebut telah terkena saluran darah pada wajahnya. Perkara itu sangat berbahaya kerana ia boleh mengakibatkan pendarahan yang banyak.

Bagaimanapun, segala-galanya berakhir dengan selamat selepas pisau tersebut berjaya dikeluarkan. Bahkan, ia satu kejayaan luar biasa kerana remaja tersebut tidak mengalami kecederaan serius.

“Walaupun sebilah pisau tajam telah menembusi wajahnya, remaja tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan otak dan penglihatannya tidak terjejas,” kata Ebersole.

Malah, bekas tusukan pisau pada wajahnya tidak meninggalkan kesan ketara, sebaliknya satu garisan kecil seperti luka sahaja.