Walaupun orang ramai yang berada di bawah bangunan 40 tingkat itu menjerit-jerit menyuruhnya turun, namun Deft langsung tidak mempedulikan jeritan itu.

Sebaliknya, dia semakin ligat mengayuh dengan melakukan pelbagai aksi dengan skuter kesa­yangannya di puncak bangunan itu.

Sebaik sampai di penghujung jalan, Deft turun dari basikalnya sebelum mula melakukan beberapa aksi lagak ngeri.

Ternyata, mengayuh skuter di atas bangunan tinggi di tengah-te­ngah bandar raya Moscow, Rusia bukanlah satu perkara asing bagi­nya.

Lebih-lebih lagi apabila sebelum ini dia pernah melakukan beberapa aksi lagak ngeri lain di kawasan-kawasan yang lebih mencabar.

“Saya langsung tidak berasa ga­yat sebaik berada di atas bangunan tersebut. Melakukan aksi lagak ngeri ini sudah menjadi seperti ‘makanan’ saya sejak kecil lagi.

“Setiap kali berada di puncak bangunan tinggi, saya akan kosongkan fikiran dan cuba untuk fokus dengan apa yang sedang dilakukan,” jelasnya memulakan bicara.

Hobi

Ujar pelajar kejuruteraan itu lagi, biarpun dia sentiasa yakin tatkala melakukan aksi-aksi lagak ngeri tersebut, namun dia akui tidak me­nyangka mampu melakukannya.

“Sebenarnya ketika kecil, ayah­ ­ingin menjadikan saya sebagai seorang peninju profesional. Bagaimanapun, hasrat tersebut tidak kesampaian kerana saya langsung tidak minat dengan sukan tinju.

“Sebagai remaja yang sedang membesar, sudah tentu saya mahukan melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh orang lain.

“Justeru saya mula menjinakkan diri dalam sukan-sukan ekstrem lain seperti akrobatik dan parkour,” jelasnya.

Bagaimanapun, Deft tidak me­nyangka aktiviti tersebut lama-kelamaan menjadi satu hobi.

Menceritakan lebih lanjut me­ngenai aksi lagak ngeri yang dilakukannya itu, cerita Deft, dia mula bergiat secara aktif sebagai pelakon aksi lagak ngeri kira-kira empat tahun lalu.

“Sebelum ini, saya tidak berani untuk melakukan aksi lagak ngeri di bangunan-bangunan tinggi.

“Pada saya, aksi tersebut sangat menakutkan dan mampu membahayakan nyawa individu. Saya mula tergerak untuk mencubanya sendiri selepas melihat seorang jiran ber­gayut di atas bangunan seperti Tarzan,” jelasnya,

Latihan fizikal

Cerita Deft lagi, ketika pertama kali beraksi, kakinya gagal digerakkan dan dia juga berasa gayat setiap kali terpandang bahagian bawah bangunan.

Bagaimanapun, sebaik sahaja aksi tersebut berjaya dilakukan, Deft mengakui dia mula jatuh cinta dan menjadi semakin ketagih untuk beraksi di puncak bangunan-bangunan tinggi.

“Tidak mudah untuk melibatkan diri dalam sukan ini.

“Ini kerana, individu bukan sahaja perlu menanam minat dan keberanian tetapi membuat latihan fizikal secara berjadual.

“Bukan itu sahaja, mereka juga perlu fokus dengan apa yang dilakukan terutamanya ketika berada di atas bangunan tinggi bagi menge­lakkan berlakunya kemalangan,” jelasnya.

Akui Deft, walaupun dia seorang yang rabun dan terpaksa menggunakan kanta lekap ketika beraksi, namun itu tidak menghalangnya daripada terus berkecimpung di dalam aktiviti lagak ngeri.

Malah, dia berbangga apabila mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan beberapa orang kenalan rapat untuk terus berjaya dalam sukan tersebut.

“Setiap hari saya akan berlatih supaya dapat memahirkan diri dalam aksi-aksi lagak ngeri yang lebih mencabar,” jelasnya.