Ratusan peserta hadir dengan basikal roda tinggi masing-masing. Basikal yang dikenali sebagai penny-farthing itu mempunyai roda yang besar di bahagian hadapan dan roda yang lebih kecil di bahagian belakang.

Lebih menarik, ada kalangan mereka yang tampil dengan memakai kostum klasik bagai mengimbau nostalgia zaman lampau.

Kebanyakan aksi yang dipersembahkan berbaur lucu tetapi menunggang basikal seperti itu juga sebenarnya berbahaya kerana kaki yang tidak menjejak bumi.

Selain keupayaan mengawal basikal unik itu, para peserta juga berisiko berdepan pelanggaran atau terjatuh semasa melalui halangan.

Seorang warga emas yang menyertai acara itu terkoyak seluar semasa ‘memanjat’ basikal tersebut sehingga mengalami kecederaan yang agak teruk iaitu patah siku dan cedera pada lutut.

Selain perlumbaan berbasikal, turut diadakan pertandingan ‘memanjat’ basikal selama mungkin tanpa terjatuh.

Selain itu, pertandingan kulinari tradisional melibatkan coklat, jeli, pastri dan kek juga dilangsungkan.