Namun, imej bumi yang melahirkan ramai ilmuan Islam suatu ketika dahulu tercalar dek kerana serangan yang dilakukan puak pemisah. Serangan ala gerila itu telah memberi gambaran buruk ke atas empat buah wilayah Selatan Thailand hingga hampir membunuh sektor pelancongan.

Sehingga artikel ini ditulis, serangan bom puak pemisah masih berlaku di Narathiwat. Ekoran digembar-gemburkan dengan pelbagai cerita negatif seperti insiden letupan, pembunuhan dan pengedaran dadah, sekumpulan anak muda yang bergerak di bawah Kelab Keamanan Selatan Thailand (SPMC) dan Persatuan Media Selatan Thailand (STMA) mengambil inisiatif untuk membersihkan imej wilayah itu.

Selamat



Pasukan keselamatan sentiasa bersiap sedia berkawal bagi menjaga keamanan di kawasan panas.

Mereka mengatur satu perjalanan pelancongan yang disertai oleh sekumpulan 31 pengamal media termasuk penulis blog dan pemandu pelancong dari Malaysia untuk membuktikan bahawa Selatan Thailand sebenarnya selamat untuk dikunjungi.

"Anggota pasukan keselamatan kami bekerja siang malam berkawal di pekan Betong bagi memastikan semuanya terkawal. Kami juga dibantu oleh sukarelawan.

"Kami tidak mendapat gaji tambahan namun ada sedikit sagu hati daripada kerajaan. Apa yang penting, kami mahu pengunjung merasa selamat dan ia boleh merancakkan lagi industri pelancongan," kata Ketua Polis Sempadan Daerah Betong, Leftenan Kolonel Chetvit Neearhink.

Kepada Pegawai Daerah Betong, Damrong Desakul pula, kewujudan mereka di sekitar kawasan panas supaya pelancong berasa selamat dan selesa ketika berada di situ.

"Wilayah Selatan Thailand telah dikunjungi 700,000 pelancong sepanjang tahun lalu dan ia dijangka meningkat tahun ini. Selain mengekang insiden pengeboman, kita juga bertanggungjawab menyekat aktiviti pengedaran dadah dan daun ketum yang diseludup dari Malaysia," katanya yang baru selesai memberi amanat kepada kakitangan mereka yang ditugaskan untuk mengawal pekan Betong.

Sepanjang program itu, bas kami diiringi oleh polis trafik dan anggota tentera Thailand bagi memastikan perjalanan lancar dan tiba di destinasi yang dituju dengan selamat.

Pembangunan



Persembahan tarian turut diselitkan kepada pengunjung di Danok.

Di kawasan tertentu, ada pos pengawal yang menempatkan anggota tentera lengkap bersenjata bertujuan mengekang cubaan puak pengganas untuk melakukan onar.

Pemimpin wilayah Selatan Thailand mempunyai perancangan tersendiri untuk menarik pelancong. Pembinaan lapangan terbang di Betong yang dijangka siap pada tahun 2019 dengan anggaran kos 1 bilion Bath (RM127 juta) merupakan pengenalan awal kepada pembangunan tersebut.

Timbalan Ketua Setiausaha Pusat Pentadbiran Sempadan Wilayah Selatan (SBPAC), Kraisorn Visitvong berkata, kerajaan komited untuk menjadikan Selatan Thailand sebagai kawasan segi tiga yang stabil, makmur dan mapan.

"Pelbagai pelan pembangunan untuk tempoh dua dekad telah dirancang oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha. Antara kawasan yang diberi tumpuan ialah bandar Non-Jik di Pattani sebagai tempat pertanian pintar, Betong dan Sungai Golok di Narathiwat.

"Selain itu, produk berasaskan kraf tangan, pertanian dan perikanan juga diberi tumpuan agar selari dengan pertambahan kemasukan pelancong yang datang ke Thailand," katanya ketika memberikan taklimat media di pejabatnya di Yala.

Datuk Bandar Pattani, Pitak Korkiatpitak pula berkata, aktiviti pelancongan bakal memberikan impak positif kepada ekonomi penduduk tempatan.

"Di samping perniagaan, kita memberi tumpuan untuk membangun dan menambah baik lokasi tumpuan pelancong seperti rumah ibadat yang berusia ratusan tahun.

"Kita sentiasa menyokong aspirasi kerajaan yang mahu ekonomi di wilayah Selatan Thailand stabil, makmur dan mapan," katanya. - MOHD. TURMADZI MaduN