Lima orang pegawai trafik udara yang sedang bertugas dilihat sedang sibuk memberi arahan kepada juruterbang-juruterbang menerusi interkom yang terletak di atas meja masing-ma­sing.

Di bahagian tengah ruang kerja tersebut, seorang pegawai trafik udara yang lain pula kelihatan sibuk memerhatikan kawasan lapangan terbang menggunakan sebuah teropong kecil berwarna hitam.

Kesemua pegawai dilihat begitu fokus dan tenang dalam mengawal a­liran trafik udara di lapangan terbang tersebut.

“Ini merupakan tugas utama kami di sini. Setiap hari, kami perlu me­ngawal aliran trafik di landasan dan di udara selain membantu para juruterbang mengendalikan pesawat mereka terutamanya ketika ingin berlepas dan mendarat,” jelas Nurul Hazwani Hamzah memulakan bicara.

Hazwani yang berumur 35 tahun itu berkata, dia telah berkhidmat di menara kawalan tersebut sejak enam tahun yang lalu.

“Sebenarnya, saya telah memasang impian untuk menjadi seorang pegawai trafik udara sejak kecil lagi.

“Ketika itu, saya sering berasa kagum tatkala melihat pesawat-pesawat yang terbang menelusuri awan biru.

“Saya juga sering tertanya-tanya bagaimanakah pesawat-pesawat tersebut boleh terbang di ruang udara dengan selamat,” ujarnya.

Cerita Hazwani lagi, ketika menuntut di menara gading, dia mengambil keputusan untuk melanjutkan pe­ngajian dalam jurusan Kejurute­raan Aeroangkasa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Latihan 66 minggu

Bermula dari saat itu, dia kemudian didedahkan dengan selok-belok dunia penerbangan sekali gus persoalan yang sering membelenggu dirinya sejak kecil mula terjawab satu demi satu.

Tambah Hazwani, biarpun begitu, untuk bergelar sebagai pegawai trafik udara bukanlah satu perkara yang mudah.

Ini kerana, setiap individu perlu melalui beberapa siri ujian dan latihan yang sukar.

“Sebelum dibenarkan bertugas di menara kawalan, setiap pegawai trafik perlu melalui latihan teori dan praktikal di Akademi Penerbangan Malaysia shingga 66 minggu tertakluk kepada jadual kursus di akademi. Kami kemudian akan ditempatkan di mana-mana menara kawalan atau pusat kawalan trafik udara di seluruh Malaysia.

“Biarpun begitu, kami masih lagi belum boleh mela­kukan tugas-tugas hakiki sebagai seorang pegawai trafik udara,” jelasnya.

Ini kerana, mereka masih lagi perlu menjalani latihan dan setiap tugasan yang dilakukan akan dipantau oleh pegawai bertugas selama tiga bulan atau lebih.

Mereka hanya dibenarkan untuk menjalankan tugas setelah benar-benar mahir dan faham dengan tugasan tersebut selain lulus ujian yang telah ditetapkan.

Selain itu, menurut Hazwani lagi, kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan aspek kesihatan turut diambil kira. Perkhidmatan pegawai trafik udara terletak di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Percaya atau tidak, mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan yang ketat.

Pegawai trafik udara menjalani pemeriksaan kesihatan kelas tiga, manakala juruterbang pula menjalani pemeriksaan kesihatan kelas pertama.

“Mengawal laluan trafik di udara merupakan tugas yang sa­ngat berat. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan nyawa ratusan penumpang yang berada di dalam sesebuah pesawat.

“Disebabkan itu, tahap kesihatan setiap pegawai trafik udara adalah sangat penting.

“Justeru, mana-mana individu yang tidak melepasi pemeriksaan kelas tiga dan gagal berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan baik tidak akan dilantik sebagai seorang pegawai trafik udara,” jelasnya.

Ujar Hazwani lagi, pemeriksaan kesihatan juga akan dilakukan secara berkala bagi memastikan setiap petugas sihat dan mempunyai stami­na yang mantap untuk bertugas.

Menceritakan lebih lanjut me­ngenai profesion itu, seorang lagi pegawai trafik udara, Adenan Edon, 56, berkata, selain kemahiran dan pengalaman dalam bidang tersebut, disiplin dan fokus merupakan elemen penting yang perlu ada dalam setiap diri pegawai.

Pantau 1,000 pesawat

Lebih-lebih lagi apabila kerja-kerja tersebut memerlukan mereka mengawal perge­rakan pesawat-pesawat di ruang udara.

“Keadaan trafik di ketiga-tiga landasan di sini sama sahaja seper­ti di jalan raya. Cuma apa yang membezakan jalan raya dengan landasan ini ialah, hanya kami sahaja yang mampu melihat ke­sesakan tersebut,” jelasnya.

Pada kebiasaannya, ketiga-tiga landasan di KLIA akan mula sibuk pada pukul 8.30 sehingga 10.30 pagi.

Justeru, jelas Adenan, setiap pegawai yang bertugas ketiga-tiga syif yang telah ditetapkan perlu fokus dan berdisiplin dalam me­ngawal laluan trafik di landasan bagi mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

“Di menara KLIA, seramai 77 orang pegawai trafik udara dan 84 penolong pegawai akan memantau lebih daripada 1,000 pergerakan kapal terbang setiap hari. Berbeza pada awal pembukaannya yang mana hanya sekitar 300 kapal terbang sahaja yang menggunakan landasan ini.

“Pertambahan tersebut berlaku disebabkan oleh wujudnya permintaan yang tinggi daripada orang ramai sehingga syarikat penerbangan terpaksa menambah bilangan pesawat mereka,” jelas­nya.

Menurut Adenan lagi, setakat ini, lapangan terbang tersebut mengendalikan sebanyak 68 syarikat penerbangan. Dalam tempoh satu jam, ketiga-tiga landasan di KLIA mampu menampung perge­rakan sehingga 84 buah pesawat.

Biarpun begitu, kesemua pegawai trafik udara di menara tersebut mempunyai had kawalan ma­sing-masing.

“Ramai yang menyangka kami memantau seluruh penerbangan sehingga ia tiba ke destinasi yang dituju.

“Sebenarnya, menara kawalan di KLIA hanya diberi tanggungjawab mengawal pergerakan pesawat bermula dari kawasan parkir pesawat sehingga memberi kebenaran kepada pesawat-pesawat untuk berlepas dan mendarat di landasan.

“Ini kerana, sebaik sahaja pesawat berlepas dari landasan, juruterbang akan bertukar radio frekuensi dari KLIA kepada frekuensi di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) yang terletak di Subang, Selangor,” jelasnya.

Tambahnya, pergerakan pesawat-pesawat tersebut akan dikawal sepenuhnya oleh KLATCC sepanjang berada di ruang udara negara sebelum ia kemudiannya dikawal oleh menara-menara yang lain sebaik ia keluar dari Malaysia.

Menurut Adenan lagi, sepanjang tempoh 33 tahun melibatkan diri dalam dunia penerbangan, dia juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan detik-detik mencabar dan mencemaskan.

“Saya masih ingat lagi insiden pesawat latihan yang terhempas di atas sebuah rumah yang terletak di Taman Cempaka, Ipoh, Perak sekitar tahun 2008.

“Pada waktu itu, saya bertugas sebagai seorang penyelia di Menara Kawalan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah. Ketika insiden tersebut berlaku, beberapa orang pelatih dan tenaga pengajar yang terdapat di dalam pesawat tersebut sedang membuat latihan pe­nerbangan,” jelasnya.

Pesawat bagaimanapun hilang kawalan sebelum terhempas di atas sebuah rumah.

“Sebagai penyelia di menara kawalan negeri tersebut, saya ditugaskan untuk meninjau keadaan di kawasan tragedi sehingga ia selesai.

“Biarpun begitu, saya ber­syukur kerana ke­semua mereka yang berada di dalam pesawat tersebut terselamat,” jelasnya.

Ujar Adenan lagi, insiden yang melibatkan pesawat latihan merupakan perkara biasa terutamanya pesawat-pesawat daripada pusat-pusat latihan penerbangan.

Bagaimanapun, setakat ini, ke­semua insiden tersebut masih lagi berada dalam keadaan terkawal dan tidak menyebabkan kematian.

Disebabkan itu menurut Adenan lagi, setiap pegawai trafik udara perlu berdisiplin dan mampu berkomunikasi dengan baik bagi mengelakkan kejadian-keja­dian yang tidak diingini daripada berlaku.