Asisten Superintendan Mohd. Hasbullah Saidin yang menunggang motosikal jenis Honda S.T 1200cc bertindak sebagai penunggang pembuka laluan (clearance rider) pada hari tersebut.

Tidak seperti hari-hari biasa, dia harus memastikan jalan yang dilalui Presiden ke-44 AS itu tidak dihalang mana-mana kenderaan atau orang awam.

Selain Mohd. Hasbullah, terdapat lebih daripada 50 polis pengiring lain yang terlibat dalam operasi mengiringi pembesar berkenaan di jalan raya.

Memangku tugasan yang dianggap paling mencabar sepanjang tempoh lapan tahun berkhidmat di Unit Motoked Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, Mohd. Hasbullah memberitahu, pasukan itu membuat persediaan selama sebulan lebih awal sebelum kedatangan ketua negara AS tersebut.

“Menjadi sebahagian daripada kumpulan pegawai yang mengiringi Obama merupakan satu pengalaman hebat dan mencabar sepanjang karier saya.

“Kami terpaksa melencongkan kenderaan untuk mengosongkan jalan raya. Saya rasa, itu perkara luar biasa yang dilakukan bagi memberi laluan kepada pemimpin atas faktor keselamatan,” ujarnya yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Penguatkuasaan Operasi, JSPT Kuala Lumpur.

Cawangan khas

Kali pertama anak kelahiran Ipoh, Perak itu ditugaskan sebagai polis pengiring ialah ketika mengiringi Obama pada 26 April 2014 sempena lawatan bersejarah Presiden AS tersebut ke Asia manakala kali kedua pula adalah pada tahun 2015 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27.

Katanya, persiapan rapi perlu dilakukan sebulan lebih awal bersama polis unit cawangan khas AS yang sudah terlebih dahulu tiba di Kuala Lumpur.

“Cawangan khas mereka sudah membuat persediaan lebih awal daripada kita. Persiapan mereka sangat terperinci dan rapi sehingga mereka boleh kira berapa jejambat yang akan dilalui Obama dan kekerapan kenderaan yang melalui sesebuah jalan itu,” ujarnya.

Mengimbas detik itu, Mohd. Hasbullah memberitahu, mana-mana pemimpin yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi memerlukan kawalan yang lebih rapi dan terperinci daripada polis pengiring serta jabatan-jabatan lain yang terlibat sama dalam sesuatu tugasan tersebut.

Bukan pihak mereka yang memberikan kategori berkenaan, sebaliknya ia adalah kata putus yang dikeluarkan oleh Unit Protokol dan Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“JPM akan mengadakan mesyuarat melibatkan badan-badan berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan untuk berbincang mengenai langkah-langkah keselamatan bagi melindungi orang kenamaan (VIP).

“Hasil mesyuarat itu, baru anggota pengiring akan bertindak dengan mengenal pasti laluan mana yang selamat untuk digunakan,” terangnya.

Selain Obama, pemimpin Rusia, Arab Saudi dan China juga pernah mendapat gelaran berisiko tinggi ketika berkunjung ke negara ini.

“Bagi kategori berisiko tinggi, kedudukan pengiring akan bermula dengan penunggang pembuka laluan, ketua pengiring, protokol, prestij, kenderaan VIP, lain-lain kenderaan, ambulans dan pengiring akhir.

“Kadangkala jika operasi itu melibatkan terlalu banyak kenderaan sehingga kedudukan perjalanan menjadi sangat panjang, kami terpaksa pecahkan kepada dua bahagian seperti yang berlaku pada pembesar Arab Saudi,” jelasnya.

Bagi pembesar yang datang ke negara ini dalam tempoh lebih daripada dua hari, polis pengiring juga tinggal berhampiran dengan lokasi tempat penginapan VIP tersebut. Ia bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Kelayakan

“Adakalanya kami tidak sempat mandi atau tidur dengan lena. Kami perlu sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga. Jika mereka ingin keluar joging pun kami perlu ikut sama,” jelasnya.

Mohd. Hasbullah menambah, sebagai anggota pengiring, mereka juga perlu menghafal setiap laluan alternatif dan kod-kod khas untuk memberi atau menerima arahan laluan.

Misalnya, setiap tiang lampu isyarat di Kuala Lumpur mempunyai nombor istimewa, malah setiap jalan juga mempunyai nama panggilan tersendiri.

Bagi situasi di negara ini, status Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri dan Raja-Raja Melayu layak mendapat khidmat polis pengiring.

Malah, mereka juga mempunyai polis pengiring sendiri di peringkat negeri.

Bercerita lanjut mengenai kerjaya sebagai polis pengiring di Unit Motoked, Pegawai Turus Motoked JSPT Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Mohd. Irwan Abd. Rahim berkata, adakalanya kehadiran mereka di atas jalan raya tidak disenangi orang awam.

“Hakikatnya, kami berada di jalan raya untuk melancarkan perjalanan, melindungi semua pihak daripada sebarang perkara tidak diingini dan memudahkan aliran trafik.

“Ia termasuk aliran trafik semasa cuti perayaan, memberi kompaun dan operasi Ops,” ujarnya sambil memberitahu, kebanyakan polis trafik sudah kebal dengan keadaan cuaca.

Mereka tetap bertugas dalam keadaan hujan lebat meskipun pada ketika itu tidak memakai baju hujan.

Dahulu, unit polis pengiring dikenali sebagai Jem Skuad sebelum ditukar kepada Gerak Khas dan kini Unit Motoked. Di Unit Motoked JSPT Kuala Lumpur, terdapat empat orang pegawai dan 74 anggota.

Dalam pada itu, selain mengiringi pembesar, tugas polis pengiring turut diperluaskan jika terdapat apa-apa acara yang melibatkan aktiviti kerajaan seperti Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Tugas-tugas lain seperti mengiringi kenderaan yang membawa peti undi, kertas undi, kertas peperiksaan dan Bank Negara Malaysia.

“Ramai orang awam menyalah anggap bahawa polis trafik hanya berperanan untuk memudahkan perjalanan VIP. Malah, kami sering dianggap sombong dan berlagak apabila berada di atas jalan raya.

“Sebaliknya kehadiran kami adalah untuk memastikan semua orang yang terlibat berada dalam selamat,” ujarnya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Cabaran

Mohd. Irwan menambah, walaupun mereka kelihatan hebat ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi, jika berlaku sebarang kesilapan dalam melaksanakan tugas mengiring, ia akan memberi kesan kepada ramai pihak selain individu yang diiring.

Oleh demikian, pegawai-pegawai di Unit Motoked perlu mahir mengendalikan motosikal berkuasa tinggi.

“Kesesakan lalu lintas seringkali menjadi punca kelewatan kepada sesiapa sahaja dan turut memberi kesan kepada kami. Itu adalah salah satu cabaran yang perlu kami tempuhi setiap kali melakukan tugas mengiring.

“Namun, saya lihat kini ramai pemandu sudah celik dengan keadaan persekitaran. Sekiranya mendengar bunyi siren dan diminta beri laluan, mereka dengan mudah menerima arahan serta bekerjasama dengan baik. Terima kasih saya ucapkan,” katanya mengakhiri perbualan.