Di satu sudut, seorang wanita sedang duduk dan menyapa kru Panorama dengan mesra.

Memperkenalkan diri sebagai Vimmy Yasmin Abdul Razak, wanita berusia 44 tahun itu kemudian membuka bicara tentang rumah perlindungan wanita dan anak-anak tidak sah taraf yang sudah beroperasi lebih tiga tahun lalu.

“Rumah Kita merupakan sebuah rumah perlindungan wanita yang melahirkan anak-anak luar nikah.

“Semenjak ditubuhkan pada Julai 2015, rumah ini sudah pun menyelamatkan atau menjadi penempatan buat hampir 70 orang ibu yang hamil anak tidak sah taraf,” ujarnya.

Selain menjaga kebajikan penghuni-penghuni di situ, Vimmy memberitahu bahawa orang luar boleh datang ke Rumah Kita dan bermain-main dengan bayi yang ada di situ.

“Bayi-bayi di sini datang dari pelbagai latar belakang berbeza. Ada yang tidak diterima oleh ahli keluarga dan ia menjadikan saya cukup sedih.

“Oleh itu, rumah ini dibuka kepada sesiapa sahaja yang sudi datang dan mahu memberikan sedikit kasih sayang dengan bermain bersama bayi-bayi di sini dengan membuat temujanji terlebih dahulu,” ujarnya.

Pelbagai kes

Ujar wanita bertubuh kurus yang lebih mesra disapa Vimmy itu, sepanjang menubuhkan Rumah Kita, dia sudah bertemu dengan pelbagai golongan wanita yang hamil anak luar nikah disebabkan oleh pelbagai faktor.

“Antaranya termasuklah diperkosa, suka sama suka dan juga kes-kes dibuang keluarga kerana sedang hamil.

“Ia menjadikan saya terpanggil untuk melindungi wanita-wanita ini sehinggalah saat mereka melahirkan anak,” jelasnya sambil memberitahu, setiap wanita yang datang ke situ akan dibekalkan dengan barangan peribadi seperti telekung, sejadah dan barang keperluan bayi seperti sabun serta bengkung bayi.

Mereka yang datang ke situ juga akan diajar mengaji dan dikehendaki untuk menghafal beberapa surah terpilih.

Hal ini bagi mempersiapkan penghuni dengan ilmu agama dan memastikan supaya mereka tidak lagi terjebak dengan dosa dan maksiat.

Ujar Vimmy, selain diajar dengan ilmu agama, penghuni juga akan diberikan tugasan seperti menjaga bayi-bayi lain yang menjadi penghuni di rumah tersebut.

“Di sini, penghuni yang sedang hamil akan diberikan tugasan seperti menghantar bayi penghuni lain ke hospital atau klinik untuk mendapatkan suntikan sebagai langkah persediaan sebelum bergelar ibu,” katanya.

Kru Panorama berkesempatan menemu bual dua orang penghuni Rumah Kita yang kemudiannya berkongsi cerita tentang bagaimana mereka boleh hamil anak luar nikah seterusnya mencari perlindungan di rumah perlindungan itu.

Fokus anak

Bagi Rina (bukan nama sebenar), 17, dia kesal kerana terpaksa menangguhkan hasrat untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana terpaksa memberi fokus kepada anak yang bakal lahir.

“Saya telah diperkosa oleh teman lelaki sendiri dan sedang hamil anaknya.

“Dia (teman lelaki) sudah lama mengajak saya untuk bersamanya, namun saya sering menolak. Akhirnya, dia membawa saya ke satu lokasi dan terus memperkosa saya.

“Sebaik sahaja mendapat tahu saya telah hamil, saya menangis sepuasnya kerana merasakan depan saya sudah musnah angkara individu yang saya sayangi,” ujarnya.

Biarpun lelaki itu mahu berkahwin dan bertanggungjawab atas perbuatannya, Rina sudah tawar hati dan tidak mahu berkahwin dengan lelaki yang tergamak memperkosanya.

Tambah Rina, fokusnya kini adalah untuk melahirkan serta membesarkan anak yang sedang dikandung.

Kongsi Fika (bukan nama sebenar) pula, dia yang kini sedang hamil enam bulan berkata, ia berlaku kerana kesilapannya sendiri.

“Saya dan teman lelaki berkenalan semasa sedang menuntut di sebuah universiti tempatan.

“Saya akui kalah dengan pujukannya yang mengajak saya berzina dan akhirnya disahkan hamil,” ujarnya.

Menurut Fika, sebaik sahaja teman lelakinya tahu tentang kehamilan Fika, dia terus meninggalkan wanita itu dan enggan bertanggungjawab.

Mujur, keluarga masih boleh menerima dirinya dan sering melawat gadis berusia 23 tahun itu di Rumah Kita.

Sukarelawan

“Abang dan kakak sering melawat dan meyakinkan saya bahawa hidup perlu diteruskan.

“Saya harus kuat dan akan menyambung pengajian yang tertangguh selepas melahirkan bayi ini,” ceritanya.

Rumah Kita juga sering dikunjungi oleh beberapa orang sukarelawan.

Berkongsi kisah, salah seorang sukarelawan, Sharifah Raudhah Musa, 41, berkata, Rumah Kita menjadikannya sedar bahawa dalam hidup ini terdapat ramai manusia yang kurang bernasib baik dan perlu dibantu.

“Saya mula menjadi sukarelawan sejak tahun 2014. Pada waktu itu, saya jatuh sakit selepas kematian arwah ibu.

“Bagi mengelakkan saya terus-terusan murung, adik perempuan saya mencadangkan supaya saya melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan.

“Saya amat bersyukur dan tidak kisah menghabiskan masa sehingga malam di sini untuk membantu penghuni-penghuni Rumah Kita memasak dan menjaga bayi-bayi mereka,” ujarnya.

Sesiapa yang berminat untuk mengunjungi Rumah Kita sama ada untuk menjadi sukarelawan atau meluangkan masa bersama bayi di situ boleh berbuat demikian dengan menghubungi Vimmy di talian 016-3411273 atau mengunjungi Facebook 
@ngo.rumahkita.