Itulah sepotong ayat yang menggambarkan Kashmir sehingga diibaratkan seperti syurga di dunia. Keindahan Kashmir tidak dapat dinafikan.

Mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Kashmir pasti tahu betapa uniknya wilayah tersebut sehingga menjadi rebutan tiga buah negara iaitu Pakistan, India dan China.

Kashmir sebenarnya suatu wilayah yang wujud bersama Jammu, maka ia lebih dikenali sebagai Jammu dan Kashmir. Bentuk geografi bergunung-ganang menawarkan begitu banyak lokasi menarik yang mampu membuatkan pelancong terpukau dan terpesona dengan keindahannya.

Kashmir terletak di antara Banjaran Himalaya dan Banjaran Pir Panjal iaitu kawasan paling utara di India.

Kashmir juga dikelilingi kawasan pergunungan salji sekali gus kerap dijadikan lokasi penggambaran filem terutamanya naskhah Bollywood seperti Bajrangi Bhaijaan lakonan Salman Khan pada 2015.

Nama wilayah itu diambil daripada dua perkataan iaitu Ka membawa maksud air sementara Shimir bererti yang dikeringkan. Oleh itu, Kashmir membawa maksud lembah yang dikeringkan airnya.

Kashmir mempunyai empat musim iaitu bunga, panas, luruh dan sejuk.

“Sesetengah orang mungkin mengatakan bahawa musim luruh adalah musim sedih tetapi tidak di Kashmir. Anda akan menyukai musim ini kerana segala-galanya kelihatan indah.

Kemelut

“Ditambah pula dengan angin yang lembut, warna lantai dilitupi daun emas kekuningan dan bau yang menyegarkan.

“Ia bagaikan alam sedang memberi semangat kepada anda,” kata seorang penduduk tempatan, Daud kepada AFP.

Dengan gunung-ganang yang masih diselaputi salji, cuaca sejuk pada kadar 10 hingga 15 darjah Celsius, kaya dengan flora dan fauna serta tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran, nama Kashmir terus mendapat perhatian masyarakat dunia.

Disebabkan wilayah pelancongan itu mempunyai tarikan tersendiri, Kashmir menjadi rebutan hingga ia dipecahkan di bawah tiga pentadbiran.

Di wilayah itu Pakistan menguasai barat laut, India di bahagian tengah dan bahagian selatan manakala China menguasai timur laut atau lebih dikenali Aksai Chin.

Mengupas kemelut yang melanda Kashmir, ia bermula ketika proses kemerdekaan membabitkan India dan Pakistan pada 1947 yang meninggalkan kesan mendalam terhadap hubungan antara kedua-dua buah negara berjiran itu.

Al-Jazeera melaporkan, tragedi Black Day atau Hari Hitam pada 27 Oktober 1947, menjadi titik tolak kepada konflik Kashmir sehingga hari ini, apabila tentera India yang lebih lengkap dan terlatih menduduki wilayah berkenaan yang pada ketika itu masih belum diputuskan sama ada menjadi sebahagian daripada India atau Pakistan.

Penduduk Kashmir yang majoritinya beragama Islam sebenarnya lebih berminat untuk bergabung dengan Pakistan berbanding India kerana latar belakang yang sama dari segi penduduk serta agama.

Sejak itu, India dan Pakistan saling berkonfrontasi untuk me­rebut kawasan di wilayah Kashmir sehingga menyebabkan mereka terjebak dalam tiga peperangan iaitu pada 1947, 1965 dan 1971.

India dan Pakistan juga hampir berperang buat kali keempat pada 2002 apabila kerajaan kedua-dua negara bertindak mengerahkan sejuta tentera lengkap bersenjata ke perbatasan kedua-dua kuasa nuklear itu, namun berjaya dihalang pihak antarabangsa yang diketuai Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan Reuters, konfrontasi Pakistan-India dilihat bertambah buruk dengan Islamabad mendakwa menembak jatuh dua pesawat tempur India pada Februari 2019.

Reuters yang memetik jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Asif Ghafoor, salah satu daripada jet berkenaan ditembak jatuh di Kashmir wilayah tadbiran India manakala satu lagi di kawasan mereka.

Katanya, pihak tentera turut menahan salah seorang daripada juruterbang jet terbabit.

Terbaharu, kerajaan India pada Selasa tergesa-gesa untuk menghapuskan status khas Kashmir menerusi dekri presiden di bawah perubahan paling ketara dalam tempoh tujuh dekad.

Kelebihan

Perkhidmatan telefon, internet dan rangkaian kabel dilaporkan diputuskan di wilayah didiami lebih tujuh juta penduduk itu selepas ketegangan meningkat selama beberapa hari.

Pada asasnya, konflik perebutan kawasan di wilayah berkenaan masih belum selesai sehingga ke hari ini. Keadaan itu dikaitkan dengan kedegilan India dan Pakistan yang enggan melepaskan wilayah Kashmir yang mereka duduki dan membenarkan penduduk Kashmir menentukan sendiri masa depan mereka.

Kedua-dua negara enggan beralah dengan kehendak majoriti penduduk Kashmir yang mahukan kemerdekaan dan membentuk kerajaan sendiri tanpa campur tangan pihak luar.

Walaupun Kashmir memiliki sejarah konfliknya yang tersendiri, namun itu tidak menjadi penghalang kepada pelancong untuk menjejaki wilayah tersebut.

Menurut pemandu pelancong tempatan yang dikenali Farouk, tiga kelebihan yang membuat India mahupun Pakistan enggan melepaskan wilayah Kashmir adalah industri pelancongannya, bentuk muka bumi yang subur untuk kegiatan pertanian serta sumber jana kuasa elektrik yang berpusat di situ.

“Antara tempat-tempat pelancongan yang popular di Kashmir ialah Gulmarg yang mempunyai resort ski, Tasik Dal yang mempunyai rumah bot popular dan Pahalgam dengan keindahan Sungai Lider mengalir sehingga ke bandar,” ujarnya.

Gulmarg adalah stesen bukit, destinasi sukan ski yang popular di daerah Baramula dalam Jammu dan Kashmir. Kedudukannya di Banjaran Pir Panjal di Barat Himalaya, pada altitude 2,650 meter, 56 kilometer dari Srinagar.

Budaya

Tanah Gulmarg diliputi kesan glasier di permukaan kawasan yang terbentuk daripada pelbagai jenis batuan. Suasana menarik dengan iringan tasik kecil, berlatarkan hutan pain dan fir, sekali gus mewujudkan panorama taman alam semula jadi.

Sementara itu seorang pelancong dari Malaysia, Daliza Ariffin menyifatkan Indira Ghandi Memorial Tulip Garden yang terletak di Srinagar, ibu kota Kashmir menjadi tumpuan ribuan pe­ngunjung dari seluruh negara untuk melihatkan kecantikan tumbuh-tumbuhan itu yang hanya berbunga dalam tempoh sebulan khususnya pada bulan April.

“Pemandangan taman yang terletak di kaki bukit Zabarwan itu cukup mengujakan, meskipun ada yang menyifatkan kecantikan taman ini hanya suku daripada kecantikan yang boleh dinikmati di taman tulip di Keukenhof, Belanda,” tuturnya.

Kashmir adalah negeri yang penduduk majoritinya beragama Islam iaitu sekitar 85 peratus daripada lapan juta penduduknya manakala, di Jammu didiami oleh Hindu dan Ladakh oleh Buddha.

Melihat kepada kepelbagaian agama yang mendiami Kashmir, ia mencerminkan perpaduan dan keharmonian penduduknya.

Kepelbagaian itu turut terserlah pada pemakaian rakyat Jammu dan Kashmir yang menarik dan berwarna-warni.

Majoriti penduduknya akan memakai pakaian tradisional seperti pada musim sejuk, mereka memakai sejenis kot longgar yang dipanggil Pheran.

Sementara itu, bahasa utama Kashmir pula adalah Urdu manakala bahasa-bahasa lain yang digunakan di wilayah itu adalah Kashmiri, Ladakhi dan Dogri.

Banyak perayaan disambut hebat dan meriah oleh penduduk Jammu dan Kashmir. Antara yang terkenal ialah Baisakhi (festival penuaian), Lohri, Aidilfitri, Jhiri Fair, Mansar Makanan dan Kraf Mela dan Purmandal Mela.