Bagi masyarakat di bandar Ivrea, Itali, tradisi ‘berperang’ dengan menggunakan buah oren merupakan salah satu tradisi yang terkenal di kawasan itu.

Acara yang digelar Festival Ivrea itu dikatakan bermula sejak kurun ke-12.

Mengikut cerita, kononnya pada kurun ke-12, penduduk di bandar tersebut menentang Raja Marquess William yang dianggap sebagai musuh mereka.

Ketika dia memerintah negeri tersebut, Raja William telah jatuh cinta terhadap Violetta yang merupakan anak kepada seorang pemilik ladang jagung di Ivrea.

Begitu pun, gadis tersebut menolak cinta Raja Williams memandangkan dia sudah memiliki kekasih hati, menyebabkan Raja William murka.

Cinta ditolak

Tidak berpuas hati dengan situasi itu, baginda kemudian mengeluarkan arahan bahawa Violetta harus tidur dengannya untuk satu malam biarpun selepas bergelar isteri orang.

Memandangkan Raja Williams amat berkuasa, tiada sesiapa pun yang berani untuk membantah arahannya.

Violetta terpaksa bersetuju, namun gadis itu sebenarnya merancang untuk membunuh Raja Williams yang dianggap tidak berperikemanusiaan itu.

Sebaik sahaja Violetta masuk ke dalam bilik Raja Williams, dia terus memenggal kepala lelaki itu menggunakan sebilah pedang.

Selepas Raja Williams mati, Violetta membakar istana tersebut dan melarikan diri.

Keberanian Violetta dipuji oleh penduduk Ivrea dan mereka menganggap gadis itu sebagai hero.

Bagi meraikan keberanian serta menyokong tindakan Violetta, penduduk Ivrea mewujudkan Festival Ivrea iaitu satu amalan membaling sesuatu ke arah istana mendiang Raja Williams.

Pada asalnya, orang ramai akan berkumpul di hadapan istana Raja Williams dan membaling kekacang sebagai tanda marah terhadap pemimpin bernafsu binatang itu.

Begitu pun, kekacang kemudiannya ditukar kepada buah epal sebelum akhirnya buah oren dipilih sebagai senjata untuk dibaling ke arah istana tersebut.

Rai keberanian

Biarpun sudah wujud sejak sekian lama, festival tersebut masih lagi diamalkan sehingga kini, namun ia dilakukan di atas jalan-jalan sekitar bandar Ivrea.

Semenjak kurun ke-19, Festival Ivrea disambut pada tarikh 13 Februari setiap tahun.

Orang ramai akan berkumpul di jalan-jalan sekitar Ivrea bersama kira-kira 296,000 kilogram buah oren sebelum membalingnya ke arah satu sama lain.

Festival itu amat dinantikan oleh penduduk Ivrea memandangkan ia dianggap sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan.

Selain itu, ia juga merupakan sesuatu yang positif memandangkan seluruh penduduk Ivrea meraikan keberanian seorang wanita yang membunuh raja yang zalim.

Begitu pun, ada juga segelintir individu yang menganggap Festival Ivrea sebagai satu pembaziran.

Hal ini kerana, setiap tahun, buah oren akan diimport dari negara luar untuk dibaling dan dibazirkan di atas jalan.

Selain itu, tekstur buah oren yang keras juga menjadikan ia berbahaya dan boleh menyebabkan kecederaan kepada penduduk Ivrea.

Pada 13 Februari setiap tahun, masyarakat Ivrea, Itali akan membaling buah oren di tepi jalan bagi meraikan keberanian seorang wanita yang membunuh pemerintah kejam.