Bagi jemaah haji yang kurang berkemampuan, lazimnya pembiayaan menunaikan haji menggunakan wang simpanan, tabung, menggadai barangan kemas dan menjual hasil tanaman serta ternakan.

Malah, ada yang sanggup berhutang sehingga mengambil masa lama untuk membayar balik, kerana tiket ke Tanah Suci ketika itu agak mahal.

Era menggunakan kapal laut yang membawa jemaah haji ke kota Mekah bermula sekitar tahun 1786 dengan tempoh perjalanan sehala boleh mencecah sehingga dua bulan. Bagaimanapun, menjelang abad ke-20 tempoh perjalanan tersebut disingkatkan kepada kira-kira dua minggu sahaja.

Dalam perjalanan ke Pelabuhan Jeddah, kebiasaannya kapal laut terbabit akan singgah di Colombo, Sri Lanka atau Djibouti di benua Afrika. Jemaah haji Malaysia yang menaiki kapal akan mula berniat ihram ketika kapal berkenaan lalu berhampiran Bukit Yalamlam di Yemen.

Pensyarah Kanan Bahagian Falsafah dan Tamadun Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Aiza [email protected] menjelaskan, kapal laut yang digunakan seperti dicatatkan dalam diari Syeikh Omar Basyir Kadi Pertama Pulau Pinang ketika itu ialah kapal kargo.

“Antara syarikat yang begitu sinonim dengan kapal haji ini ialah The Ocean Ship Company ataupun dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu pada ketika itu sebagai Serombong Biru atau The Blue Funnel Line,” kata Aiza pada wawancara eksklusif di pejabatnya di Universiti Sains Malaysia.

Kapal pertama

Memandangkan saban tahun bilangan jemaah haji kian bertambah, syarikat perkapalan mula tumbuh bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan kerana urusan penghantaran jemaah haji ke kota Mekah menjadi satu bentuk bisnes yang menguntungkan.

“Jadi, syarikat perkapalan akan menempatkan jemaah haji di kawasan dek mengikut kelas manakala di bawah kapal mereka tempatkan bahan-bahan yang dibawa jemaah haji seperti makanan, gula, beras hatta kayu balak pun ada.

“Aktiviti ini berlangsung sepanjang tahun 1950-an,” katanya.
Menurut Aiza, bermula tahun 1950, ada jemaah haji menyuarakan pandangan supaya syarikat perkapalan memperbaiki mutu perkhidmatan. Mereka mahukan sebuah kapal yang khusus membawa jemaah haji.

“Kapal haji pertama yang membawa jemaah haji dari Pulau Pinang ialah kapal Tyndareus. Kapal ini sebenarnya sebuah kapal perang British yang diubah suai selepas tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1949 dan 1950.

“Ia dilengkapi dengan bot penyelamat di kedua-dua belah kapal, klinik, serta terdapatnya sistem siaraya. Kapal ini boleh memuatkan penumpang sehingga 2,500 orang jemaah haji,” katanya yang mempunyai Ijazah Kedoktoran dalam bidang Sejarah Haji Orang Melayu daripada Universiti Malaya.

Setelah kapal Tyndareus dilupuskan pada tahun 1954, sebuah lagi syarikat perkapalan menawarkan perkhidmatan pengangkutan jemaah haji iaitu The China Navigation Company.

“Sebenarnya, syarikat tersebut sebelum itu terlibat mengangkut buruh kasar dari Singapura, Indonesia dan kawasan sekitar sebelum ia diubah suai menjadi kapal haji.

“Kapal-kapal tersebut dikenali sebagai Anshun dan Anking,” katanya. Selain kedua-dua kapal itu, pada tahun 1960-an, Syarikat Kapal The China Navigation menambah sebuah lagi kapal haji yang dikenali sebagai kapal Kuala Lumpur. Ini menjadikan tiga buah kapal membawa jemaah haji secara serentak ketika itu.

Pada tahun 1967, kapal Anking dilupuskan, yang tinggal hanya kapal Anshun dan kapal Kuala Lumpur. Pada tahun 1971, The China Navigation Company menarik diri daripada urusan perkapalan haji dan tanggungjawab ini diambil alih oleh The Great Malaysia Line.

Menurut beliau, semasa The Great Malaysia Line mengambil alih tahun urusan pengangkutan jemaah haji pada tahun 1971, dua buah kapal haji digunakan iaitu Malaysia Kita dan Malaysia Raya.

“Dua buah kapal ini adalah yang terakhir sebelum era pelayaran kapal haji ditamatkan.

“Kapal Malaysia Kita ini berakhir pada tahun 1974 kerana terbakar sewaktu berlabuh di Pelabuhan Singapura begitu juga Malaysia Raya juga terbakar pada 23 Ogos 1976 ketika berlabuh di Pelabuhan Klang,” tambahnya.

Atas kekangan yang timbul maka, Tabung Haji kini Lembaga Tabung Haji memutuskan tahun 1976 merupakan tahun terakhir pelayaran jemaah haji menggunakan kapal.

Walaupun perkhidmatan kapal laut jemaah haji oleh syarikat perkapalan dilihat sebagai satu bentuk perniagaan lumayan, namun wujud kelemahan sehingga mendorong Pusat Kawalan Haji untuk menjadikan perkhidmatan tersebut lebih sistematik.

“Antaranya isu jemaah terkandas di pelabuhan lain kerana tidak berlayar mengikut kapal atau pelabuhan yang ditetapkan oleh pegawai haji. Mereka percaya apabila melakukan transit, tambang tiket kapal akan menjadi lebih murah.

“Jadi, kesulitan bermula apabila sampai di Jeddah, mereka tidak boleh diberi bantuan kerana tidak diiktiraf sebagai jemaah haji dari Tanah Melayu kerana mereka pergi secara persendirian,” jelasnya.

Meninggal dunia

Selain berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti ribut dan ombak bergelora, pernah berlaku kejadian kebakaran di atas kapal ekoran segelintir jemaah haji yang memasak di atas kapal.

Berlaku juga kes jemaah kebuluran, penularan wabak dan kematian jemaah haji ketika dalam pelayaran kapal.

“Menurut jemaah haji yang saya temu bual apabila berlaku kematian, jenazah itu akan dimandi, dikafan, disembahyang dan dikebumikan di dalam laut. Batu atau pun besi diikat pada kaki bagi menenggelamkan jenazah. Kapal akan berhenti buat seketika sehinggalah jenazah itu benar-benar tenggelam sebelum menyambung pelayaran.

“Bagi jemaah haji, kematian tidak menggugat keimanan mereka untuk menjadi tetamu istimewa di Tanah Suci sehingga ada yang bawa sendiri kain kafan sebagai persediaan jika mereka dijemput Ilahi ketika dalam pelayaran,” tambahnya.

Pemikiran masyarakat Melayu pada ketika itu boleh dikatakan agak tertutup jika melibatkan kesihatan. Keadaan ini menimbulkan sedikit masalah dalam kalangan jemaah haji.

“Walaupun klinik disediakan, mereka tidak mahu menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Mereka lebih suka menyembunyikan penyakit sehinggalah berlakunya penularan wabak bubon dan taun.

“Atas sebab itulah, pada tahun 1950-an, Ordinan Kapal menetapkan syarat ke atas syarikat perkapalan haji mesti ada doktor. Selain itu setiap jemaah haji perlu diberi suntikan vaksin bagi mengelakkan masalah keselamatan dan kesihatan mereka,” kata Aiza. – Bernama