KOSMO! AHAD: Boleh Dr. jelaskan secara terperinci apa itu kanser pangkal hidung?

Dr. Aminuddin: Di bahagian hidung manusia, terdapat beberapa tempat yang boleh berlaku kanser seperti sinus dan juga pangkal hidung.

Kanser yang paling lazim berlaku melibatkan bahagian hidung ialah kanser pangkal hidung atau nama saintifiknya nasofarinks (Nasopharyngeal Carcinoma). Ia merupakan salah satu jenis kanser hidung yang paling lazim dikesan di negara-negara Asia termasuk Malaysia.

Menurut satu kajian yang dibuat oleh KKM, kanser nasofarinks merupakan kanser keempat yang paling kerap menyerang rakyat di negara ini. Ia merupakan satu peratusan yang amat tinggi. Ia juga lebih banyak berlaku dalam kalangan orang lelaki berbanding wanita. Nasofarinks merupakan satu kawasan yang terletak di bahagian belakang rongga hidung dan kedudukannya agak tersembunyi serta sukar untuk dilihat. Bagi kebanyakan kes, pesakit tidak sedar bahawa mereka sudah menghidap kanser sehingga mula mengalami simptom-simptom kanser ini iaitu pendarahan pada bahagian hidung secara tiba-tiba dan juga ketumbuhan yang tidak menyakitkan pada bahagian leher.

Apakah antara punca yang menyebabkan terjadinya kanser pangkal hidung?

Ramai yang bertanyakan soalan tentang punca-punca kanser, namun bagi apa jenis kanser sekali pun, punca sebenarnya masih belum jelas. Melalui beberapa penyelidikan, pakar-pakar perubatan mengaitkan dengan beberapa faktor yang menyebabkan terjadinya kanser pangkal hidung ini. Antaranya termasuklah faktor pemakanan, persekitaran dan juga genetik. Sekiranya seseorang individu mempunyai ahli keluarga yang ada sejarah sebagai penghidap kanser hidung, maka kebarangkalian untuk menghidap kanser jenis ini lebih tinggi. Selain itu, tidak ramai yang tahu bahawa makanan seperti ikan kering dikaitkan dengan kanser pangkal hidung. Hal ini kerana, makanan tersebut mengandungi nitrosamine (karsinogen) yang mengaktifkan virus Ebstein Barr hingga menimbulkan masalah pada bahagian nasofarinks.

Boleh Dr. jelaskan apakah antara simptom-simptom kanser ini?

Paling biasa adalah pendarahan secara tiba-tiba pada bahagian hidung, mengalami masalah pendengaran, rasa letih dan pening yang tidak spesifik dan juga ketumbuhan pada bahagian leher. Simptom-simptom kanser ini agak sukar untuk dikesan pada peringkat awal memandangkan pesakit tidak akan berasa sakit dan tanda-tanda seperti letih dan pening itu biasanya tidak spesifik. Sekiranya pesakit sedar bahawa terdapat ketumbuhan pada bahagian leher, ia sudah agak terlewat kerana ketumbuhan tersebut merupakan kanser. Pemeriksaan endoskopi akan dijalankan ke atas pesakit untuk mengenal pasti sama ada ketumbuhan di leher itu benar-benar merupakan kanser pangkal hidung atau pun bukan.

Kanser pangkal hidung merupakan sejenis kanser yang memiliki peratusan paling tinggi untuk sembuh. Sekiranya pesakit datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan awal, boleh dikatakan hampir 85 hingga 90 peratus akan sembuh dan memiliki jangka hayat lebih lima hingga 10 tahun. Statistik ini menunjukkan peratusan paling baik antara jenis-jenis kanser lain. Dengan rawatan awal, pesakit mempunyai peluang tinggi untuk sembuh, dengan izin Tuhan.

Apakah kaedah rawatan bagi kanser pangkal hidung?

Rawatan bagi kanser nasofarinks ialah radioterapi dan turut diselang-selikan dengan kemoterapi. Bagi kanser jenis ini, amat jarang sekali memerlukan kaedah rawatan secara pembedahan seperti kanser-kanser lain. Begitu pun, kebiasaannya pesakit akan menjalani rawatan radioterapi dan kemoterapi pula lebih kepada untuk menambahkan keberkesanan rawatan kanser ini. Rawatan ini mengambil masa tujuh minggu dan dalam tempoh tiga hingga enam bulan, pesakit lazimnya akan sembuh.

Bagaimanapun, mungkin ramai yang sedia maklum bahawa rawatan radioterapi mempunyai beberapa kesan sampingan.

Antaranya termasuklah mulut menjadi kering kerana rawatan tersebut telah mematikan kelenjar air liur, kurang deria bau dan rasa, selain masalah pendengaran. Begitu pun, boleh dikatakan kesan sampingan bagi rawatan radioterapi sekarang sudah jauh berkurangan jika dibandingkan dengan rawatan sama pada masa dahulu. Kesimpulannya, rawatan awal akan menjadikan pesakit mudah sembuh daripada kanser nasofarinks.

Sekiranya mempunyai simptom-simptom yang disebutkan, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan pengesahan selanjutnya. Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal menyeluruh terutamanya endoskopi pada bahagian hidung untuk melihat kawasan nasofarinks yang tersembunyi. Jika terdapat perkara yang mencurigakan, biopsi untuk mengambil sampel tisu di bahagian yang berisiko untuk menghidap kanser. Ia akan dibuat dengan kaedah bius yang efektif dan mudah. Majoriti pesakit akan dirawat menggunakan kaedah radioterapi dan ia amat berkesan dalam kebanyakan kes.

Selain itu, ujian radiologi seperti pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) atau imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) akan dilakukan bagi membantu mengesahkan tiada penglibatan struktur yang tidak dapat dicerap dengan mata kasar atau endoskop. Walaupun kanser tersebut pada mata kasarnya kelihatan besar, namun selepas rawatan radioterapi dilakukan, ia akan hilang.

Individu bagaimanakah yang lebih terdedah dengan kanser pangkal hidung?

Selain faktor pemakanan iaitu terlalu banyak makan ikan kering, kanser ini juga lebih kerap menyerang kaum Cina, diikuti Melayu dan hampir tiada bagi orang India. Selain orang Cina, etnik Bidayuh juga lebih terdedah dengan kanser ini. Sebab dan punca mengapa kaum Cina dan etnik Bidayuh lebih terdedah dan lebih kerap diserang kanser nasofarinks masih dalam kajian teliti oleh pakar-pakar perubatan di negara ini. Bagi kategori umur pesakit kanser jenis ini pula, kajian mendapati bahawa ia lebih kerap menyerang individu berusia antara 30 hingga 40 tahun.

Mungkin Dr. ada sedikit nasihat kepada orang ramai di luar sana tentang penjagaan kesihatan yang boleh diamalkan untuk mengelak daripada diserang kanser?

Terdapat pelbagai faktor yang dikaitkan dengan kanser seperti persekitaran, pemakanan dan juga genetik. Contohnya, pesakit kanser paru-paru boleh dikurangkan dengan menghentikan tabiat merokok.

Oleh itu, bagi kanser jenis ini, makanan kering yang tinggi dengan kandungan garam seperti ikan kering sebaiknya dielakkan kerana makanan sebegini mempunyai nitrosamine yang mengaktifkan virus Ebstein Barr yang kemudiannya akan menimbulkan masalah kepada bahagian nasofarinks.

Selain itu, elakkan diri daripada terdedah dengan asap rokok, habuk serta bahan kimia. Selain itu, pekerja kilang-kilang kayu juga dikatakan memiliki peratusan yang agak tinggi untuk diserang kanser ini kerana serbuk kayu mungkin mencederakan bahagian nasofarinks lalu menyebabkan terjadinya kanser.