Masing-masing dilihat seperti terpukau sebaik Suchetha Satish menyanyikan satu demi satu lagu dalam bahasa yang berbeza.

Mereka bukan sahaja terpegun dengan kemerduan suara kanak-kanak tersebut, malah kebolehan Satish menyanyi dalam 102 bahasa asing begitu mengasyikkan.

Sebaik kanak-kanak yang berasal dari selatan Kerala, India tersebut selesai membuat persembahan, ke­semua ibu bapa yang berada di dewan tersebut bangun memberikan tepukan yang gemuruh kepadanya.

Ternyata, kebolehan luar biasa yang dimiliki Satish mengagumkan banyak pihak sehingga berjaya mencatat rekod baharu dalam Guinness World Records.

Menurut Satish, minatnya dalam dunia muzik bermula seawal empat tahun apabila kerap mendengar alunan irama lagu yang dimainkan di kediamannya.

“Saya membesar di dalam sebuah keluarga yang begitu mencintai muzik. Sejak empat tahun, saya didedahkan dengan pelbagai genre muzik.

“Pada umur 8 tahun, saya diper­kenalkan dan diajar untuk mendalami muzik Hindustan oleh keluarga. Bermula dari saat itu, minat saya terhadap industri muzik mula berputik,” jelasnya.

Bahasa Jepun

Satish mula mempelajari pelbagai genre muzik India yang lain seperti Hindi, Malayalam dan Tamil selain menjinakkan diri menyanyi dalam Bahasa Inggeris.

Percaya atau tidak, pada usia 9 tahun, Satish sudah boleh menyanyikan 10 jenis lagu dalam berlainan bahasa.

Biarpun begitu, kebolehan tersebut masih belum cukup memuaskan hati kanak-kanak pintar ini.

“Saya kemudian menyanyi dalam bahasa Jepun.

“Keinginan saya untuk mencuba bahasa tersebut timbul selepas seorang sahabat ayah yang merupakan seorang pakar dermatologi Jepun datang melawat kami.

“Di rumah, dia sering menyanyikan sebuah lagu Jepun dan saya dapati setiap bait-bait perkataan yang terdapat dalam lagu tersebut sungguh syahdu.

“Dari situ, saya mula mencari lagu-lagu dalam bahasa Jepun dan mula menyanyikannya,” jelasnya.

Menurut Satish lagi, biarpun sebelum ini tidak pernah menggunakan bahasa Jepun, namun dia hanya mengambil masa seminggu untuk menghafal lirik tersebut.

Menyedari bakat yang dimiliki­nya itu, Satish kemudian mula mempelajari lagu-lagu dari negara lain dan menyanyikannya.

“Saya mula mencuba bahasa lain seperti Mandarin, Portugis, Tagalog, Arab, Korea dan pelbagai lagi.

“Saya mengambil masa seminggu untuk menghafal setiap satu lagu,” jelasnya.

Pemilihan bahasa

Ujar kanak-kanak ini lagi, ibunya akan memeriksa kesesuaian lagu yang dinyanyikan mengikut umur­nya dan menterjemahkan kesemua lirik bagi mempermudahkan proses menghafal.

“Biasanya saya mengambil masa kira-kira dua jam untuk mempelajari dan menghayati lirik lagu tersebut.

“Sekiranya ia mudah disebut dan difahami, tempoh penghafalan akan menjadi lebih singkat.

“Malah, sekiranya lagu yang di­pilih ringkas dan tidak panjang, saya mampu menghafalnya dalam tempoh setengah jam sahaja,” jelasnya.

Menurut Suchetha lagi, kebanyakan lagu yang dipilih adalah daripada genre pop, hip-hop dan lagu-lagu rakyat.

Percaya atau tidak, walaupun angka 102 dilihat banyak, namun menurut Satish, dia hanya mengambil masa kira-kira setahun untuk menghafal dan memahirkan diri terhadap semua 102 lirik lagu yang dipilih.