Walaupun beberapa jari di ta­ngannya tiada, namun kecacatan tersebut langsung tidak membantutkan fokusnya daripada terus melukis lakaran tangan robotik pada kertas tersebut.

Menurut ibunya, Sarah Haight, 32, itu merupakan aktiviti ha­rian yang dilakukan oleh anaknya, Ca­meron sejak dua tahun yang lalu apabila dia mula menerima tempahan tangan robotik yang dikenali sebagai Imagine Tool 5000 daripada orang ramai.

“Tangan robot ini sebenarnya diilhamkan oleh saya pada tahun 2015 untuk Cameron.

“Idea asal untuk menghasilkan tangan robotik ini datang selepas saya melihat kesukaran Cameron memegang hendal basikalnya.

“Saya rasa sedih apabila me­ngenangkan kecacatan yang dialami Cameron menyebabkan dia tidak dapat menikmati zaman kanak-kanaknya. Jadi, saya mengambil pendekatan dengan mencipta ta­ngan robotik untuknya,” kata Sarah.

Pembedahan jari

Menceritakan lebih lanjut, Sarah memberitahu, anaknya itu disahkan menghidap sindrom amniotik iaitu satu keadaan di mana jari tangannya berpintal sejak berada di dalam rahim lagi.

Keadaan tersebut menyebabkan doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk membuang jari-jari yang berpintal itu.

Ujar Sarah lagi, walaupun tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pertukangan, namun demi Cameron, dia sanggup bersengkang mata dan belajar teknik-teknik pembuatan tangan robotik menerusi internet.

Hasil daripada kajiannya itu, Sarah berjaya menghasilkan tangan robotik pertama untuk kegunaan Cameron dalam tempoh 48 jam.

Biarpun begitu, disebabkan tidak mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut, tangan robotik yang dihasilkan hanya dapat digunakan untuk meme­gang objek-objek besar sahaja.

“Ketika pertama kali menghasilkan tangan robotik tersebut, Ca­meron dilihat begitu kekok dan sukar untuk menyesuaikan diri dengan tangan baharunya itu.

“Bagaimanapun, lama-kelamaan dia menjadi terbiasa dan sering memakai tangan tersebut walaupun ketika keluar bersiar-siar. Dari situ, tangan Cameron mula mendapat perhatian umum sehingga ia ditempah oleh jiran-jiran terdekat,” jelasnya.

Menurut Sarah, siapa sangka, tangan robotik yang dahulunya dibuat untuk kegunaan anaknya itu kini menjadi sumber pendapatan untuk dirinya dan Cameron.

Bukan itu sahaja, ibu tunggal itu turut berbangga apabila Ca­meron mula menunjukkan minat dan mengambil alih tugas menghasilkan tangan robotik daripada­nya.

Pengalaman sendiri

Lebih membanggakan apabila Cameron berjaya menaik taraf ta­ngan robotik tersebut apabila hasil ciptaannya itu kini membolehkan kanak-kanak kurang upaya meme­gang barangan-barangan kecil se­perti peralatan dapur, telefon bimbit, pen dan pensel.

Percaya atau tidak, biarpun baru sahaja tiga tahun terlibat dalam pembuatan tangan robotik, Came­ron kini telah menghasilkan sebanyak 44 tangan robotik untuk kanak-kanak kurang upaya di Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun.

“Saya sangat bangga dengan pencapaian Cameron, lebih-lebih lagi apabila dia melakukan perkara tersebut untuk membantu kanak-kanak lain yang memerlukan.

“Siapa sangka, daripada tangan robotik biasa, Cameron berjaya mengolahnya menjadi tangan yang boleh memegang pelbagai barangan kecil seperti pensel.

“Idea tersebut diperolehnya berdasarkan pengalamannya sendiri yang menghadapi kesukaran untuk memegang pensel ketika berada di dalam kelas,” jelasnya.

Apa yang lebih membanggakan ibu tunggal itu ialah, Cameron hanya mengambil masa selama 40 minit untuk melakar tangan robotik tersebut.

Lakaran tersebut kemudian di­letakkan di dalam sebuah kompu­ter sebelum dibentuk menjadi tangan robotik yang diperbuat menggunakan campuran bahan polyvinyl chloride (PVC) dan besi.

“Kesemuanya dilakukan oleh kami sendiri tanpa pertolongan daripada mana-mana syarikat.

“Cameron begitu teliti dalam penghasilan tangan robotik ini. Percaya atau tidak, dia sanggup bersengkang mata melakar dan reka bentuk tangan robotik yang berlainan untuk kanak-kanak yang memerlukan,” jelasnya.

Cameron Haight guna campuran bahan PVC dan plastik untuk hasilkan tangan robotik yang dikenali sebagai Imagine Tool 5000 bagi membantu dan memudahkan kanak-kanak cacat jari sepertinya jalani aktiviti harian secara normal.