Bagaimanapun, lain pula halnya dengan seorang kanak-kanak dari Nara, Jepun yang dikenali sebagai Ryusei Imai.

Pada usia lapan tahun, kanak-kanak itu mengejutkan dunia apabila memiliki tubuh kekar persis bintang filem terkenal, Bruce Lee.

Otot lengannya yang berketul-ketul serta dadanya yang bidang telah menjadikan kanak-kanak itu tular di media sosial.

Memetik laporan laman web Oddity Central, Ryusei sememangnya cukup terkenal dan diberi jolokan sebagai ‘Mini Lee’.

Ini bukanlah kali pertama nama Ryusei disebut-sebut di media sosial kerana tiga tahun lalu, dia pernah menjadi tular di laman sosial selepas meniru rutin seni mempertahankan diri Nunchaku daripada filem lakonan mendiang Bruce Lee iaitu Game of Death.

Latihan berat

Ekoran aksinya itu, Ryusei mula menjadi perhatian dunia, namun kanak-kanak itu tidak tenggelam dalam dunia glamor sebaliknya terus fokus untuk membina otot bagi mendapatkan bentuk tubuh idaman.

Orang ramai mula berminat untuk tahu rutin senaman Ryusei sehingga membolehkan dia mendapat tubuh yang kekar.

Bapanya, Ryuji Imai memberitahu, anak lelakinya akan menjalankan senaman berat selama empat jam setengah setiap hari bagi membina otot.

“Anak saya akan bangun seawal pukul 6 pagi setiap hari dan dia kemudiannya akan melakukan senaman untuk membina otot selama satu jam setengah sebelum bersiap untuk ke sekolah.

“Selepas pulang dari sekolah, Ryusei akan berlari selama satu jam sebelum menghabiskan masa selama dua jam dengan berlatih Nunchaku,” katanya.

Tambah Ryuji lagi, kanak-kanak itu akan memuat naik foto daripada sesi latihannya di laman sosial bergambar Instagram @ryuseiimai0416 sebagai inspirasi kepada orang lain.

Berbeza dengan kanak-kanak seusianya yang lain, Ryusei sudah meminati filem-filem lakonan Bruce Lee sejak berusia setahun.

Selepas menonton filem-filem tersebut, Ryusei akan meniru aksi Bruce Lee yang ditontonnya.

Selaku seorang bapa, Ryuji mengakui dia terkejut dengan kebolehan anaknya, namun dia tidak menghalang minat Ryusei.

Sebaik sahaja berusia lima tahun, Ryusei semakin bijak meniru aksi Nunchaku Bruce Lee dan mula ditemu bual stesen-stesen televisyen antarabangsa.

Dikecam

Kini, kanak-kanak itu sudah memiliki lebih 33,000 orang pengikut di Instagram dan memiliki akaun YouTube sendiri yang diuruskan bapanya.

Rata-rata pengikut Ryusei amat mengagumi kebolehan kanak-kanak itu kerana bukan semua kanak-kanak seusianya memiliki kebolehan seperti Ryusei.

Begitu pun, kanak-kanak itu tidak terlepas daripada menjadi mangsa kritikan orang ramai di media sosial.

Ramai yang menyifatkan bahawa tubuh kekar Ryusei itu agak melampau untuk kanak-kanak seusianya.

Ryusei tidak sepatutnya menjalani latihan terlalu berat. Pada usia tersebut, dia sepatutnya menjalani hidup yang ceria dan bermain bersama rakan seusianya.

Begitu pun, Ryuji menyelar komen-komen negatif netizen terhadap anak lelakinya dan berkata bahawa latihan berat itu merupakan kemahuan anaknya sendiri.

“Saya tidak pernah memaksa Ryusei untuk menjalani latihan berat atau menyeksa dirinya.

“Semuanya dilakukan atas kehendaknya sendiri.

“Selaku bapa, saya menyokong penuh minat anak saya dan akan memberi dorongan kepadanya untuk menjadi sehebat idolanya, Bruce Lee,” tuturnya.

Biarpun baru berusia lapan tahun, Ryusei Imai menjadi sensasi internet kerana memiliki tubuh kekar dan bijak meniru aksi Nunchaku seperti pelakon Bruce Lee.