Kanak-kanak tersebut, P. Ravindran sering mengadu berasa sakit pada gigi terutama di bahagian gigi geraham bawah sejak Julai lalu sebelum dia dibawa oleh kedua-dua orang tuanya ke Saveetha Dental College and Hospital untuk membuat pemeriksaan gigi.

Doktor gigi yang menjalankan pemeriksaan pada awalnya gagal mencari punca yang menyebabkan Ravindran mengalami sakit gigi, malah gigi kanak-kanak tersebut didapati sihat dan tidak rosak.

Sehinggalah doktor membuat keputusan untuk melakukan ujian imbasan sinar-X dan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) terhadapnya.

Hasil ujian yang dibuat bagaimanapun membuatkan doktor terkejut apabila mendapati terdapat beratus-ratus batang gigi pelbagai saiz tertanam di dalam gusi terutama pada bahagian bawah rahang kanak-kanak itu.

Bentuk mutiara

Keadaan tersebut yang dikenali sebagai odontoma kompleks merupakan antara masalah tumor yang melibatkan tisu pada gigi, namun kes yang terjadi pada Ravindran adalah sangat besar dengan membabitkan sejumlah 526 batang gigi.

“Kami (pakar bedah) tidak pernah melihat gigi yang begitu banyak berada di dalam mulut manusia,” kata Profesor Patibha Ramani, Ketua Jabatan Patologi Oral dan Maxillofacial kepada akhbar Times of India.

Tambahnya lagi, ratusan batang gigi tersebut terdiri daripada pelbagai saiz iaitu antara 0.1 milimeter (mm) hingga 15mm.

Semasa ratusan batang gigi itu dicabut dan dikeluarkan daripada mulut Ravindran, bentuknya kelihatan seperti mutiara di dalam tiram.

Manakala untuk gigi-gigi kecil pula, bentuknya memang kelihatan seperti gigi geraham sebenar dan turut mempunyai lapisan enamel dan akar.

Ramani menambah, masalah odontoma kompleks merupakan punca yang menghalang pertumbuhan gigi terutamanya gigi geraham kekal pada bahagian terjejas dan satu-satunya penyelesaian masalah tersebut adalah melalui pembedahan.

Semasa keputusan untuk melakukan pembedahan itu dibuat, kedua-dua ibu bapa Ravindran telah bersetuju untuk meneruskan prosedur tersebut.

Bagaimanapun, mereka terpaksa mengambil masa selama beberapa jam untuk memujuk anak mereka yang kelihatan begitu takut sehingga enggan melakukan pembedahan.

Radiasi

Pembedahan selama satu jam setengah itu akhirnya berjaya apabila doktor dapat mengeluarkan sejumlah 526 batang gigi daripada dalam mulut kanak-kanak itu.

Ravindran bernasib baik kerana dia tidak perlu menjalani pembedahan membentuk semula rahangnya selepas pembedahan tersebut dibuat.

“Punca sebenar masalah odontoma kompleks ini tidak diketahui, namun ada kemungkinan ia disebabkan oleh faktor genetik atau persekitaran,” kata Ramani.

Pada masa sama, Ramani juga berpendapat bahawa kemungkinan masalah odontoma kompleks juga disebabkan oleh faktor radiasi daripada telefon bimbit.

Pendapat tersebut dibuat berdasarkan satu kaji selidik yang pernah dibuat oleh Times of India terhadap 250 orang awam yang tinggal berhampiran menara telekomunikasi telefon mudah alih.

Dalam kajian tersebut, sekurang-kurangnya 10 peratus penduduk didapati mengalami perubahan yang dipanggil micronuclei yang terdapat 
di dalam sel badan mereka.

Seorang kanak-kanak di India jalani pembedahan membuang 526 batang gigi yang tumbuh di dalam mulutnya akibat masalah yang dikenali sebagai odontoma kompleks.